Sie sind auf Seite 1von 2

 

Cadangan Mansuh UPSR dan PMR


22 Jun

Kementerian cadang mansuh UPSR, PMR: Langkah ubah sistem pendidikan


orientasi peperiksaan. 
Oleh Junita Mat Rasid
Berita Harian
2010/06/21

PAGOH: Kementerian Pelajaran akan mencadangkan Ujian Pencapaian Sekolah


Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan bagi
membolehkan pelajar di negara ini menduduki hanya satu peperiksaan awam
sepanjang 11 tahun persekolahan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin, berkata cadangan pemansuhan peperiksaan itu kepada kerajaan akan
mengubah sistem pendidikan negara yang kini terlalu berorientasikan peperiksaan
menyebabkan matlamat melahirkan modal insan serba boleh yang mempunyai
keterampilan tinggi gagal dicapai. Bagaimanapun katanya, kedua-dua peperiksaan
itu mungkin juga diteruskan, tetapi bukan lagi berstatus peperiksaan awam seperti
sekarang, sebaliknya dijadikan penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah
saja. “Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu
saja peperiksaan awam, seperti (contohnya) pada peringkat SPM (Sijil Pelajaran
Malaysia) saja. “Jika kita terlalu menjurus kepada peperiksaan, ia akan
menyebabkan matlamat ke sekolah untuk menuntut ilmu, lebih kreatif dan menambah
pengetahuan secara lebih holistik tidak akan dicapai sepenuhnya,” katanya pada
sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pagoh,
di Kompleks Seri Pekembar, di sini, semalam. Muhyiddin yang juga Menteri
Pelajaran berkata, cadangan mengekalkan satu peperiksaan saja pada peringkat
sekolah itu juga berkaitan dengan langkah kementerian untuk merombak sistem
pendidikan dan mengubah bentuk kokurikulum di peringkat sekolah. Beliau berkata,
pada masa ini, sistem pendidikan yang terlalu cenderung dengan peperiksaan
menyebabkan guru terlalu fokus untuk mencapai kecemerlangan peperiksaan dan
pelajar terlalu menumpukan usaha untuk cemerlang dalam peperiksaan awal saja.
“Adalah lebih wajar jika penilaian pencapaian pelajar dibuat pada peringkat akhir
selepas 11 tahun di sekolah iaitu dengan hanya mengekalkan peperiksaan SPM
sebelum mereka menyambung pelajaran ke peringkat universiti. “Dalam soal kerjaya
dan kerja, orang tak pakai lagi PMR dan UPSR, orang (bakal majikan) tak tanya pun
keputusan PMR atau UPSR, sebaliknya hanya keputusan SPM dan peringkat
universiti yang diambil kira,” katanya. Bagaimanapun Muhyiddin berkata, pihaknya
tidak tergesa-gesa untuk membuat keputusan memansuhkan peperiksaan itu kerana
perlu mengkaji implikasi lain selain mengalu-alukan pandangan semua pihak
termasuk warga pendidik, pelajar dan masyarakat. Katanya, kajian pihaknya juga
mendapati ada negara lain yang tidak mempunyai banyak peperiksaan seperti di
Malaysia, malah ada sesetengah negara yang hanya mempunyai satu peperiksaan
saja pada peringkat sekolah. “Di Malaysia, ini adalah kesan daripada sistem yang
terlalu ala peperiksaan menyebabkan fokus kita hanya berdasarkan keputusan
peperiksaan, semua A atau 12A+ menyebabkan kita perlu meneliti untuk mengubah
sistem itu,” katanya. Beliau berkata, pengurangan peperiksaan di peringkat sekolah
itu membolehkan pelajar mempunyai banyak masa untuk menumpukan kepada mata
pelajaran tertentu dan kegiatan sukan, sekali gus memberi kesan positif kepada
keseluruhan cara pendidikan pelajaran.”

  ———————————

Pemansuhan UPSR dan PMR serta menstruktur semula sistem pendidikan sekolah
rendah dan menengah dilihat sebagai suatu idea yang baik untuk menyediakan
peluang pembelajaran secara holistik. Walau bagaimanapun isu ini bakal memberi
reaksi yang berbagai-bagai daripada masyarakat khususnya golongan ibu bapa dan
pendidik.

Sekiranya dilihat dari pihak kerajaan sebagaimana yang dikemukan oleh Menteri
Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin ianya amat relaven supaya pengukuran
kecemerlangan tidak hanya berdasarkan IQ semata-mata. Kurikulum yang
digambarkan nanti akan memberi lebih peluang untuk mencungkil bakat dan
kecerdasan dari sudut-sudut yang lebih luas seseorang pelajar. Ianya juga akan
memberi peluang kepada pihak sekolah menilai dengan lebih tepat kecemerlangan
seseorang pelajar.

Walau bagaimanapun unsur-unsur kecerdasan lain umpamanya EQ (emotional


quotient) dan SQ (Spiritual Qutient) perlu diterapkan secara serius di peringkat
sekolah bagi membentuk seseorang menjadi pelajar yang mampu menghindari diri
dari berbagai ancaman gejala sosial. Penerapan kecerdasan dari sudut yang berbagai
di peringkat sekolah juga bakal melahirkan pekerja yang cemerlang kelak. Sebagai
contoh, pemilihan ketua-ketua jabatan atau kenaikan pangkat tidak hanya ditentukan
oleh kelayakan akademik pegawai semata-mata bagi menjamin kecemerlangan
sesuatu agensi. Kemahiran komunikasi, kepimpinan, integriti, disiplin dan berbagai
lagi kemahiran dan sifat mulia yang perlu dimiliki oleh seorang ketua bagi
menyumbang kepada kejayaan sesebuah agensi. Memiliki ijazah kedoktoran di dalam
sesuatu bidang semata-mata belum pasti seseorang itu berjaya mengetuai sesuatu
agensi dengan cemerlang.

Walaupun demikian, penilaian akademik masih perlu ditekankan secara berterusan di


peringkat sekolah rendah dan menengah rendah supaya pelajar tidak leka untuk
menimba ilmu pengetahuan pada usia muda mereka. Melalui pembacaan dan ilmu
yang luas, akan membantu meningkatkan keupayaan pelajar berfikir secara kreatif
dan kritis.

Semoga keputusan muktamat pihak kerajaan nanti akan dipertimbang dengan bijak
dan mengambil kira pendapat semua pihak bagi memastikan kecemerlangan masa
depan anak-anak kita terjamin.

Das könnte Ihnen auch gefallen