You are on page 1of 2

KELUARGA DAN PENJAGAAN DALAM KOMUNITI:

PERMASALAHAN DAN CABARAN BAGI PENJAGA PESAKIT


MENTAL

UKM-SK-05-FRGS0012-2006

Fatimah Abdullah
Nor Jana Saim
Nur Saadah Mohamad Aun
Mohd. Suhaimi Mohamad

ABTSRAK

Perkhidmatan kesihatan mental di Malaysia telah melalui cabaran semenjak 1980-an.


Kementerian Kesihatan Malaysia telah menggubal Pelan Tindakan Kebangsaan bagi
mengintegrasi perkhidmatan kesihatan mental menjadikan fokus rawatan pesakit-pesakit
mental daripada penjagaan di institusi kepada penjagaan dalam komuniti. Pelbagai
cabaran telah dan terpaksa dihadapi oleh pesakit dan keluarga mereka akibat stigma
sosial yang masih menebal di kalangan ahli-ahli dalam komuniti. Selain itu kebanyakan
anggota masyarakat masih belum bersedia menerima kehadiran para pesakit mental
untuk kembali berfungsi dalam masyarakat. Keluarga pula dikatakan tidak mampu
melaksanakan fungsi penjagaan apabila struktur dan organisasi keluarga telah berubah
akibat pemodenan. Selain itu sumber-sumber yang keluarga ada khususnya kedudukan
sosioekonomi dan struktur sosial di mana keluarga dan komuniti itu berada turut
memainkan peranan penting. Sehubungan itu satu kajian telah dijalankan untuk
mendapatkan maklumat mengenai pola penjagaan dalam komuniti yang dilakukan oleh
keluarga yang mempunyai ahli yang mengidap penyakit mental. Turut disentuh ialah
masalah dan cabaran yang dihadapi oleh keluarga yang berkaitan. Klinik Kesihatan
Kampung Simee, Ipoh Perak telah dipilih sebagai lokasi kajian. Klinik berkenaan
menyediakan perkhidmatan rawatan rehabilitasi kepada pesakit mental yang tinggal
bersama keluarga di sekitar bandaraya Ipoh. Hasil kajian mendapati bahawa sebahagian
besar daripada penjaga berumur lebih 50 tahun dan 82 peratus berpendapatan sehingga
RM1000 sebulan, termasuk tujuh peratus yang tidak ada pendapatan langsung
(melainkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat). Hal ini tidaklah menghairankan
kerana 59 peratus daripada penjaga hanya bersekolah hingga peringkat rendah sahaja.
Justeru tentulah dapat dibayangkan bagaimana penjaga berhadapan dengan tekanan untuk
menyediakan penjagaan yang mencukupi untuk ahli keluarganya. Kajian ini mendapati
bahawa beberapa dasar penting berkaitan dengan pengupayaan penjaga (carer) dan
komuniti setempat sangat penting dalam memulihkan para pesakit dan meningkatkan
kesejahteraan mereka.