Sie sind auf Seite 1von 4

Aku Cinta Padamu Ya Rasulullah SAW

Reaksi daripada umat Islam seluruh dunia berkenaan filem terbitan Sam Bacile, Innocence of Muslims yang menghina Rasulullah SAW, menunjukkan betapa umat Islam hari ini sangat cinta pada Rasulullah SAW dan sangat sensitif dengan isu ini. Cuma segelintirnya telah mencemarkan nama Islam dengan tindakan ganas mereka. Chris Stevens, Duta US maut kerana rusuhan umat Islam di Libya. Seorang bukan Islam yang tidak bersalah menjadi mangsa. Barangkali Sam Bacile tergelak besar melihat umpannya mengena. Penerbit filem ini tidak lain tidak bukan hanya mahu membangkitkan kemarahan umat Islam. Dengan tindakan balas yang sedemikian rupa daripada umat Islam, matlamat filem tersebut diterbitkan sebenarnya sudah tercapai. Akhirnya, pihak musuh juga yang tersenyum menang. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Namun, artikel ini bukan mahu membincangkan soal filem murahan Sam Bacile kerana perbahasan mengenainya sudah dibincang dengan panjang lebar oleh banyak pihak yang lebih berautoriti. Seperti mana tajuknya, Aku Cinta Padamu Ya Rasulullah SAW, artikel ini ditulis untuk memperpanjang isu CINTA pada Nabi kita, Muhammad SAW. Aku CINTA Muhammad SAW atau I LOVE Muhammad SAW? 3 patah perkataan ini semakin popular, lebih-lebih lagi di laman-laman sosial. Memikirkan trend ini, saya teringat zaman-zaman persekolahan yang baru sahaja berlalu. Tiba sahaja Maulidur Rasul, pihak sekolah akan menganjurkan perarakan sempena memperingati hari kelahiran Rasulullah SAW. Bukan pihak sekolah sahaja, tetapi di seluruh Malaysia, kebanyakan organisasi akan menganjurkan perarakan samada di peringkat kebangsaan, mahupun di peringkat badan-badan tertentu. Perarakan ini boleh dikatakan sebagai satu kemestian bagi orang Islam di Malaysia. Namun yang peliknya, hampir semua yang turut serta dalam perarakan ini berpakaian cantik-cantik. Dengan baju kurung yang ketat, tudung yang singkat, make up yang tebal, mereka BOLEH dengan riang rianya memegang sepanduk We LOVE Muhammad SAW???! Bahkan semasa perarakan tidak turut serta berselawat melainkan bergelak ketawa dan bergurau senda. Aku CINTA Muhammad SAW ini bukan semudah itu. Makna di sebalik 3 perkataan ini bukan sekadar dengan lafaz. Bukan dengan mudah-mudahnya boleh mengakui mencintai Muhammad SAW macam declare cinta pada si pujaan hati. Ya, tidak dinafikan memang siapa pun boleh sebut Aku CINTA Muhammad SAW dan langsung tidak menjadi kesalahan. Tetapi, pada orang yang benarbenar menghalusi dan mendalami erti CINTA pada Rasulullah SAW, mereka tidak akan dengan sewenang-wenang mengaku tanpa ada perbuatan susulan yang juga memperakui pernyataan cinta itu tadi. Bahkan jika mereka benar-benar faham apa itu CINTA pada Muhammad SAW, mereka akan mendadak merasa sebak dan menangis hanya kerana 3 perkataan itu.

Kisah cinta Nabi Muhammad SAW terhadap umatnya mungkin sudah puluhan dan ratusan kali didengar pembaca. Tetapi mengulang kisah yang sama tidak menjadi masalah, cuma biarlah kali ini, kisah ini dibaca dengan hati dan penuh penghayatan. Dan bandingkanlah dengan kecintaan yang kita uar-uarkan di laman-laman sosial. Sabda Nabi SAW, Sesungguhnya diriku bagi kalian bagaikan seorang ayah bagi anaknya. (Riwayat al-Darimi). Kasih sayang yang tercurah di antara seorang ayah dan seorang anak adalah kasih sayang yang murni dan lahir dari hati yang cukup ikhlas kerana adanya ikatan kekeluargaan, bukan kasih sayang berlandas paras rupa dan material seperti sayang seorang kekasih terhadap pasangannya. Baginda sentiasa murah dengan kasih sayang. Kasih sayangnya menebar ke seluruh pelosok dunia, bukan sekadar buat umatnya tapi juga alam seluruhnya. Inilah dia seorang bapa yang menyubur dan membelai jiwa dan roh anak-anaknya dengan kecintaan pada Yang Esa dan yang memimpin anak-anaknya kepada kehidupan yang diredhai Allah dunia dan akhirat. Rasulullah SAW pernah bersabda, Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu, sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu. (Riwayat Bukhari dan Muslim). Apa yang difikirkan Baginda hanyalah keselamatan umatnya daripada terjerumus ke dalam api neraka. Setiap perkataan dan perbuatan Baginda adalah untuk kemaslahatan umatnya dunia dan akhirat. Bahkan Baginda cuba memberi keringanan kepada umatnya demi memelihara mereka daripada melakukan dosa. Rasulullah SAW bersabda: Sekiranya tidak berat ke atas umatku, nescaya aku perintahkan mereka supaya bersugi pada setiap kali hendak melakukan solat. Rasulullah SAW kerana kasihnya pada kita, saban hari mendoakan kita. Berharap kita memperoleh keselamatan dunia dan akhirat. Al-Bazzar meriwayatkan daripada Aisyah r.a. berkata: Tatkala saya melihat Nabi SAW berada dalam keadaan baik, saya berkata, Wahai Rasulullah! Doakanlah untuk saya. Rasulullah SAW pun mendoakan, Ya Allah! Ampunilah dosa Aisyah yang terdahulu dan yang terkemudian, yang tersembunyi dan yang terang. Mendengarnya, Aisyah ketawa gembira sehingga kepalanya jatuh ke ribanya kerana terlalu gembira. Lalu Rasulullah SAW bersabda, Adakah doaku menggembirakan kamu? Aisyah menjawab, Kenapa tidak, saya begitu gembira dengan doamu itu? Rasulullah SAW bersabda, Demi Allah! Inilah doa yang ku panjatkan untuk umatku dalam setiap solat. Dan tatkala ajal hampir tiba pun, Rasulullah SAW masih memikirkan kita. Baginda SAW bertanya pada Jibri, "Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?"

