Sie sind auf Seite 1von 5

3.

0 PUNCA

Fenomena bekerja sambilan bukanlah sesuatu yang baru wujud dalam kalangan
masyarakat kita. Daripada golongan pegawai peringkat rendah sehinggalah golongan
profesional seperti guru, pensyarah dan doktor, ramai dalam kalangan mereka yang
melakukukan kerja sambilan dengan tujuan untuk menambah pendapatan atau sebagai satu
hobi di masa lapang. Antara jenis-jenis kerja sambilan yang dijalankan oleh guru ialah seperti
mengajar di pusat tuisyen, menjadi jurujual produk barangan tertentu, menyertai syarikat jualan
langsung, menjadi agen insurans dan sebagainya.
Faktor utama yang menyebabkan semakin ramai golongan guru menjalankan kerja
sambilan ialah kerana ingin menambahkan pendapatan. Kenyataan ini disokong oleh Kimmel
& Conway (2002) dalam M. Afzalur Rahim et. al. 2002 yang mengemukakan bahawa alasan gaji
atau pendapatan yang kecil daripada kerjaya utama menjadi punca kepada seseorang itu
melakukan pekerjaan sampingan. Umum mengetahui bahawa kos sara hidup pada masa kini
semakin tinggi dan golongan guru juga tidak terkecuali daripada merasakan tempiasnya. Oleh
itu pendapatan yang memuaskan sangat diperlukan bagi menyara kehidupan terutama sekali
bagi golongan yang telah berkeluarga. Berdasarkan pengalaman saya ketika menjalani latihan
praktikum di salah sebuah sekolah di Melaka, saya dapati terdapat beberapa orang guru di
sekolah tersebut turut menjalankan kerja sambilan. Kesemua mereka membuat kerja sambilan
kerana ingin menambah pendapatan ekoran daripada jumlah pendapatan yang tidak mencukupi
untuk menyara keluarga.
Ada dalam kalangan guru yang menjalankan kerja sambilan turut mendakwa bahawa skim
gaji guru pada masa kini tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa berbanding
pekerjaan-pekerjaan lain yang memberikan pendapatan yang jauh lebih baik. Pertambahan
pendapatan menerusi pekerjaan sampingan sememangnya dapat membantu memberi
kestabilan kepada taraf ekonomi sesebuah keluarga. Dengan adanya pertambahan pendapatan
segala keperluan asas yang diperlukan dapat disediakan dan ini dapat membantu dalam
mengekalkan keharmonian sesebuah institusi kekeluargaan. Guru-guru yang menetap di
kawasan bandar adalah antara golongan yang paling terkesan dari segi isu pendapatan.
Desakan ekonomi yang lebih meruncing berbanding guru yang menetap di kawasan desa dan
kampung, menyebabkan ramai di antara mereka mengambil keputusan untuk bekerja sambilan
selain daripada menjalankan tugas sebagai pendidik.
4

