Sie sind auf Seite 1von 9

PENGGUNAAN KAEDAH VETTICE MEMBANTU MURID

TAHUN 4 MENYELESAIKAN PENDARABAN NOMBOR DUA


DIGIT DENGAN NOMBOR DUA DIGIT
Oleh:
Rabiatul Adawiyah binti Mohd Nizam, Nik Mohamad bin Nik Jusoh
Jabatan Matematik, IPG Kampus Dato Razali Ismail
adawiyah174@gmail.com, nik @ipgmkdri.edu.my.
ABSTRAK
Semasa menjalani praktikum, pengkaji mendapati tahap penguasaan sebahagian
murid dalam tajuk pendaraban agak lemah. Kelemahan penguasaan fakta asas
darab dan gagal menguasai algoritma pendaraban menyebabkan murid gagal
menyelesaikan soalan pendaraban nombor dua digit dengan nombor dua digit.
Melalui pemerhatian, analisis dokumen dan ujian diognostik, di dapati banyak
kesilapan sering di lakukan oleh murid semasa menyelesaikan soalan
pendaraban. Oleh itu, kajian tindakan ini di jalankan untuk meningkatkan
penguasaan kemahiran pendaraban murid lemah tahun 4 bagi nombor dua digit
dengan nombor dua digit secara mengumpul semula dan tanpa mengumpul
semula melalui penggunaan Kaedah Vettice.Lima orang peserta kajian yang
terdiri dari tiga lelaki dan dua perempuan dipilih berdasarkan ujian diognostik.
Pemgumpulan data menggunakan instrumen ujian, analisis dokumen dan temu
bual. Data kualitatif dianalisis secara deskriptif mengikut peserta kajian.
Dapatan kajian menunjukkan Kaedah Vettice berjaya meningkatkan
penguasaan kemahiran pendaraban nombor dua digit dengan nombor dua digit
bagi setiap peserta kajian.
Kata kunci: Kaedah Vettice, pendaraban nombor dua digit dengan nombor
dua digit.

REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


Semasa pengkaji menjalani praktikum fasa 1 dan fasa 2 di SK Bukit Losong dan SK Kelulut
di dapati wujud masalah dalam menguasai kemahiran pendaraban nombor. Bagi murid tahun
2 di SK Losong, masalah yang dihadapi adalah tidak mengingat sifir. Bagi murid tahun 5
Bestari di SK Losong dan 4 Bestari di SK Kelulut, murid dari kelas ini menghadapi masalah
untuk menguasai algoritma pendaraban serta tidak mengingat sifir.
Masalah yang sama turut dialami oleh murid tahun 4 di SK Telok Pasu, Kuala Terengganu.
Semasa praktikum fasa ketiga di sekolah tersebut, pengkaji diamanahkan untuk mengajar
Matematik bagi kelas 4 Jauhari. Kelas ini merupakan kelas pertama daripada tiga kelas Tahun
4 di sekolah ini. Semasa sesi pengajaran dan pembelajaran bagi murid Tahun 4 Jauhari,
didapati ramai murid yang menghadapi masalah untuk mendarab nombor dua digit dengan
nombor dua digit menggunakan kaedah bentuk lazim. Terdapat empat masalah pendaraban
nombor dua digit dengan nombor dua digit bagi kelas 4 Jauhari yang dapat dikesan. Masalah
pertama ialah tidak menguasai fakta asas darab. Masalah kedua ialah tidak menguasai
algoritma pendaraban bentuk lazim. Manakala masalah ketiga ialah kesilapan dalam
mengumpul semula dan masalah yang terakhir ialah kecuaian dalam pengiraan. Kesemua
contoh masalah ini dapat di lihat pada jadual 1.

Rajah 1: Contoh kesilapan murid dalam pendaraban nombor.

