Sie sind auf Seite 1von 25

Tazkira Ramadan 9

Hari 25 ; Hari 26 dan Hari 27

Musbri Mohamed
DIL; ADIL ( ITM )
MBL ( UKM )

1
Hari 25

Media: Islam tewas sebelum mencuba. Kita hendaklah melawan prasangka,


salah faham Barat terhadap ummah Islam.

Segala puji bagi Allah s.w.t . Salam dan juga selawat


buat Junjungan Nabi Muhammad s.a.w, keluarga serta
sahabat-sahabat Baginda.

Sekiranya anda menaip perkataan ‘jihad’ di dalam Google.com muncullah


13,800,000 bahan mengenainya. Itu belum lagi definisi yang diberikan oleh
ensiklopedia percuma bernama ‘Wikipedia’ di dalam internet dan huraian,
penjelasan serta komentar dalam sekian banyak ‘blog’ yang ada. Malangnya ‘jihad’
yang dihuraikan itu sebahagian besarnya bukan seperti mana yang kita faham
di dalam Islam. Maksudnya sudah dikaitkan dengan kegiatan keganasan atau
terorisme. Maka itu kekeliruan mengenai konsep jihad itu akan berterusan di dalam
media, melalui internet dan sekian banyak penerbitan. Puncanya: Orang lain yang
membuat definisi itu.

2
3
Oleh yang demikian, apabila seorang doktor perubatan ditahan kerana disyaki
terbabit dalam tindakan untuk mengebom sebuah lapangan terbang di United
Kingdom , mereka dilabelkan sebagai jihadist (orang yang terbabit di dalam
jihad) dan beroperasi sebagai sebahagian daripada ‘sel’ penyokong Al-Qaeda.
Media Barat mulai membahaskan bagaimanakah seorang doktor boleh terbabit
sedangkan beliau tidak membawakan imej tipikal ‘anak-anak muda Muslim
yang gelisah’ yang selama ini mudah terseret dalam rangkaian keganasan.

Lebih 1.8 bilion umat Islam harus hidup dengan imej sedemikian. Agama
Islam dilabelkan sebagai agama yang menggalakkan keganasan dan
mewajarkan pembunuhan ke atas orang yang tidak berdosa. Sesiapa yang
bernama Islam, berwajah Islam dan mempamerkan lambang keislaman
di Barat akan dicurigai. Lebih 13 juta umat Islam di Eropah harus berdepan
dengan prejudis ini. Lebih 6 juta umat Islam di Amerika Syarikat (AS) berada
dalam keadaan serba-salah. Mereka berdepan dengan media yang rata-rata
menjual keraguan terhadap Islam dan orang Islam.

4
Kita harus ingat, maklumat menentukan kuasa. Siapa yang memiliki maklumat
menguasai kuasa. Oleh sebab itulah media memainkan peranan yang amat penting
dalam mencorakkan pandangan dan sikap manusia hari ini. Media menguasai jiwa
dan perasaan manusia. Di dalam dunia tanpa sempadan seperti hari ini, media besar
sekali kesan dan pengaruhnya dalam mencorakkan pemikiran kita.

Dalam rencana , ‘Murdoch pengaruhi media dunia’ (20 Mei 2007), mengingatkan
bagaimana seorang Yahudi yang berasal dari Australia menjadi tycoon media luar
biasa. Syarikat beliau menguasai stesen TV (termasuk menerbitkan American Idol
yang paling popular di dunia serta stesen sukan Star Sports); mempunyai stesen
kabel berbayar; TV satelit; studio filem (yang antara lain menguasai francais siri Die
Hard); akhbar (termasuk Times of London dan tabloid pasar raya The Sun); majalah;
penerbitan buku (HarperCollins) dan tapak web popular My Space di
internet. Orang seperti inilah yang ‘menguasai’ dunia. Satu ketika dahulu terdapat
lebih 50 buah syarikat yang menguasai media dan hiburan, jumlah itu menjadi tiga
buah dalam waktu yang terdekat. Salah sebuah dimiliki oleh Murdoch.

