Sie sind auf Seite 1von 6

SISTEM RANGKA

Sistem rangka merupakan satu sistem yang sangat penting pada tubuh manusia.
Hal ini kerana sistem ini mempunyai pelbagai fungsi tubuh. Sistem ini terdiri daripada
tulang-tulang dan struktur-struktur sokongan seperti ligamen, kartilej dan sendi.
Terdapat 206 ketul tulang pada rangka manusia. Tulang-tulang ini mempunyai lapisan
luaran yang kuat, keras, tebal dan bahagian tengah berongga yang mengandungi sum-
sum. Antara struktur sokongan tulang ialah ligamen. Ligamen adalah tisu berfiber yang
menyambungkan dua atau lebih tulang atau rawan yang boleh bergerak. Ligamen
memberi sokongan dan kekuatan kepada sendi. Manakala sendi adalah tempat
pertemuan dua tulang yang bersebelahan. Terdapat tiga jenis sendi pada manusia
iaitu sendi tanpa gerak (synarthroses) sendi yang mempunyai gerakan terhad
(amphiarthroses) dan sendi yang boleh bergerak bebas (diathroses). Manakala
kartilej adalah tisu yang kurang keras dan lebih fleksibel daripada tulang. Kartilej
menyaluti hujung-hujung tulang yang membentuk sendi.

Terdapat lima fungsi asas bagi sistem rangka. Antaranya ialah memberi
sokongan. Buktinya tulang rangka membentuk kerangka tegar bagi pelekatan tisu-tisu
lembut dan organ-organ tubuh. Sebagai contoh otot rangka dilekatkan pada tulang-
tulang rangka. Seterusnya, sistem rangka memberi perlindungan kepada organ-organ
penting. Antara sistem rangka yang terlibat ialah tengkorak, kolum vertebra, sangkar
rusuk dan kaviti pelvik yang melingkari serta melindungi organ-organ penting. Sebagai
contohnya, tengkorak melindungi otak. Ketiga, sistem rangka membantu tubuh badan
membuat pergerakan. Hal ini kerana tulang-tulang bertindak sebagai tuas, apabila otot-
otot yang melekat padanya menguncup lalu akan menghasilkan gerakan berpaksi pada
sendi. Pembentukan sel-sel darah juga merupakan antara fungsi sistem rangka. Hal
ini kerana, sum-sum merah tulang orang dewasa menghasilkan sel-sel darah merah,
putih dan platlet. Antara tulang-tulang yang terlibat adalah sternum, sebahagian
daripada pelvis, femur dan humerus.

Sistem rangka juga berfungsi untuk penyimpanan mineral. Tambahan pula,


sebahagian besar dari matriks tulang terdiri daripada kalsium dan fosforus. Mineral ini
menjadikan tulang-tulang tegar dan rintang terhadap tekanan. Mineral-mineral ini boleh
dikeluarkan untuk kegunaan bahagian lain tubuh apabila diperlukan. Sebagai
contohnya, kekurangan kalsium dalam diet akan menyebabkan kalsium dikeluarkan
untuk kegunaan bahagian tulang yang lain seperti untuk penguncupan otot. Selain
daripada mempunyai fungsi yang sangat penting, tulang ini juga boleh dibahagikan
kepada beberapa kategori. Terdapat pelbagai bentuk dan saiz tulang. Kepelbagaian ini
membolehkan tulang-tulang memenuhi keperluan khusus bagi tulang tersebut.

Tulang-tulang boleh diklasifikasikan berdasarkan kepada empat bentuknya iaitu


yang pertama tulang panjang. Tulang panjang secara umumnya lebih panjang dan
lebar daripada tulang-tulang lain kerana berfungsi sebagai tuas. Kebanyakan daripada
tulang-tulang panjang adalah tulang-tulang mampat. Antara contoh tulang panjang
ialah tulang pada tangan (humerus, radius, ulna, metakarpal dan falanges) dan kaki
(femur, tibia, fibula, metatarsal, falangus) kecuali pergelangan tangan dan pergelangan
kaki.Seterusnya ialah tulang pendek, tulang-tulang ini berbentuk kiub dan didapati di
ruang-ruang yang tertutup. Tulang-tulang ini berperanan memindahkan daya. Tulang-
tulang ini mempunyai rongga. Contohnya, tulang-tulang pergelangan tangan (karpal)
dan pergelangan kaki (tarsal).

Selain itu, bentuk tulang ialah leper atau pipih. Tulang-tulang ini berbentuk
pipih, nipis dan melengkung. Hal ini kerana tulang pendek berfungsi sebagai tempat
pelekatan otot-otot dan melindungi organ-organ di bawahnya. Contohnya ialah tulang-
tulang kranium, rusuk dan sternum. Terdapat juga tulang tak sama bentuk. Tulang ini
berfungsi sebagai tempat pelekatan otot atau artikulasi. Antara tulang tidak sama
bentuk ialah tulang-tulang vertebra seperti servikel, torasik, lumbar,sekrum dan koksiks
serta tulang telinga tengah iaitu stapes, inkus dan maleus.