Kesilapan pemilihan
fakta asas darab bagi
sifir 2

Mendarab
mengikut
algoritma
penambahan

Kesilapaan tidak
melakukan pengumpulan
semula

Kesilapan
menulis fakta
asas darab sifir 2

Bagi mengatasi masalah ini, pengkaji telah menjalankan satu kajian tindakan bagi membantu
murid meningkatkan penguasaan kemahiran pendaraban nombor dua digit dengan nombor
dua digit.
SOROTAN LITERATUR
Menurut Kamus Dewan (Dewan Bahasa & Pustaka, 2010), pendaraban di difinisikan sebagai
perkalian, perbanyakan dan pengandaan. Pendaraban boleh di maksudkan sebagai tindakan
menghubungkan antara set-set (kumpulan-kumpulan), sama seperti maksud penambahan.
Eda & Lirika (2011), empat operasi asas- tambah, tolak, darab dan bahagi, adalah konsep
matematik asas yang diajar pada peringkat sekolah rendah. Tajuk pendaraban merupakan
salah satu tajuk yang amat penting di dalam subjek matematik, Zainuddun & Rahidi (2007).
Aplikasi fakta asas kira darab juga amat penting dalam menyelesaikan masalah lain di dalam
matematik seperti tajuk pecahan, perpuluhan, ukuran jarak, matematik harian, wang,
timbangan, masa dan waktu. Pendapat ini disokong lagi oleh Goh Min Lee (2011) di dalam
kajiannya menyatakan sekiranya murid tidak tahu akan operasi kira darab, ia akan membawa
kesukaran kepada mereka untuk mempelajari topik-topik Matematik yang seterusnya yang
melibatkan pendaraban. Menurut Lawrence (2012), kajian menunjukkan masalah utama
kanak-kanak ialah ketidakupayaan untuk menggunakan empat operasi (tambah, tolak, darab,
bahagi) dengan berkesan, tidak memahami hubungan antara sa, puluh, dan ratus, masalah
nilai tempat, salah meletak nombor, masalah koordinasi mata-tangan, dan masalah ingatan.
Satu kaedah baru telah dicipta melalui kajian tindakan ini bagi mengatasi masalah pendaraban
nombor dua digit dengan nombor dua digit yang timbul di kalangan murid tahun 4 Jauhari .
Kaedah ini merupakan satu inovasi gabungan Kaedah Verdict dan Kaedah Lattice. Kedah ini
dicipta bagi mengantikan kaedah bentuk lazim yang agak abstrak. Menurut Cooper (1994) di
dalam kajian Goh Min Lee (2011), sesetengah pelajar mendapati corak adalah berguna dalam
mempelajari pendaraban. Menurut Janting (2005), bahan maujud perlu digunakan dalam p&p
kerana murid-murid sekolah rendah memerlukan sesuatu yang konkrit untuk memudahkan
pemahaman murid. Tidak ada sesuatu pendekatan yang paling mudah untuk menguasai sifir.
Sebaliknya, penggunaan pelbagai pendekatan yang bersesuaian dengan sifir darab tertentu
adalah lebih baik. Tony (2010), menyatakan penting membiarkan kanak-kanak membina
sendiri cara pendaraban tidak formal mereka sama seperti penambahan dan penolakan.
Menurut Shah (2001) kemahiran dan sub-kemahiran disusun dari yang senang ke sukar dan
konkrit ke abstrak.