5
Apa yang ada pada umat Islam? Secara jujur kita harus menanyakan soalan ini.
Siapakah di antara kita yang menguasai media antarabangsa? Memanglah umat
Islam mempunyai stesen TV atau akhbar dan majalah di negara masing-
masing. Bagaimanapun, tidak ada syarikat atau organisasi Islam yang sebesar
milik Murdoch atau mana-mana pemilik media lainnya. Oleh yang demikian,
kita harus bergantung pada ‘suara orang lain.’ Merekalah yang menghuraikan
tindakan kita, termasuk memberikan penjelasan apa yang kita pegang selama
ini sebagai sesuatu yang berharga dan dimuliakan – jihad.

Kita tidak boleh menyalahkan orang lain jikalau mereka berprasangka terhadap
kita. Ambil sahaja mana-mana krisis yang berlaku membabitkan umat Islam.
Serangan ke atas Afghanistan ‘diwajarkan’ kerana negara itu menjadi tuan
rumah kepada tetamu bernama Osama bin Laden. Dan Iraq pula diserang
kerana kononnya Iraq mempunyai senjata pemusnah (weapon of mass
destruction). Kita melihat bagaimana ‘spin’ ke atas berita mengenai serangan
ke atas Afghanistan dan Iran kerana media dikawal oleh kelompok yang pro
Presiden Bush.

6
Memanglah ada kewarasan dalam media dunia, tetapi suara itu akan
tenggelam. Malah dengan cara manipulasi dan penipuan kita melihat
bagaimana media Barat bersekongkol dengan Bush dahulu dan kroninya
untuk mewajarkan serangan ke atas negara-negara Islam. Kita hanya
mengetahui krisis Fatah dan Hamas daripada laporan media yang
sepenuhnya dipetik dari Barat. Oleh kerana kita tidak mempunyai
rangkaian berita seperti AP, AFP, Reuters dan lain-lain, maka merekalah
yang memberikan naratif apa yang berlaku di Palestin dan Darfur hari
ini. Apa yang berlaku di Darfur semuanya terbentuk daripada laporan
yang disampaikan kepada kita oleh ‘orang lain.’

Jangan perkecilkan pengaruh internet. Hari ini terdapat 11.5 bilion


laman web yang boleh diakses oleh manusia. Berapa banyakkah
daripada laman web ini yang memberikan gambaran positif mengenai
Islam? Atau yang digunakan oleh ilmuwan, sarjana, pemikir dan
wartawan Muslim untuk mempertahankan agama mereka? Atau yang
dapat melawan tohmahan dan fitnah ke atas saudara Islam mereka?

7
Banyak orang menunjukkan pada stesen TV alternatif seperti Al
Jazeera. Memang stesen TV itu mengubah landskap dunia penyiaran
khususnya di negara-negara Arab. Suara dari Qatar itu memberikan
saingan hebat pada stesen TV sedia ada yang beroperasi 24 jam
seperti CNN dan BBC. Al Jazeera kini mempunyai edisi bahasa
Inggerisnya sebagai mencabar stesen berita yang lain. Bagaimana
pun, Al Jazeera tidak mencerminkan suara Muslim seperti yang kita
harapkan.

Bagi saya penguasaan media adalah isu kritikal bagi umat Islam.
Selagi media dikuasai oleh orang lain, selagi itulah kita kalah dalam
gelanggang pandangan umum (public opinion).

Kita harus mengakui tidak ada orang kaya Muslim yang akan dapat
menandingi Murdoch dalam soal menguasai media. Namun
demikian banyak hartawan Muslim yang lebih kaya daripada
Murdoch.

8
Lebih malang lagi ialah persepsi umat Islam terhadap ‘media Muslim.’
Awal-awal lagi mereka tidak dapat menerimanya sebagai berintegriti,
objektif atau bebas. Mengapakah kita lebih percaya bahawa media milik
Yahudi lebih objektif dalam melaporkan keadaan di Lebanon atau
Palestin? Mengapakah kita sendiri yakin bahawa apa sahaja milik Muslim
akan ditolak oleh orang lain? Demikianlah penguasaan minda
terhadap orang Islam hingga mereka merasa ‘kalah’ sebelum
mencuba dalam dunia media.