Sistem rangka juga mempunyai perkembangan tulang. Hal ini melibatkan


pembentukan tulang-tulang. Pembentukan ini bermula daripada sel-sel tulang. Tulang
terdiri dari sel tulang fiber-fiber kolagen dan bahan matriks bermineral padat. Sel-sel
pembentuk tulang yang dikenali sebagai osteoblas merembes fiberfiber yang
memerangkap mineral. Sel-sel tulang yang dilingkari mendapan mineral ini
kemudiannya menjadi sel-sel matang yang dikenali sebagai osteosit. Tulang juga
mempunyai osteoklas iaitu sel-sel yang melarutkan tulang. Osteoblas dan osteoklas
bersama-sama bertindak untuk sentiasa mengubah ketumpatan dan bentuk tulang.
Osteoblas lebih aktif pada mereka yang muda sementara osteoklas pula lebih aktif
pada mereka yang berumur.

Selain itu, pembentukan osifikasi tulang. Tulang dibina dari kartilej dan tulang.
Pada embrio, kebanyakan dari tulang-tulang rangka terbina dari kartilej hailin. Kartilej
hailin ini kemudiannya digantikan dengan tulang pada kanak-kanak. Proses
pembentukan tulang atau osifikasi bagi kebanyakan tulang rangka melibatkan dua
peringkat. Pada peringkat pertama, osteoblas menyaluti sepenuhnya model kartilej
hailin dengan bahan matriks bermineral. Hal ini mewujudkan tulang-tulang yang
berkartilej di sebelah dalam dan bertulang sebenar di sebelah luar. Pada peringkat yang
kedua, model kartilej hailin di sebelah dalam tulang tersebut dilarutkan oleh osteoklas
untuk membentuk kaviti medulari. Kebanyakan daripada model kartilej hailin telahpun
digantikan dengan tulang sewaktu bayi dilahirkan, kecuali dua kawasan pada tulang
iaitu kartilej artikular yang menutup kedua-dua hujung tulang dan plat epifiseal.

Seterusnya, tumbesaran tulang merangkumi arah tumbesaran. Tumbesaran


tulang akan berlaku secara berterusan sehingga remaja. Plat epifiseal adalah kawasan
bagi tumbesaran secara memanjang bagi tulang-tulang panjang semasa kanak-kanak.
Semasa tumbesaran, sel-sel pada plat epifiseal membahagi secara mitosis dan
memanjangkan tulang. Semasa proses ini berlaku osifikasi terus terlaksana pada
kedua-dua hujung epifisis. Apabila samapai tahap akhir akil baligh tumbesaran tulang
hampir lengkap. Namun begiru, hormon-hormon seks merencatkan pembahagian sel-
sel pada plat epifiseal. Keadaan ini menyebabkan plat epifiseal menjadi nipis. Apabila
tumbesaran secara memanjang terhenti pada umur 18 tahun, sel-sel pada plat epifiseal
berhenti membiak tetapi osifikasi terus berlaku sehingga lapan tahun selepas itu. Pada
peringkat ini diafisis bersatu dengan epifisis dan garisan epifiseal menggantikan plat
epifiseal. Semasa tumbesaran, diameter tulang juga bertambah. Pertambahan ini
adalah kesan dari pertambahan beban ke atas tulang.

Perkembangan tulang juga melibatkan penggunaan mineral, vitamin dan


hormon. Hal ini ialah bagi keperluan untuk tumbesaran tulang secara normal. Garam
mineral diperlukan untuk tumbesaran tulang. Antaranya ialah garam mineral seperti
Kalsium dan fosfat. Kedua-dua garam mineral ini diperlukan untuk tumbesaran dari segi
pertambahan saiz dan berat tulang sejak di peringkat pra natal lagi. Tidak lupa juga
vitamin. Contoh vitamin yang diperlukan untuk tumbesaran tulang ialah vitamin A, D
dan C. Manakala vitamin D dapat merangsang penyerapan serta mengangkut
kalsium dan fosfat ke dalam tulang. Ini membolehkan struktur tulang menjadi lebih
kuat. Tambahan lagi, vitamin A dan C diperlukan untuk tumbesaran dan membaiki
tisu-tisu tulang yang rosak. Akhir sekali ialah hormon yang diperlukan untuk
tumbesaran tulang iaitu hormon tiroid, hormon tumbesaran dan hormon seks.