Terdapat dua inovasi sedia ada daripada kajian tindakan yang lepas berkaitan dengan kajian
tindakan ini. Pertama ialah Kaedah Combination Lattice With Cross Multiplication CLCM
oleh Che Abdul Razak Che Muhammad (2012) dan kedua, Kaedah Garis Bersilang oleh
Amran Kemat (2012). Kedua-dua kaedah ini mempunyai kekuatan yang sama iaitu murid
tidak perlu mengingat sifir dan dapat meminimunkan kesilapan murid dalam mengumpul
semula. Kelemahan bagi Kaedah CLCM ialah memakan masa untuk melukis petak manakala
kelemahan Kaedah Garis Bersilang ialah tidak mengatasi kesilapan murid di dalam algoritma
pendaraban. Mengambil kira kekuatan dan kelemahan tersebut, pengkaji telah
memperkenalkan Kaedah Vettice bagi membantu murid menguasai kemahiran pendaraban
nombor dua digit dengan nombor dua digit.
TUJUAN KAJIAN
Tujuan utama kajian ini dijalankan adalah untuk membantu murid lemah Tahun 4 Jauhari
Sekolah Kebangsaan Telok Pasu menguasai kemahiran pendaraban nombor dua digit dengan
nombor dua digit menggunakan Kaedah Vettice
Objektif Kajian
Membantu meningkatkan penguasaan kemahiran pendaraban nombor dua digit dengan
nombor dua digit bagi murid Tahun 4 Jauhari yang berpencapaian rendah menggunakan
Kaedah Vettice.
Persoalan Kajian
Bagaimanakah penggunaan Kaedah Vettice dapat membantu murid lemah Tahun 4 Jauhari
Sekolah Kebangsaan Telok Pasu meningkatkan penguasaan kemahiran menyelesaikan
pendaraban nombor dua digit dengan nombor dua digit tanpa mengumpul semula dan secara
mengumpul semula ?
METODOLOGI KAJIAN
Kajian tindakan ini melibatkan lima orang murid lemah Tahun 4 Jauhari yang terdiri
daripada tiga orang murid lelaki dan dua orang murid perempuan. Peserta kajian dipilih
berdasarkan pencapaian Ujian Diagnostik. Pengumpulan data adalah menggunakan
instrument pemerhatian, analisis dokumen, temu bual dan ujian. Data kualitatif dianalisis
secara deskriptif mengikut peserta kajian.
Analisis dokumen yang digunakan adalah lembaran kerja yang diberi semasa sesi intervensi,
Ujian Pra dan Ujian Pasca. Sebarang bentuk kesilapan yang dilakukan oleh peserta kajian
dianalisis secara individu bagi mengenal pasti kesilapan yang dilakukan dalam pendaraban
nombor dua digit dengan nombor dua digit. Hasil analisis di gunakan untuk menyokong
dapatan kajian
Temubual berstruktur di jalankan selepas Ujian Pra dan Ujian Pasca. Tujuan temubual adalah
untuk menentukan tahap penguasaan murid dalam kemahiran pendaraban nombor dua digit
dengan nombor dua digit bagi menyokong dapatan kajian ini. Instrumen ini dianalisis
menggunakan transkrip temu bual antara pengkaji dan peserta kajian.
Instrumen yang terakhir adalah ujian iaitu Ujian Pra dan Ujian Pasca. Kesemua soalan Ujian
Pra dan Ujian Pasca adalah sama tetapi berbeza turutan bagi mengelakkan peserta kajian
mengingati item yang terdapat dalam Ujian Pra. Kedua-dua ujian ini digunakan bagi
memperoleh data dari segi perbezaan tahap penguasaan peserta kajian dalam kemahiran
mendarab nombor dua digit dengan nombor dua digit antara sebelum dan selepas sesi
intervensi dijalankan.

SPESIFIKASI INTERVENSI
Kaedah Vettice merupakan gabungan kaedah Lattice (Kekisi) dan kaedah Verdict. Melalui
kaedah ini, nombor akan ditukarkan kepada perwakilan garisan. Terdapat lima langkah di
dalam kaedah ini.
Langkah 1
Pendarab akan ditukarkan kepada garisan menegak manakala yang didarab akan ditukarkan
kepada garisan melintang.
13 x 14 =

Langkah 2
Anak panah dilukis mengunakan warna yang berbeza mengikut kedudukan anak panah iaitu
bawah, tengah dan atas.
13 x 14 =

Langkah 3
Mengira jumlah persilangan di antara garisan menegak dan melintang. Nilai yang diperolehi
akan akan ditulis pada anak panah. Cara menulis nilai adalah sama seperti kaedah Lattice
tetapi ditulis pada atas dan bawah anak panah.
13 x 14 =

Langkah 4
Mengira jumlah nombor di bawah anak panah mengikut kedudukan anak panah. Nombor
yang telah dikira akan dipotong untuk mengelakkan kekeliruan. Pada mulanya nombor di
bawah anak panah paling bawah di tambah dan nilai yang diperolehi di tulis di bawah rumah
sa. Kemudian, nombor di bawah anak panah tengah di tambah dan nilai yang diperolehi di
tulis di bawah rumah puluh. Seterusnya, nombor di bawah anak panah paling atas akan di

tambah dan nilai yang diperolehi di tulis di bawah rumah ratus. Dan yang terakhir, nombor
yang belum dipotong akan dikira. Memandangkan hanya terdapat nombor sifar sahaja yang
belum dipotong, maka murid akan memotong nombor sifar dan menulis nilai yang diperolehi
di bawah rumah ribu.

Langkah 5
Langkah ini di lakukan jika hasil tambah nombor di bawah anak panah adalah nombor dua
digit. Pengumpulan semula akan di lakukan supaya nilai tempat mempunyai nombor satu
digit sahaja. Jika terdapat nombor dua digit pada mana-mana nilai tempat, digit yang pertama
perlu ditambah kepada nombor di sebelah kirinya.

