Sie sind auf Seite 1von 5

Allah: Kalimah Tauhid Oleh: Lokman Ab.

Rahman

Dalam Islam, kalimah Allah itu adalah terlalu suci. Kalimah Allah bukanlah lambang atau simbol seperti agama-agama lain yang boleh dicipta mengikut imaginasi dan kreativiti manusia sesuka hati. Nama Allah itu sendiri merujuk kepada zat dan sifat kepada yang maha pencipta alam semesta. Dalam ketuhanan Islam, Allah sendiri telah

memperkenalkan sifat-sifat kesempurnaanNya. Orang Islam dengan mudah memahami sifa-sifat tuhanNya sungguhpun baru sehari memeluk Islam. Dalam surah yang sangat pendek Allah telah mengisytiharkan sifatNya adalah tunggal, tempat pergantungan, tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tidak ada sekutu bagiNya (al-Ikhlas). Selain kalimah yang kudus itu, terdapat nama-nama Allah yang terkandung di dalam Asma al-Husna yang menerangkan sifat keagunganNya. Di alam nusantara untuk mengenali keagungan sifat dan keesaan Allah melalui pengajian sifat dua puluh ini, walaupun sebenarnya sifat keagunganNya tidak terbatas. Malahan kesemua penganut agama tauhid akan menyebut dan menulis perkataan Allah secara selaras tanpa mengira puak, bangsa dan budaya. Untuk mengekal sebutan dan tulisan dengan tepat lazimnya perkataan Allah akan dikekalkan di dalam perkataan Arab. Sekiranya perkataan tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa lain, kalimah akan ditulis beriringan dalam bahasa Arab. Malah Allah sendiri telah memberi jaminan bahawa al-Quran akan terpelihara dari sebarang pencemaran dan pengubahsuaian yang kekal di dalam bahasa Arab. Oleh sebab itulah kalimah Allah kekal disebut dan ditulis dalam bahasa Arab oleh kesemua bangsa manusia sehingga ke hari ini. Ini menunjukkan bahawa dari segi lafaz dan sebutan serta sifat Allah adalah jelas di kalangan umat Islam kerana ia merupakan pokok akidah tauhid. Ia sangat mudah difahami dan terlalu rapat kepada penganutnya. Kukuh dan jelasnya kepercayaan dalam Islam mampu berdiri sendiri tanpa perlu melihat dan meniru. Jauh sekali untuk meminjam apaapa perkataan dan konsep dari agama-agama lain.

Oleh itu ramai yang terkeliru dan rasa tercabar apabila ada pihak gereja yang ingin menggunakan nama Allah dalam Bible mereka. Percubaan menggunakan nama Allah di dalam Bible di Malaysia menggambarkan kecelaruan tentang keyakinan penganut Kristian sendiri di dalam sistem kepercayaan mereka. Kepercayaan Kristian berteras konsep triniti, ia itu tuhan bapa, tuhan anak (Jesus) dan roh kudus atau tiga dalam satu, disebut sebagai oknum. Kebanyakan pengkaji-pengkaji sejarah perkembangan agama menyatakan

bahawa fahaman ini pada dasarnya tidak ada dalam Kristian tetapi dibawa masuk dari falsafah Plato. Konsep ketuhanan ini pula bersandarkan prinsip agama Helenik yang menjadi agama rasmi Kerajaan Roman sebelum Kristian berubah dan kemudian menerima triniti. Konsep yang sama juga terdapat di dalam agama Hindu yang menyembah tuhan Brahma, Vishnu dan Shiva. Jadi, usaha meminjamkan mana-mana unsur luar dari agama Kristian bukan perkara baru dalam sejarah perkembangannya untuk mempastikan kelangsungannya terus di terima.