"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi ternyata jawapan itu belum membuat Rasulullah SAW tenang. "Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi. "Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?" "Jangan risau, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: "Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril. Izrail menjalankan tugasnya, perlahan-lahan ruh Rasulullah SAW ditarik. Seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. "Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengadu. "Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah SAW pada Jibril. "Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril. Sebentar kemudian terdengar Rasulullah SAW memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan. Dan saat kesakitan itu Baginda rasakan, masih lagi Baginda mengingati kita. Rasulullah SAW bersabda, "Ya Allah, dahsyat sungguh maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku." JANGAN PADA UMATKU... Sebesar apa lagi bukti betapa risau dan kasihnya Rasulullah SAW pada umat Islam??! Kerisauan yang lebih besar berbanding kerisauan seorang ibu pada anaknya. Ibu belum tentu sanggup menanggung sakitnya sakaratul maut si anak. Sedangkan Rasulullah SAW bukan mahu menanggung kesakitan seorang umat tapi kesemuanya. Tak terbanding cinta yang terlafaz di mulut kita dan yang terpapar di laman-laman sosial dengan kasih Rasulullah SAW pada kita. Kita sibuk memikirkan soal orang kafir meremehkan Nabi Muhammad SAW sampai merusuh dan membunuh, tapi tidak sedar, kita sendiri sudah sekian lama memperlekehkan kasih Baginda. Hidup kita saban hari, ingatkah kita pada Rasulullah SAW? Hidup kita saban hari berselawatkah kita pada Rasulullah SAW? Hidup kita saban hari buatkah kita yang Allah suruh? Hidup kita saban hari tinggalkah kita apa yang Allah larang? Hidup kita saban hari amalkah kita sunnah Rasulullah SAW??! Nabi SAW begitu kasih pada kita. Namun sehebat apa balasan cinta kita pada Baginda? Kita jauh jauh jauh dari yang dikatakan sebagai orang yang cinta pada Nabi Muhammad SAW. Tapi kita tidak malu mengaku cinta sedangkan terang-terangan cinta

kita hanya pada kulit. Bagaikan boneka, nampak berdiri kukuh, tapi tak berguna kerana dalamnya kosong. Cinta terhadap Allah dan Rasul bukan sekadar pada lafaz tapi lahir dari hati dan terbukti pada perbuatan. Seperti juga iman. Kalau kita kata kita beriman pada Allah, lafazkan di mulut, akui dengan hati dan buktikan dengan perbuatan. Begitu juga kalau kita katakan kita beriman pada rasul-rasul, ketiga-tiga perkara ini harus datang beriringan. Barulah kita dikatakan sebagai orang yang beriman. Sebab itu kata Hamka, orang yang belum membuktikan keimanannya belum boleh dikatakan sebagai beriman. Jadi di mana tahap cinta kita? Kita semuanya sudah mampu berfikir matang. Jangan dimalukan diri kita sendiri dengan cakap tak serupa bikin. Orang Islam seharusnya menjadi orang yang berpegang pada kata-katanya. Mengaku cinta HANYA apabila datang bersamanya usaha. Biar kita tahu segan dan malu dengan Rasulullah SAW. Dan Ingatlah, betapa ruginya orang yang tidak berhasrat membalas cinta Rasulullah SAW, sedang diriwayatkan bahawa pada suatu hari Baginda bersabda yang maksudnya, Bertuahlah sesiapa yang melihatku dan beriman padaku. Rasulullah SAW kemudiannya menyambung lagi sabdanya dengan bersemangat, Bertuahlah, dan bertuahlah, dan bertuahlah, sesiapa yang tidak melihatku dan beriman padaku. Sekian, wasalam. Penulis Muda adindaarjuna.blogspot.com

Das könnte Ihnen auch gefallen