Jika murid sudah menguasai Kaedah Vettice, murid tidak perlu lagi menggunakan warna
anak panah yang berbeza.
Terdapat empat sesi intervensi yang dilaksanakan dan masa yang diperuntukkan bagi setiap
sesi adalah selama satu jam. Objektif bagi Sesi Intervensi 1 adalah menukarkan 3 daripada 4
soalan pendaraban nombor dua digit dengan nombor dua digit kepada bentuk garisan dengan
betul. Objektif Sesi Intervensi 2 pula adalah mengisi nilai persilangan antara garisan pada
ruang yang betul.Manakala objektif Sesi Intervensi 3 adalah menambah nombor-nombor
mengikut kedudukan anak panah dan objektif Sesi Intervensi yang terakhir adalah melakukan
pengumpulan semula nilai tempat bagi jawapan yang diperolehi.

DAPATAN KAJIAN
Dalam artikel ini, pengkaji telah memilih seorang peserta kajian, iaitu peserta kajian C (PK C)
bagi memaparkan hasil dapatan kajian yang diperolehi. PK C merupakan murid lemah dalam
matematik. PK C sering tidak menumpukan perhatian dan bermain-main semasa semasa
proses pengajaran dan pembelajaran (pdp). Ini menunjukkan bahawa dia tidak berminat
dengan proses pdp. Sebelum sesi intervensi, pengkaji mendapati PK C menghadapi dua
masalah di dalam pendaraban nombor dua digit dengan nombor dua digit. Masalah pertama
ialah tidak menguasai fakta asas darab (rujuk rajah 1) dan masalah kedua ialah tidak
menguasai algoritma pendaraban (rujuk rajah 2).

Rajah 1: Kesilapan memilih fakta asas darab


Merujuk rajah di atas, PK C tidak dapat memberi fakta asas darab yang tepat bagi sifir 2. Bagi
sifir 5, jawapan yang diberikan adalah betul. Daripada temubual yang dilakukan, peserta
kajian ini menyatakan dop ingat..sifir lima jer..(PKC-TB05). Ini menunjukkan PK C
menghadapi masalah menguasai fakta asas darab dan hanya mampu menguasai sifir yang
mudah sahaja iaitu sifir 5.

Rajah 2: Tidak menguasai algoritma pendaraban bentuk lazim.


Berdasarkan rajah di atas, dapat disimpulkan PK C tidak dapat menguasai langkah-langkah
pengiraan bentuk lazim. Daripada temubual yang dibuat, PK C menyatakan tidak mengingat
langkah pengiraan bentuk lazim .. dop ingat langkoh. (PKC-TB04).
Sepanjang sesi intervensi dilaksanakan, PK C memberikan kerjasama dan mendengar arahan
dengan baik. Ini berbeza semasa di dalam kelas, di mana PK C merupakan seorang murid
yang malas dan tidak mendengar arahan guru. Semasa Sesi Intervensi1 , PKC telah dibimbing
untuk menukarkan nombor kepada perwakilan garisan menegak dan melintang. Bagi sesi
intervensi 1, PK C berjaya menguasai kemahiran menukar nombor kepada perwakilan
garisan dengan baik. Hal ini di buktikan dengan analisis dokumen apabila PK C berjaya
menjawab dengan betul kesemua soalan pada lembaran kerja1 yang diedarkan.

Rajah 3: Soalan lembaran kerja 1 yang berjaya dijawab oleh PKC


Semasa Sesi Intervensi 2, PK C telah dibimbing untuk menguasai kemahiran mengisi nilai
persilangan antara garisan pada anak panah. Bagi sesi intervensi kedua pula, PK C kelihatan
lebih bersemangat untuk belajar. PK C berjaya menguasai kemahiran kedua tanpa sebarang
masalah. PK C berjaya menjawab dengan betul kesemua soalan pada lembaran kerja 2. Rajah
di bawah menunjukkan contoh jawapan PK C pada lembaran kerja 2.

Rajah 4: Soalan lembaran kerja 2 yang berjaya dijawab oleh PKC


Semasa Sesi Intervensi 3, PK C telah di bimbing untuk menguasai kemahiran menambah
nombor-nombor mengikut kedudukan anak panah yang melibatkan kemahiran tanpa
mengumpul semula. Berdasarkan analisis lembaran kerja, PK C berjaya menguasai kemahiran
ini apabila dapat menjawab tiga daripada empat soalan dengan betul . PK C menyatakan cara
ini lebih senang berbanding bentuk lazim. Kesilapan yang di lakukan oleh PK C semasa
menjawab soalan pada lembaran kerja 3 ialah pada soalan nombor 3 (rujuk rajah 4).