Apakah makna objektiviti dalam konteks media? Apakah makna


kebebasan media yang sebenar? Bebaskah Fox News milik Murdoch?
Atau CNN dan BBC? Tentulah kita tidak mahu stesen TV Muslim
menjadi propagandistik. Media harus kritikal, terbuka dan objektif.

Dalam kerangka prinsip media yang diterima pakai oleh semua, tidak ada
salahnya kita membuat teguran dan kritikan keras terhadap pemimpin
atau negara Islam atau umat Islam. Media boleh memainkan peranan
sebagai mata dan telinga ummah.

9
Saya juga percaya bahawa umat Islam harus menangani isu kekalahan mereka dalam
tradisi keilmuan secara jujur. Hari ini kita juga tidak mempunyai penerbitan berkala
yang dihormati dalam bentuk jurnal yang besar pengaruhnya. Kita juga tidak
mempunyai majalah berita mingguan yang sama besar edarannya, kalaupun tidak
pengaruhnya dengan Time atau Newsweek.

Baru-baru ini, sebuah majalah konservatif dari AS meletakkan seorang lelaki Muslim
yang berjambang dan bermisai serta memandang ke kamera dengan pandangan yang
serius lagi menakutkan. Keterangan pada gambar itu bertulis, ‘Is This Islam?’ (Inikah
Islam?). Rencana utama di dalamnya ialah What Do Muslims Think atau ‘Apakah
Yang Difikirkan oleh Orang Islam?’ Rencana itu pada keseluruhannya menanyakan
apakah orang Islam menolak ‘fundamentalisme radikal’ (istilah yang digunakan oleh
penulis itu) atau menerimanya? Memang hujahnya provokatif dan mencabar tetapi
tidak dapat menjawab banyak soalan mengenai isu sebenar yang membentukan
psyche dan sikap Islam terhadap ‘orang lain’ hari ini.

Rencana seperti ini akan muncul lebih banyak lagi, begitu juga dengan segala macam
laporan dan berita yang menyulitkan umat Islam seluruhnya.
Salahnya kita juga.

10
Hari 26

Ummah digalak pertingkat amalan rebut


keistimewaan Lailatul Qadar

Sama ada sedar atau tidak, kita sudah berada pada hari-hari terakhir
Ramadan al-Mubarak. Kebiasaannya bermula pada malam 15 Ramadan,
jemaah masjid atau surau akan mengakhiri solat tarawih dengan solat witir
dan membaca doa qunut.

Setiap rakaat solat tarawih, akan dibacakan surah al-Qadr pada rakaat
pertama. Tradisi itu sudah sekian lama diguna pakai sebilangan besar
masyarakat Islam di Malaysia sama ada di bandar mahupun kampung.

Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa
berdoa dan beribadat pada malam itu doa mereka akan dimakbulkan.
Justeru, kita digalakkan membaca surah al-Qadr pada malam penghujung
Ramadan ini.

11
12
Lailatul Qadar adalah satu malam penuh keistimewaan
dikurniakan Allah s.w.t kepada umat Muhammad s.a.w . Firman
Allah s.w.t bermaksud:

Dan amal ibadat yang dikerjakan pada malam tersebut dinilai


lebih baik daripada seribu bulan.

Dalam surah al Qadar Allah s.w.t menyatakan:

"Sesungguhnya Kami turunkan (al-Quran) itu pada malam al


Qadar. Dan apakah kamu mengetahui mengenai malam al-Qadr.
Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Diturunkan
malaikat dan roh padanya dengan izin Tuhan mereka untuk
mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan
hingga terbit fajar."

13
Jika dihitung seribu bulan bersamaan dengan 83 tahun 4 bulan. Betapa
besarnya keistimewaan beribadat pada malam itu, namun tidak ramai
umat Islam berkesempatan mendapatnya melainkan mereka yang kuat
iman, sanggup meluangkan masa dengan solat sunat, membaca al-
Quran, berdoa, bertaubat dan bermunajat di hadapan Allah.