Sekiranya penganut Kristian melihat penggunaan umum dalam kitab Bible mereka di Barat dalam versi bahasa Inggeris, perkataan tuhan dan kekuasaanya itu merujuk kepada perkataan God dan Lord. Mereka rata-ratanya tidak menggunakan perkataan Allah. Sekiranya mereka ingin menterjemahkan perkataan tersebut ke dalam bahasa Arab, mereka sepatutnya memilih perkataan lain, bukannya Allah yang merupakan nama khas. Bible Perjanjian Lama merakam nama tuhan mereka seperti Yahweh, El, Elohim atau Eloah. Kenapa salah satu daripada nama-nama tersebut tidak dipilih? Hujah yang masih digunakan hari ini ialah penggunaan dalam kalangan Bangsa Arab Kristian dengan perkataan Allah di dalam kitab mereka. Alasan penggunaan nama Allah dalam Bible di Malaysia disebabkan Arab Kristian menggunakannya adalah tidak tepat. Kalimah Allah digunakan di kalangan Bangsa Arab Kristian di Mesir, Syria, Jordan dan Emeriah Arab Bersatu lebih merujuk nama Allah yang maha esa yang mereka warisi sebelum Islam lagi. Tradisi Arab bukan sahaja mampu mengekalkan nama tuhannya, malah kekuatan mereka mengingati susur galur keturunan mereka sampai ke akar umbi. Sudah pasti kalimah yang digunakan tersebut bukannya God atau Lord yang di gunakan oleh masyarakat barat sepertimana yang diwarisi oleh orang Arab. Orang Arab yang masih kental memegang tradisi Nasrani dan Yahudi ini dipanggil Ahli Kitab di dalam Islam. Berdasarkan analogi ini,

keturunan China, India dan rumpun bangsa di Sabah dan Sarawak yang menganut Kristian tidak ada kaitan langsung dengan rumpun bangsa Arab. Mereka bukan Ahli Kitab sungguhpun menganut Kristian. Mereka tiada hubungan atau kesinambungan dengan keturunan datuk nenek yang asal memeluk Nasrani seperti yang disyaratkan oleh Imam Syafii. Keturunan mereka dapat dijejaki dan dikenalpasti seperti dalam tradisi keluarga Arab. Bagi Syafii juga, Nasrani Arab tidak boleh digolongkan Ahli Kitab.

Malah di Nusantara juga satu usaha menterjemahkan perkataan tuhan kepada Allah telah lama dimulakan di Indonesia sebenarnya berasaskan tulisan Jawi. Tulisan jawi adalah medium rasmi rumpun Melayu yang mempunyai beberapa pecahan keturunan. Tulisan jawi ini pula pada keseluruhannya berasaskan Bahasa Arab dan banyak perkataan Arab dipindahkan terus ke dalam bahasa Melayu. Contohnya, Bible yang dinamakan Alkitab telah diterjemah dan dicetak dalam bahasa Indonesia telah menggunakan nama Allah. Antara versi yang boleh ditemui dicetak pada 1984 yang dikeluarkan oleh The Bible Society of Singapura, Malaysia & Brunei. Ini bermakna misi gerakan menyebarkan kefahaman agama Kristian dalam kalangan orang Melayu atau bangsa yang menuturkan bahasa Melayu seperti Bugis, Jawa, Mendailing, Minangkabau dan lainnya telah lama dijalankan dan dibuat secara terancang. Ini adalah kerana bangsa lain tidak akan membacanya kecuali rumpun bangsa Melayu. Orang China dan India tidak mungkin berhasrat membaca Bible versi Melayu! Penyebaran Bible dalam bahasa Indonesia dan kebebasan beragama mengikut acuan mereka menyebabkan keracunan berfikir. Maka tidak mustahillah di Indonesia terdapat dalam satu keluarga mempunyai agama berlainan; Islam, Kristian, Hindu dan Budha. Indonesia menjadi lebih liberal kerana negara mereka berkonsepkan Pancasila sebagai ideologi negara. Ini berbeza dengan Malaysia dan Brunei menjadikan Islam sebagai agama persekutuan dan negara.

Yang menjadi persoalan sekarang ini ialah, mengapa perkataan Allah hendak digunakan di dalam Bible? Apakah tepat terjemahan tersebut mengikut ajaran Kristian yang diamalkan hari ini? Sudah pastilah tidak. Apabila mereka menggunakan nama Allah secara langsung membatalkan pengertian triniti kerana sifat keesaan Allah secara mutlak menolak perkongsian sifat ketuhanan dan kuasa jika dilihat mengikut perspektif Islam. Sebaliknya

penggunaanNya dalam Bible sudah semestinya suatu penghinaan kerana Allah yang disembah berkongsi kuasa dan mempunyai anak seperti dalam konsep triniti yang membawa kepada syirik. Perkara yang melanda penganut Kristian adalah berpunca