Rajah 5: Kesilapan yang dilakukan PK C semas lembaran kerja 3


Merujuk kepada rajah 5, PK C melakukan kesilapan menukar nombor kepada kepada
perwakilan garisan melintang. PK C melukis 4 garisan yang sepatutnya dilukis 5 garisan.
Bagi soalan ini, PK C menyatakan bahawa dia tersilap melihat soalan. Apabila di soal PK C
menyatakan bahawa dia ingatkan soalan 21 x 42. Ini menunjukkan PK C cuai ketika
menjawab soalan soalan.
Semasa Sesi Intervensi 4, PKC dibimbing untuk menguasai kemahiran mengumpul semula
nilai tempat bagi jawapan yang diperolehi. PK C dapat menguasai kemahiran menambah
nombor-nombor mengikut kedudukan anak panah yang melibatkan pengumpulan semula
dengan baik. Hasil semakan lembaran kerja 4, PK C berjaya menjwab dengan betul kesemua
soalan (rujuk rajah 6).

Rajah 6 : Soalan lembaran kerja 4 yang berjaya dijawab oleh PKC


Setelah selesai menjalankan sesi intervensi, didapati PK C telah menunjukkan beberapa
perubahan yang positif dari segi penguasaan dan sikap. Dia sentiasa memberi tumpuan

sepenuhnya sewaktu proses pdp dan kelihatan lebih yakin. Hasil analisis lembaran kerja dan
latihan menunjukkan PK C berjaya menyelesaikan soalan pendaraban nombor dua digit
dengan nombor dua digit menggunakan Kaedah Vettice (rujuk rajah 7). Hal ini
menunjukkan bahawa dia berjaya menguasai kemahiran pendaraban nombor dua digit dengan
nombor dua digit.

Rajah 7: Soalan yang berjaya dijawab dengan betul menggunakan Kaedah


Vettice
Berdasarkan analisis dapatan kajian, pengkaji mendapati kesemua peserta kajian berjaya
menguasai kemahiran pendaraban nombor dua digit dengan nombor dua digit tanpa
mengumpul semula dan seacara mengumpul semula.Terdapat perubahan positif dalam
kalangan mereka setelah selesai melaksanakan sesi intervensi. Perubahan tersebut meliputi
aspek kemahiran dan tingkah laku. Sebelum menjalani sesi intervensi, mereka kurang
berminat dan bersikap pasif untuk melibatkan diri dalam proses pdp serta kelihatan ragu-ragu
apabila diminta untuk menjawab soalan. Namun, setelah selesai melakukan sesi intervensi,
tahap penguasaan mereka semakin meningkat apabila kebanyakan soalan ujian berjaya
dijawab dengan betul menggunakan Kaedah Vettice. Dari segi perubahan tingkah laku pula,
pengkaji mendapati kesemua peserta kajian memberi tumpuan sepenuhnya terhadap proses
pdp dan kelihatan lebih yakin untuk menjawab soalan yang diberi. Hal ini menunjukkan
bahawa kesemua peserta kajian berjaya menguasai kemahiran pendaraban nombor dua digit
dengan nombor dua digit menggunakan Kaedah Vettice.

KESIMPULAN
Penggunaan Kaedah Vettice dapat membantu murid lemah tahun 4 Jauhari menguasai
kemahiran pendaraban nombor dua digit dengan nombor dua digit tanpa mengumpul semula
dan secara mengumpul semula. Persoalan kajian telah berjaya dijawab melalui data yang
diperolehi daripada instrumen-instrumen yang digunakan iaitu pemerhatian, analisis
dokumen, temu bual dan ujian. Dapatan daripada pelbagai sumber ini didapati saling
menyokong antara satu sama lain. Sebelum sesi intervensi dilaksanakan, pengkaji mendapati
hampir kesemua peserta kajian menghadapai masalah menguasai fakta asas darab dan tidak
menguasai algoritma pendaraban bentuk lazim. Namun demikian, setelah diperkenalkan
Kaedah Vettice, masalah ini tidak lagi timbul kerana langkah yang mudah di ingati serta
murid tidak perlu menghafal sifir.
Kajian tindakan yang telah di jalankan ini secara tidak langsung telah meningkatkan tahap
profesionalisme sebagai seorang bakal guru terlatih. Dengan melibatkan diri dalam proses
pelaksanaan kajian tindakan, pengkaji dapat mengenalpasti masalah yang di hadapi murid
dengan lebih terperinci berdasarkan penelitian dan refleksi proses pengajaran dan
pembelajaran (pdp) dilakukan. Ini dapat melatih pengkaji menjadi lebih prihatin dalam
mengesan masalah murid. Melalui kajian tindakan ini juga pengkaji dilatih menjadi lebih
kreatif dan berfikir pada aras yang lebih tinggi bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh
murid. Selain itu, kajian tindakan ini juga menyedarkan pengkaji pentingnya melakukan