Selain itu, keinginan untuk hidup mewah dan mahu mengaut keuntungan dalam masa
yang singkat juga mendorong sesetengah guru untuk menjalankan kerja sambilan yang
menyalahi undang-undang seperti pengedaran dadah dan penyeludupan senjata api. Kira-kira
empat tahun lalu, negara telah digemparkan dengan berita penahanan seorang guru Sains
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Rengit, Batu Pahat kerana terlibat dengan sindiket
pengedaran dadah secara sambilan. Guru tersebut dikatakan baru sahaja berjinak-jinak dalam
pengedaran dadah kira-kira dua bulan yang lalu kerana mahu menjalani kehidupan mewah dan
bergaya dalam masa yang singkat. Akibat terlalu mengikut perasaan tamak dalam mengejar
kekayaan, seorang lagi guru dari Beledin, Sarawak ditangkap polis kerana dipercayai
menjalankan kegiatan menjual dan mengedar dadah serta pil khayal. Suspek yang berasal dari
Semenanjung bukan sahaja menjual dadah kepada pelajar sekolah, malah suspek turut
mempunyai rangkaian pelajar sebagai orang tengahnya dalam urusan tersebut.
Kerjaya sebagai seorang guru tidak mungkin menjanjikan kemewahan seperti kerjaya di
sektor korporat yang menjanjikan pendapatan berlipat kali ganda. Walaubagaimanapun, guru
masih boleh hidup selesa jika bijak merancang kewangan. Masyarakat kita pada masa kini tidak
pernah puas dengan apa yang dimiliki dan sentiasa ingin bersaing dari segi material. Golongan
guru juga tidak terlepas daripada senario ini. Hal ini menyebabkan individu itu lupa daratan dan
terdorong untuk melakukan apa sahaja demi memuaskan kehendak diri. Ingin memiliki pakaian
berjenama, memandu kenderaan mewah, menggunakan telefon bimbit tercanggih dan
menikmati percutian di luar negara merupakan antara realiti yang terjadi pada masyarakat kita
pada masa kini. Kita harus sedar bahawa dalam setiap perkara yang ingin dilakukan, ia
mestilah bermula dengan niat yang baik. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud,
Setiap amalan adalah dengan niat. Oleh itu manusia perlu membetulkan niat terlebih dahulu
sebelum melakukan apa jua pekerjaan.
Hipple (2010) menyatakan kebanyakan mereka yang bekerja sambilan didapati sangat suka
untuk melakukannya tanpa terikat dengan faktor kewangan. Malahan kajian ke atas guru
menunjukkan majoriti daripada mereka yang terlibat dengan pekerjaan sambilan tetap akan
melakukan pekerjaan sampingan walaupun tangga gaji mereka sebagai guru dinaikkan. Dalam
erti kata lain, salah satu faktor yang mendorong guru untuk menjalankan kerja sambilan ialah
demi kepuasan diri. Situasi ini menggambarkan bahawa mereka gembira dengan kerja
sambilan yang dilakukan walaupun terpaksa mengorbankan masa lapang di luar waktu
bertugas. Kepuasan bekerjaya yang tidak diperolehi daripada pekerjaan utama telah
mendorong mereka untuk melakukan pekerjaan lain yang lebih diminati secara sambilan.
5

Contohnya guru yang menjalankan perniagaan secara sambilan mengakui bahawa mereka
sememangnya sangat berminat dalam bidang perniagaan. Mereka berasa puas setiap kali
dapat berurus niaga dengan pelanggan berbanding daripada berhadapan dengan kerenah
murid dan sekolah.
Waktu bekerja guru yang tamat awal sekitar jam 2 petang telah mendorong sesetengah
guru untuk menghabiskan waktu terluang dengan melakukan pekerjaan sambilan. Antaranya
ialah mengajar di pusat-pusat tuisyen, berniaga dan sebagainya. Menurut salah seorang guru di
sekolah saya menjalani latihan praktikum yang turut bekerja secara sambilan, adalah lebih baik
sekiranya golongan guru memanfaatkan waktu terluang selepas tamat tugas di sekolah untuk
perkara yang boleh memberi pulangan. Beliau yang bekerja secara sambilan sebagai pengajar
di sebuah pusat tuisyen di Muar mengakui bosan berada di rumah selepas tamat waktu bekerja
di sekolah. Hal ini telah mendorong beliau untuk mencari pekerjaan sampingan. Datuk Mohd.
Johari Baharum Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menggalakkan kakitangan
awam membuat kerja sambilan di luar waktu bekerja dengan menggunakan kepakaran masingmasing seperti doktor dan guru (Utusan Malaysia, 2008). Malah kerajaan juga bersedia
mempertimbangkan permohonan kakitangan awam untuk melakukan pekerjaan sambilan
asalkan ianya tidak menjejaskan prestasi mereka.
Di samping itu, ada juga dalam kalangan guru memilih untuk bekerja sambilan kerana ingin
membina rangkaian sosial yang lebih luas dengan masyarakat luar serta menimba
pengalaman baharu yang berbeza daripada pekerjaan sedia ada yang dimiliki. Contohnya
menjadi ahli politik di samping tugas utama sebagai pendidik. Guru suatu waktu dulu bukan
setakat mengajar dan mendidik anak-anak muridnya hingga berjaya, tetapi pada waktu yang
sama menjadi tokoh dalam masyarakat dan dicontohi kepimpinannya (Sakinah Salleh, 2010).
Antara yang pernah memegang jawatan sebagai ahli politik ketika berkhidmat sebagai guru
ialah Tun Abdul Ghaffar Baba dan Jaafar Alang. Minat untuk mengenali, membantu dan
memimpin masyarakat mendorong sesetengah guru untuk terlibat dalam politik secara
sukarela. Mereka juga mudah mewujudkan hubungan dengan masyarakat luar kerana
mempunyai ciri-ciri sosial yang baik. Guru yang menjadikan bidang politik sebagai pekerjan
sambilan juga mengakui bahawa ia memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari
banyak perkara baharu terutama dari segi pengurusan dan pentadbiran. Perkara-perkara
baharu yang dipelajari dalam bidang tersebut membantu memberi nilai tambah kepada
peningkatan profesionalisme mereka sebagai seorang guru dan mengangkat martabat
profesion perguruan ke satu tahap yang lebih tinggi.
6