Tanpa membataskan tarikh tertentu pada Ramadan untuk merebut


Lailatul Qadar, umat Islam yang konsisten dengan amal ibadat selama
sehingga 30 hari tentu akan menemui Lailatul Qadar walaupun tidak
bertemu dengan tanda kemunculannya.

Masyarakat banyak berpegang kepada alamat seperti pada malam itu air
menjadi beku, pokok sujud ke bumi, tidak ada kedengaran salakan
anjing dan sebagainya.

14
Bagaimanapun Rasulullah s.a.w ada menyuruh kita mencari
Lailatul Qadar pada malam ganjil pada sepuluh hari terakhir
Ramadan dengan meningkatkan ibadat.

Tujuan disembunyikan malam Lailatul Qadar itu mempunyai


hikmahnya tersendiri supaya kita berusaha mencarinya,
meningkatkan ibadat pada semua malam dan untuk menguji
keimanan umat Islam terhadap janji Allah s.w.t .

Kita tidak sepatutnya berpegang dengan anggapan karut-marut


seperti mengatakan Lailatul Qadar itu sebagai seorang tua
berjubah dan berserban serba putih, sesiapa bertemu
dengannya hendaklah memeluknya dan meminta apa saja kita
inginkan. Dia akan memberi apa saja kita minta.

15
Kepercayaan dicipta semata-mata untuk orang yang malas dan
mengambil jalan mudah tanpa berusaha bersungguh-sungguh.

Hakikatnya, Lailatul Qadar adalah satu malam Allah untuk


diberikan kelebihan berlipat ganda kepada orang yang yakin
dengan janji Allah s.w.t . Mereka berebut-rebut beribadat
memenuhi ruang masjid dan surau membaca al-Quran, berzikir
dan berqiamulail.

Mereka rindukan Ramadan yang berada pada penghujungnya.


Peluang ini tidak diperoleh pada bulan lain.

16
Nabi Muhammad s.a.w bersabda bermaksud: "Apabila malam akhir
Ramadan maka menangislah langit dan bumi serta malaikat kerana
musibah yang menimpa umat Muhamad. Sahabat bertanya: Apakah
musibah itu? Rasulullah s.a.w menjawab: (Musibah) kerana
perginya Ramadan kerana dalam bulan ini doa dimakbulkan semua
sedekah di terima dan semua kebaikan dilipat gandakan pahalanya
serta seksaan ditolak.” Hadis diriwayatkan oleh Jabir

Pada malam Lailatul Qadar seluruh malaikat dan roh nabi, rasul
serta roh orang yang salih turun bersama berdoa dan mendoakan
orang yang beribadat pada malam itu hingga terbit fajar.

Bagi mereka yang berpeluang bertemu malam itu juga akan berasa
puas dan gembira hasil kesungguhan mereka beribadat sejak awal
Ramadan hingga mendapat pengiktirafan Allah s.w.t dengan
disaksikan para malaikat dan para nabi.

17
Hari 27

Umat hilang dua kenikmatan


selepas Ramadan

Mungkin sehari atau dua lagi


Ramadan akan beransur pergi. Jika
kita merindukan kehadiran yang
indah, inilah masa bahagia, masa
betapa dekatnya jiwa kita bersama
Allah s.w.t .

Inilah waktu kedamaian dan keadaan


ini belum tentu kita akan temui lagi
tahun depan.

18
Sementara kita masih ada peluang yang hanya beberapa hari ini,
kita hirup udara malamnya. Kita sedut udara sahurnya. Kita kini
sedang berada pada hari perpisahan yang sangat memilukan.
Perpisahan dengan bulan mulia yang hadir bersama seluruh
keindahan dan keistimewaannya.

Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud:

"Barang siapa melakukan satu ibadat sunnah pada Ramadan,


maka ia seperti orang yang melakukan ibadat wajib pada bulan
selain Ramadan. Dan barang siapa yang melakukan ibadat
wajib pada Ramadan, maka ia seperti orang yang melaksanakan
70 ibadat wajib di selain Ramadan."

Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah

19
Berpisah dengan bulan ini bermakna kita meninggalkan
kesempatan meraih pahala kebaikan yang berlipat ganda.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:

"Ada dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa,


kegembiraan saat berbuka dan kegembiraan tatkala
bertemu dengan Allah s.w.t " Hadis riwayat Al-Bukhari
dan Muslim.

Maka itu perpisahan dengan bulan ini, bererti kita


kehilangan dua keajaiban yakni kegembiraan di kala
berbuka puasa dan perpisahan dengan bulan ini juga adalah
hilangnya kesempatan kita untuk memperoleh keampunan
Allah s.w.t terhadap dosa yang tidak sanggup kita kira lagi.

20
Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud:

"Barang siapa yang menunaikan qiamullail pada Ramadan kerana


keimanan dan mengharapkan pahala, nescaya akan diampuni
dosanya yang lalu." Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Selesai saja Ramadan bermakna lenyapnya kesempatan kita untuk


menunaikan solat malam dengan jaminan pahala ampunan atas dosa
dan kesilapan yang kita sudah tenggelam di dalamnya.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Siapa saja yang solat tarawih


bersama imam hingga selesai, akan ditulis baginya pahala solat satu
malam suntuk." Hadis riwayat Abu Dawud, At-Tirmidzi, An-Nasai
dan Ibnu Majah

21
Bagaimana dengan kualiti ibadat solat tarawih yang sudah kita
lakukan? Perpisahan dengan bulan suci ini, bermakna kita akan
kehilangan pahala solat tarawih satu malam suntuk.

Jika salafushalih, selama sebulan Ramadan ini berlumba-lumba


membanyakkan membaca al-Quran, Malaikat Jibril
memperdengarkan al-Quran kepada Rasulullah s.a.w , Usman bin
Affan mengkhatamkan al-Quran setiap hari, Imam Asy-Syafi'i
mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali di luar solat, bagaimana
pula dengan ibadat membaca al-Quran yang kita lakukan?

Apabila Ramadan berlalu, bererti kita pun kehilangan kesempatan


agung untuk memperoleh keberkatan sangat istimewa daripada
membaca al-Quran pada bulan mulia ini.

22
Firman Allah s.w.t bermaksud:

"Sesungguhnya Kami sudah menurunkannya (al-Quran) pada malam


kemuliaan. Tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam
kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan."

Surah al-Qadr, ayat 1-3

Maka Rasulullah s.a.w sentiasa mencari malam Lailatul Qadar dan


memerintahkan sahabat mencarinya. Beliau membangunkan keluarganya
pada malam sepuluh terakhir dengan harapan mendapat malam Lailatul
Qadar.

Perginya bulan ini daripada sisi kita, bermakna kita terlepas kesempatan
tidak ternilai dalam seluruh hidup sekalipun. Maknanya, lenyap peluang
kita memperoleh keuntungan 1000 bulan, iaitu kira-kira 80 tahun daripada
usia kita. Mampukah kita hidup dan beramal lengkap selama 80 tahun?

23
Oleh itu, jangan disia-siakan detik perpisahan ini. Rasakan benar-
benar kehadiran kita pada bulan ini. Lantunkan zikir, tilawah al-
Quran, munajat, permohonan ampun di sini. Buang kepenatan,
hilangkan rasa lelah.

Hanya untuk hari-hari terakhir menjelang perpisahan dengan bulan


penuh kemuliaan, kita kejar Lailatul Qadar. Namun, apa yang lebih
penting adalah semangat diambil dengan makna Lailatul Qadar.

24
Semangatnya, adanya sebuah perubahan sikap yang istiqamah terhadap Islam,
mencintai Allah s.w.t sepenuhnya tanpa dinodai dengan cinta dunia. Dengan
itu kita boleh menjadi manusia yang ikhlas, menerima Islam seutuhnya, tidak
separuh-separuh dan tidak memilih.

Demi perpisahan ini, menangislah kerana kita akan berpisah dengan kemuliaan
dan keberkatan hebat bulan ini. Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud:
"Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah
sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya".

Selamat menyambut Aidil Fitri.


Maaf zahir dan batin.

Musbri Mohamed
Ramadan 2010 

25

Das könnte Ihnen auch gefallen