inovasi sama ada dari segi strategi mengajar, bahan atau kaedah supaya p&p yang berkesan
dan bersesuaian dengan tahap murid dapat dijalankan. Dengan melakukan inovasi juga,
pengkaji dapat mengenalpasti cara yang paling berkesan dalam mengatasi masalah murid.
Kajian tindakan yang dijalankan ini mempunyai kekuatan dan kelemahannya yang tersendiri.
Antara kekuatan yang dapat pangkaji kenalpasti selepas menjalankan kajian tindakan ini ialah
murid melibatkan diri secara aktif di dalam proses pdp. Selain itu, Kaedah Vettice yang
diperkenalkan dapat memperkukuhkan konsep darab murid kerana menggunakan kaedah ini,
murid didapati melakukan penambahan berulang berpandukan persilangan antara garisan
menegak dan garisan melintang. Dengan menggunakan Kaedah Vettice juga kesilapan
murid semasa mendarab menggunakan algoritma bentuk lazim dapat di atasi. Kaedah
Vettice juga lebih mudah untuk di kuasai serta tidak memerlukan murid mengingat sifir.
Ini dapat mengatasi kesilapan murid dalam pemilihan fakta asas darab. Namun begitu,
pengkaji mendapati kaedah ini kurang sesuai bagi murid pandai dan telah menguasai sifir.
Kaedah ini juga hanya terhad untuk operasi darab sahaja.

RUJUKAN
Amran Bin Kemat. (2012). Keberkesanan Kaedah Garis Bersilang Dalam Mendarab Dua
Nombor Dua Digit Dengan Dua Digit Melibatkan mengumpul Semula. 21-28.
Che Abdul Razak Bin Che Muhammad. (2012). Penggunaan Kaedah "Combination Lattice
With Cross Multiplication" (CLCM) Bagi Membantu Murid Lemah Tahun 4 Dalam
Proses Pendaraban Tiga Digit Dengan Dua Digit. 16-26
Cotton, T. (2010). Understanding and Teaching Primary Mathematics. England: Pearson
Education Limited.
Eda Vula, L. B. (2011). Coolaborative Action Research: Teaching of Multiplication and
Division in the Second Grade. Turkish Online Journal of Qualitative Inquiry, 7.
Goh, M.L. (2011). Penggunaan Kaedah Nyanyian Dalam Penguasaan Sifir Darab 6 Hingga 8
Murid Tahun Tiga: Refleksi Pembelajaran Penggunaan Teknik Menganalisis Data.
Jurnal Penyelidikan Tindakan IPG KBL Tahun 2011, 24-35.
Hazima Bt. Hassan. (2012). Penggunaan 'Touch Arrow' Dalam Meningkatkan kemahiran
pendaraban Secara Mengumpul Semula Bagi Murid Berpencapaian Rendah Tahun 3.
1-14.
Janting anak Ringkai. (2005). Mempelbagaikan Pendekatan Untuk Membantu Murid-Murid
Tahun 5 menguasai Sifir Darab 1 Hingga 10. Koleksi Laporan Penyelidikan Tindakan
2005, 69-97.
Mundia, L. (2012). The Assessment Of Math Learning Difficulties In a Primary Grade-4
Child with High Support Needs: Mixed Methods Approach. International Electronic
Journal of Elementary, 347-366.
Noor Shah Saad. (2001). Teori dan Perkaedahan Pendidikan Matematik. Selangor: Prentice
Hall.
Zainuddin Bin Abu Bakar & Mohd. Rashidi Bin Mat Jalil. (2007). Keberkesanan Petak Sifir
Dalam Penguasaan Fakta Asas Darab dalam Matematik Tahun 4: Satu Kajian di
Sekolah Kebangsaan Mersing Johor.

Das könnte Ihnen auch gefallen