daripada kegagalan mencari identiti dan hilang jati diri, hatta tuhan sebagai pokok dalam seuatu kepercayaan agama masih gagal dikenalpasti. Inilah masalah sebenarnya

penganut Kristian yang mengalami masalah krisis keyakinan berpanjangan dan kegusaran ini tidak sepatutnya dibebankan kepada orang Islam. Ia adalah masalah dalaman keyakinan penganut agama Kristian. Perbahasan tentang tuhan Jesus boleh dapati hari ini melalui buku best seller seperti God Is Not Great oleh Christopherdan Christianity & World Religion Paths to Dialogue oleh HansKung. Kung masih mengekalkan perkataan God untuk menepis bahawa dakwaan kesalahan konsep triniti yang dijelaskan oleh al-Quran. Ini menunjukkan penggunaan tersebut adalah konsisten. Malah beliau mendakwa kepercayaan God the Father bermakna percaya satu tuhan adalah kepercayaan agama Yahudi, Kristian dan Islam. Pendekatan ini sangat membahayakan akidah ummah Islam yang belum matang dan kurang ilmu Islam yang membawa kepada liberalisme dan pluralisme kerana melihat Islam itu setaraf sahaja dengan agama-agama lain. Beliau cuba merjernih konflik ini dengan mengatakan perkataan Father seringkali disalahertikan bukan sahaja dalam Islam sahaja tetapi orang Kristian sendiri. Kesemua ini menunjukkan bahawa masyarakat Barat menggunakan perkataan God secara konsisten sehingga hari ini. Kecelaruan dalaman mereka cuba mengheret orang Islam terlibat sama dalam kancah kesesatan akidah. Sekiranya kita mengambil tarikh penjajahan Sepanyol, Portugis,

Belanda sehinggalah Inggeris yang membawa misi Kristian bersama pedagangan di Nusantara adalah mustahil mereka membawa kitab Injil dalam Bahasa Arab. Sudah pastilah mereka membawa Bible dalam bahasa mereka lebih lagi orang-orang Inggeris. Semenjak awal lagi telah diketahui bahawa misi penjajahan bangsa barat dan Eropah di Nusantara ini adalah bertemakan god, gold dan glory. Gerakan ini terus berlaku untuk menentang orang Islam apabila orang Islam berjaya menguasai Sepanyol dan beberapa negara penting dunia.

Sebenarnya kekeliruan dan kecelaruan telah dibongkar dengan jelas oleh al-Quran. AlQuran mendedahkan bahawa pendita Nasrani telah merubah kitab mereka. Al-Quran dengan tegas mengkafirkan orang yang mengatakan bahawa Allah itu ialah al-Masih (Isa) putera Maryam, sedangkan Nabi Isa sendiri menyuruh mereka supaya menyembah Allah (al-Maidah:72). Seterusnya pada ayat berurutan al-Quran dengan seriusnya mengkafirkan mereka yang mengatakan Allah itu tiga dari tiga (al-Maidah:73). Kesemua ayat-ayat tersebut telah menelanjangi kesesatan akidah, malah ramai penulis-penulis barat mempertikaikan konsep triniti termasuklah Karen Amstrong. Hal yang sama juga telah menjadi bahan pertikaian semenjak Martin Luther yang menyebabkan tercetusnya Kristian Protestant. Lebih dari itu telah lahir Kristian atheis dan lebih dahsyat lagi masyarakat Barat telah mengatakan tuhan telah mati. Ekoran itu banyak gereja-gereja telah terjual lantaran gereja sepi tanpa pengunjung. Pada hujung minggu, khususnya hari Ahad stadium mendapat pengunjung yang melimpah ruah untuk menonton bola sepak dan kain rentang digantung di pagar-pagar stadium dengan catatan sport is religion. Ummah Islam tidak seharusnya terjebak sama sekali dengan krisis kepercayaan penganut Kristian yang meruncing sekian lama sehingga ia menjadi sebahagian masalah orang Islam yang sudah jelas, kukuh dan tulen keyakinan mereka. Dengan demikian isu kalimah Allah secara warasnya tidak boleh dijadikan isu politik dan tidak boleh dibahaskan di bawah tempurung siasah taksub yang sempit. Ini adalah kerana Allah adalah kalimah tauhid dan tunjang akidah ummah Islam.

Das könnte Ihnen auch gefallen