Sie sind auf Seite 1von 3

Mimpi matahari Siti Khadijah

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SAIDATINA Siti Khadijah binti Khuwailid atau Khadijah al Kubra merupakan isteri pertama
Nabi Muhammad SAW. Nama penuhnya Siti Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin Abdul
Uzza bin Qushai.
Beliau ialah anak perempuan pasangan Khuwailid bin Asad dan Fatimah binti Zaidah
berasal daripada kabilah Bani Asad dari suku kaum Quraisy namun dikatakan bapanya itu
terbunuh dalam peperangan Fujjar.
Siti Khadijah sebelum mengahwini Rasulullah pernah berkahwin sebanyak dua kali, iaitu
perkahwinan pertamanya bersama Ais atau Atiq bin Abid dan mendapat dua orang anak
iaitu Abdullah dan Jariyah dan perkahwinan keduanya, adalah dengan Abu Halah bin Malik
dan mempunyai anak iaitu Hindun dan Zainab.
Kedua-dua suaminya meninggal dunia menyebabkan Siti Khadijah menjadi janda atau balu
sebelum berkahwin dengan Nabi Muhammad.
Begitupun dikatakan Siti Khadijah telah puas menolak lamaran daripada ramai lelaki
Quraisy yang kaya, berkedudukan tinggi dan berpengaruh besar di Kota Mekah sebaik sahaja
kematian suami keduanya itu. Ini termasuklah pinangan daripada Uqbah bin Abi Muith,
Abu Jahal dan Abu Suffyan.
Soalnya mengapa? Adakah kerana Siti Khadijah sudah tertutup hatinya dengan mana-mana
lelaki untuk dijadikan pasangan hidup atau beliau berharap agar lelaki yang bakal dikahwini
merupakan Nabi Muhammad. Namun kerana beberapa keadaan, beliau terpaksa
memendam perasaannya itu terhadap pemuda yang sering menjadi sebutan penduduk
Mekah itu.
Kita tidak dapat mengenalpasti jarak dan masa antara Siti Khadijah menjanda sehingga
beliau mengenali Rasulullah yang menyebabkan beliau menolak kesemua lamaran-lamaran
tersebut.
Namun apa yang jelas, Siti Khadijah yang pada mulanya hanya mengenali Nabi Muhammad
pada nama sahaja akhirnya benar-benar jatuh hati terhadap pemuda itu apabila
mendengarkan segala kisah-kisah seperti yang diceritakan oleh hambanya, Maisarah
sebelum ini.
Iaitu kisah keperibadian baginda yang sangat mulia dan kebijaksanaan Nabi dalam
menguruskan dan menjayakan misi dagang ke Syam.
Siti Khadijah benar-benar telah jatuh hati dan terpikat terhadap Nabi dan telah
menyebabkan hatinya terbuka untuk mendirikan rumah tangga walaupun dengan seorang
pemuda yang tidak punya apa-apa itu.
Malah dikatakan perasaan beliau terhadap Nabi Muhammad itu tidak boleh ditahan-tahan
atau dihalang-halang lagi sehingga beliau berkata: "Jika segala kenikmatan hidup
diserahkan kepadaku, dunia dan kekuasaan para raja Iran (Parsi) dan Rumawi diberikan
kepadaku, tetapi aku tidak hidup bersama Muhammad, maka semua itu bagiku tidak lebih
berharga daripada sebelah sayap seekor nyamuk".
Sehingga begitu sekali perasaan Siti Khadijah terhadap Nabi.
Tetapi pernahkah Siti Khadijah sendiri meluahkan perasaannya itu terhadap tuan badan?
Ibnu Hisyam dalam kitabnya Sirah Ibnu Hisyam (halaman 204), mencatatkan bahawa Siti
Khadijah sendiri dikatakan pernah bertemu bagi menyatakan perasaannya terhadap Nabi

Muhammad dengan berkata: "Saudaraku, mengingatkan hubungan yang ada di antara kita
(bangsa Quraisy) dan kebesaran serta kemuliaan saudara di kalangan kaum serta kejujuran,
akhlak terpuji dan sifat lurus dan amanah yang ada pada saudara maka saya sangat ingin
untuk hidup bersama dengan berkahwin dengan saudara wahai Muhammad!"