Tulang rusuk berbentuk tipis, pipih dan melengkung bersama-sama dengan


tulang dada membentuk rongga dada untuk melindungi jantung dan paru-paru. Tulang
rusuk memiliki beberapa fungsi. Antaranya ialah melindungi organ penting dalam
badan manusia seperti melindungi jantung, paru – paru, dan limpa. Dalam tubuh
manusia, jantung terletak sebelah kiri sedikit dari tengah dada, dan di belakang tulang
dada (sternum). Ia diselaputi oleh kantung yang dikenali sebagai perikardium dan
dikelilingi oleh peparu. Secara purata, jantung orang dewasa mempunyai berat sekitar
300-350 g. Ia terdiri dari empat ruang, dua atrium di atas dan dua ventrikel di bawah.
Paru-paru merupakan organ dalam sistem pernafasan. Ia berfungsi untuk menukar
oksigen dari udara dengan karbon dioksida dari darah dengan bantuan hemoglobin.

Tulang rusuk juga berhubungan dengan tulang belakang. Sangkar rusuk


berfungsi untuk melindungi jantung dan peparu. Tulang-tulang yang membentuk
sangkar rusuk ialah 12 pasang tulang rusuk bersendi dengan vertebra toraks dan
melengkung ke hadapan, 7 pasang tulang rusuk bersendi dengan sternum secara
terus, 3 pasang yang lain dihubung secara tidak langsung dengan rawan dan 3 pasang
tulang rusuk terakhir tergantung bebas dan tidak dihubungkan kepada sternum.
Tulang belakang merujuk kepada susunan ruas tulang di belakang yang
bertindak memberi sokongan kepada tubuh untuk berada dalam keadaan yang
tegak. Biasanya terdapat 33 ruas tulang belakang pada manusia. Terdiri daripada 5
bahagian iaitu 7 ruas pertama disebut tulang leher. Ruas pertama dari tulang leher
disebut tulang atlas dan ruas kedua berupa tulang pemutar. Bentuk tulang atlas
memungkinkan kepala untuk melakukan pergerakan. Dua belas ruas berikutnya
membentuk tulang punggung. Ruas-ruas tulang punggung pada bahagian kiri dan
kanannya tempat dimana lekatnya tulang rusuk. Lima ruas berikutnya merupaan tulang
pinggang. Ukuran tulang pinggang lebih besar berbanding tulang punggung. Ruas-ruas
ini menahan sebahagian berat badan dan banyak melekat otot-otot. Lima ruas
tulang kelangkangan (sacrum), yang menyatu, berbentuk segitiga terletak dibawah
ruas-ruas tulang pinggang. Bahagian bawah dari ruas-ruas tulang belakang disebut
tulang ekor (coccyx), tersusun atas 3 sampai dengan 5 ruas tulang belakang yang
menyatu. Ruas-ruas tulang belakang berfungsi untuk menegakkan badan dan menjaga
keseimbangan. menyokong kepala dan tangan, dan tempat melekatnya otot, rusuk dan
beberapa organ.

Vetebra biasanya terdiri daripada dua bahagian penting iaitu segmen anterior
iaitu badan vetebra dan bahagia posterior yang melengkungi veterbra foramen.
Gerbang vertebra dibentuk oleh sepasang vertebra Pedikle dan sepasang laminae bagi
gerbang vetebra, dan menyokong tujuh proses, empat artikular, dua transverse, dan
satu spinous, yang akhir juga dikenali sebagai spine saraf. Apabila vertebra berpaut
sesama sendiri, ia membentuk tiang yang kukuh bagi menyokong kepala dan badan,
dan foramina vetebra membentuk terusan bagi melindungi medulla spinalis (saraf
tunjang). Di antara setiap pasang vetebra terdapat dua bukaan, intervertebral foramina,
satu pada setiap muka, bagi laluan saraf tunjang dan pembuluh.

Kesimpulannya, sistem rangka adalah salah satu sistem yang sangat


penting dalam pembinaan tubuh manusia. Tulang manusia mempunyai banyak jenis
dan berfungsi untuk menyokong badan manusia. Tulang rusuk pula berupaya untuk
melindungi organ-organ manusia yang penting seperti jantung, paru-paru, hati dan
limpa. Bagi menguatkan tulang, manusia hendaklah makan makanan yang
mengandungi banyak kalsium seperti susu, keju dan lain-lain. Selain itu vitamin amat
diperlukan untuk menguatkan tulang. vitamin yang diperlukan untuk tumbesaran tulang
ialah vitamin A, D dan C. Manakala vitamin D dapat merangsang penyerapan serta
mengangkut kalsium dan fosfat ke dalam tulang. Ini membolehkan struktur tulang
menjadi lebih kuat. Tambahan lagi, vitamin A dan C diperlukan untuk tumbesaran dan
membaiki tisu-tisu tulang yang rosak.

Das könnte Ihnen auch gefallen