Walaubagaimanapun, isu guru dan kerjaya sambilan sebagai ahli politik mendapat
tentangan daripada beberapa pihak yang bimbang ianya akan meberi kesan kepada mutu
perkhidmatan guru di sekolah. Antara individu yang membantah penglibatan guru sebagai ahli
politik ialah Tan Sri Arshad Ayub, seorang tokoh pendidikan negara. Tugas guru pada masa kini
semakin mencabar berikutan ledakan maklumat menerusi teknologi maklumat dan komunikasi
(Smahadzir & Jaafar Man, 2007). Semua perubahan ini menuntut guru lebih bersedia berdepan
dengan pelbagai kerenah pelajar selain memastikan masalah displin dapat dikurangkan. Oleh
hal yang demikian, guru yang terlibat sebagai ahli politik perlu bijak menguruskan masa agar
dapat menjalankan kedua-dua tugas yang telah diamanahkan dengan baik. Warga guru boleh
terlibat dalam politik tetapi perlu mendapat kebenaran khas daripada Ketua Pengarah Pelajaran
terlebih dahulu. Perlu diingatkan, guru-guru yang memegang jawatan sebagai ahli politik harus
akur dengan tugas utama mereka sebagai penjawat awam. Di sekolah, mereka berperanan
sebagai pendidik dan bertanggungjawab terhadap murid-murid dan institusi pendidikan yang
dinaungi. Di luar tugas utama pula, mereka bertanggungjawab terhadap masyarakat sekeliling
Faktor seterusnya yang menyebabkan ramai dalam kalangan guru pada masa kini memilih
untuk memiliki pekerjaan sambilan ialah atas desakan masalah kewangan dan bebanan
hutang. Antara sedar atau tidak ramai rakyat Malaysia melakukan kerja sambilan untuk
membayar hutang seperti hutang kad kredit, hutang kenderaan, hutang rumah dan hutang
peribadi. Guru juga merupakan antara golongan yang tidak terlepas daripada bebanan-bebanan
tersebut. Oleh sebab itu lah ada dalam kalangan guru yang menjadi agen jualan langsung,
agen insurans dan membuka perniagaan sendiri secara sambilan. Ada juga yang sanggup
meminjam wang daripada ceti haram kerana pendapatan utama serta pendapatan sampingan
yang diperoleh masih tidak cukup untuk menyara kehidupan dan melunaskan hutang mereka.
Kelemahan dari aspek pengurusan kewangan serta gaya hidup melebihi kemampuan diri
menyebabkan ramai guru yang perlu berkorban masa membuat kerja sambilan. Amat
menyedihkan sekali apabila golongan pendidik yang menjadi contoh dan dipandang tinggi oleh
masyarakat terjebak dengan masalah hutang.
Padah kerana tidak bijak menguruskan kewangan telah menyebabkan seorang guru di
Bachok Kelantan, menemui ajalnya selepas terkena tiga das tembakan yang dilepaskan oleh
seorang lelaki bermotosikal. Siasatan awal polis mendapati, motif kejadian berpunca daripada
masalah hutang mangsa. Mangsa yang merupakan seorang guru penolong kanan turut terlibat
dalam perniagaan balak, jualan langsung dan kontrak kantin. Kejadian menyayat hati ini
sememangnya mengejutkan ramai pihak lebih-lebih lagi mangsa ditembak berhampiran dengan
7

sekolah tempat mangsa mengajar. Situasi seperti ini sudah cukup untuk memberi gambaran
tentang akibat jika bersikap sambil lewa dalam pengurusan kewangan. Falsafah biar papa asal
bergaya tidak boleh diterima pakai kerana ia hanya akan mengundang malapetaka kepada diri
sendiri. Justeru, kesedaran orang ramai termasuk golongan guru mengenai pengurusan
kewangan yang efektif adalah amat perlu demi kestabilan dan kesejahteraan kehidupan.

Das könnte Ihnen auch gefallen