merealisasikan impian
Namun, bagaimana harapan itu boleh menjadi kenyataan sedangkan Siti Khadijah
menyedari akan terdapatnya satu adat tradisi yang boleh menghalangnya kecuali beliau
perlu menunggu dan Nabi Muhammad itu sendiri yang meminangnya bagi membolehkan
mereka akhirnya dapat hidup sebagai pasangan suami isteri.
Tidak mungkin perigi yang mencari timba namun wanita bangsawan ini menyedari bahawa
beliau terpaksa memecahkan tradisi itu bagi merealisasikan impian suci itu.
Beliau kemudiannya meminta bantuan seorang rakan, iaitu Nafisah@Nafsiah binti
Aliyah@Muniiah@Munyaa untuk menemui Nabi Muhammad bagi pihaknya dan
mengharapkan rakannya itu akan membawa pulang dengan berita gembira.
Berikut dialog antara rakan Siti Khadijah itu dengan Nabi Muhammad; "Wahai Muhammad
mengapa tidak anda sinari kehidupan malam anda dengan seorang isteri?"
Jawab Nabi: "Ini kerana saya tidak mempunyai sebarang persiapan untuk berkahwin".
"Kalau begitu apakah anda akan menyambutnya dengan senang hati jika saya mengundang
anda kepada kecantikan, kekayaan, keanggunan dan kehormatan," kata Nafisah.
Nabi menjawab; "Apa maksud anda?"
Lalu Nafsiah menyebut nama Siti Khadijah.
Mendengarkan nama Siti Khadijah itu, lantas Nabi Muhammad pun berkata "Apakah
Khadijah sudi menerima saya, pada hal dunia saya dan dunia dia jauh berbeza dan
sedangkan beliau pernah menolak lamaran-lamaran daripada pemuda-pemuda yang jauh
lebih mulia dan kaya daripada saya?"
"Saya mendapat kepercayaan daripada Siti Khadijah dan akan membuat dia setuju. Anda
hanya perlu menetapkan tarikh perkahwinan agar walinya (Amar bin Asad) dapat
mendampingi anda berserta sahabat handai, rakan taulan dan upacara perkahwinan dan
perayaan dapat diadakan," kata Nafsiah.
Nabi Muhammad tidak lagi mempunyai alasan untuk berdolak dalik malah rasa terharu
dengan permintaan Siti Khadijah itu dan meminta Nafsiah pulang kepada wanita itu dengan
membawa khabar gembira.
Nabi Muhammad kemudiannya menyerahkan kepada bapa saudaranya, Abu Talib bagi
mengaturkan pertemuan dengan keluarga Siti Khadijah dan sama-sama merancang untuk
menjayakan majlis perkahwinan ini.

Wali perkahwinan
Amar bin Asad merupakan bapa saudara malah ada yang menyebut Amar bin Khuwailid,
iaitu saudara lelaki Siti Khadijah menjadi wali perkahwinan berikutan si bapa, Khuwailid
seperti disebut dari awal tadi terbunuh dalam peperangan Fujjar.
Begitupun, sebenarnya dikatakan berlaku tentangan daripada keluarga Siti Khadijah apabila
janda kaya ini memilih Nabi Muhammad sebagai pasangan hidup.
Malah sesetengah riwayat mencatatkan, tentangan paling kuat datangnya daripada bapanya
sendiri, Khuwailid.

Lantas bagi menjayakan perkahwinannya, Siti Khadijah dikatakan banyak memberi bapanya
minum arak sehingga menyebabkan Khuwailid mabuk teruk dan tidak dapat menghalang
perkahwinan anaknya dengan Nabi Muhammad itu.
Akhirnya, Nabi Muhammad dan Siti Khadijah selamat bergelar suami isteri dalam satu
majlis yang tidak kurang meriah dan disambut oleh seluruh penduduk Mekah.
Baginda dikatakan membayar mas kahwin sebanyak 20 bakrah atau 400 ratus dinar tetapi
ada yang menyebut Khadijah menerima 20 ekor unta yang masih muda daripada suaminya
itu.
Episod perkahwinan Nabi Muhammad dan Siti Khadijah mungkin tidak akan berlangsung
jika tidak berdasarkan alamat yang ditunjukkan oleh mimpi yang dialami oleh wanita itu.
Pada suatu hari iaitu dikatakan sebelum Nabi Muhammad mengambil upah mengetuai
rombongan dagangan ke Syam itu, Siti Khadijah dikatakan telah didatangi satu mimpi yang
agak aneh dan ini menyebabkan beliau segera menemui sepupunya, pendita atau rahib
agama Hanif, Waraqah bin Naufal atau nama penuhnya Waraqah bin Nawfal bin Assad bin
Abd al-Uzza bin Qusayy Al-Qurashi.
"Malam tadi aku bermimpi sangat menakjubkan. Aku melihat matahari berputar-putar di
atas Kota Mekah, lalu turun ke arah bumi.
"Ternyata matahari itu turun dan memasuki rumahku. Cahayanya yang sangat agung itu
membuatkanku terpegun.
"Lalu aku terbangun daripada tidurku itu" kata Siti Khadijah.
Mendengarkan itu, lalu Waraqah berkata; "Aku sampaikan berita gembira kepadamu,
bahawa seorang lelaki agung dan mulia akan datang untuk menjadi teman hidupmu.
"Dia memiliki kedudukan penting dan kemasyhuran yang semakin hari semakin
meningkat," kata Waraqah.
Akibat dari mimpi itulah ditakdirkan tidak lama kemudian Khadijah menjadi isteri
Muhammad.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?


y=2009&dt=0601&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz3MEs36fyN
Utusan Melayu (M) Bhd

Das könnte Ihnen auch gefallen