Sie sind auf Seite 1von 7

JXEA 1104

FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU

TOKOH FALSAFAH:
AL-FARABI
(FALSAFAH PEMIMPIN NEGARA)

NAMA : NORSYAFADHILLAH BINTI MOHD NASIR


FAKULTI : AKADEMI PENGAJIAN MELAYU
NO. MATRIK : JEA080090
NAMA PENSYARAH : DR AMRAN MUHAMAD
RIWAYAT HIDUP

Al-Farabi, nama sebenar beliau ialah Abu Nasr Muhammad bin Muhammad bin Tarchan

bin Awzalagh al-Farabi. Lahir pada 257H/870 M di Wasij, iaitu dalam daerah Farab,

Transoxiana, Turki. Panggilan al-Farabi merujuk kepada nama tempat beliau dilahirkan

iaitu Farab. Al-Farabi dikatakan meninggal dunia pada umur lapan puluh tahun di

Damsyik, pada bulan Rejab, 339 H/950 M dan dimakamkan di Kota Damsyik.

Al-Farabi merupakan seorang ilmuan Islam yang menguasai pelbagai ilmu

pengetahuan tetapi lebih cenderung dalam bidang falsafah dan mantiq. Sepanjang

hayatnya al-Farabi kerap mengembara di samping berguru dengan ahli pujangga dan ahli

falsafah yang masyhur untuk mendalami ilmunya. Beliau merupakan tokoh falsafah

Islam yang sangat gigih dalam bidang penulisannya dan dikatakan menulis sekitar 100

karya ilmiah yang merangkumi pelbagai tema. Antara karyanya yang terkenal ialah kitab

“Fi Mabadi Ara’ Ahl al-Madinah al-Fadilah” yang menjelaskan tentang Teori

Kemasyarakatan dan Kenegaraan al-Farabi.

FALSAFAH AL-FARABI

Falsafah al-Farabi dikatakan menerima sedikit sebanyak persamaan dengan falsafah-

falsafah Yunani terutamanya karya-karya yang dihasilkan oleh Plato dan Aristotle. Hal

ini disebabkan oleh al-Farabi banyak meluangkan masa mengkaji dan menggunakan

falsafah-falsafah dari Yunani sebagai rujukan dalam penulisan karyanya.


Walaupun begitu, terdapat perbezaan antara pemikiran sebenar al-Farabi dengan

pemikiran Plato dan Aristotle iaitu al-Farabi sentiasa memasukkan dan menerapkan

unsur-unsur Islam yang berasaskan al-Quran, hadis dan sunnah dalam setiap hasil

penulisannya. Sehubungan itu, tidak dapat dinafikan bahawa al-Farabi merupakan tokoh

falsafah Islam yang masyhur dalam pelbagai ilmu kerana pemikirannya yang tersendiri.

PEMIMPIN NEGARA HARUSLAH SEORANG TOKOH FALSAFAH

Al-Farabi merupakan ahli falsafah Islam yang cenderung dalam bidang politik. Beliau

banyak menghasilkan buku yang membincangkan tentang falsafah dan teori politiknya.

Berdasarkan kitab yang dihasilkannya, iaitu “Fi Mabadi Ara’ Ahl al-Madinah al-

Fadilah” di dalam tajuk Konsep Ketua Negara Terbaik, beliau menekankan supaya

seseorang pemimpin negara haruslah seorang tokoh falsafah (philosopher-king).

Merujuk kepada falsafah yang dikemukakan oleh al-Farabi itu, dapatlah diberi sedikit

kupasan seperti berikut:

Pemimpin merupakan individu yang penting dalam pembentukan sesebuah

negara. Pemimpin sangat diperlukan untuk mewujudkan perpaduan dan keharmonian

sesebuah masyarakat dalam sebuah negara. Perpaduan dan keharmonian tidak akan

wujud dalam sesebuah negara sekiranya tiada seseorang yang memimpin bagi

menunjukkan jalan untuk mencapai matlamat negara itu iaitu membentuk perpaduan dan

keharmonian dalam masyarakat. Seseorang pemimpin negara itu mestilah memiliki

kemampuan dan keupayaan dari segi fizikal dan mental untuk menghubungkaitkan antara

manusia dengan alam dan tuhan bagi mewujudkan keseimbangan makrokosmos.


Pemimpin negara haruslah seorang tokoh falsafah adalah amat bertepatan dengan

pengertian falsafah itu sendiri yang menerangkan bahawa falsafah itu merupakan ilmu,

penyelidikan, atau pengajian yang berasaskan renungan (reflective) dan pentaakulan

(reasoning) bagi merumuskan hakikat alam yang dilihat secara kesatuan dengan

mengambil hasil kajian iaitu fakta dan data dari semua aspek alam semesta atau alam

wujud iaitu dari semua disiplin ilmu dan membuat kesimpulan tentang hakikat

kewujudan alam semesta secara keseluruhannya. Hal ini membuktikan bahawa

seseorang pemimpin negara haruslah seorang tokoh falsafah.

Seorang tokoh falsafah akan sentiasa berfikir secara mendalam tentang hakikat

kejadian sesuatu dengan mengambil serta melihat dari semua aspek sebagai satu

kesatuan. Selain daripada itu, tokoh falsafah juga memiliki keupayaan berfikir yang

tinggi. Sehubungan itu, taraf pemikiran yang tinggi yang dimiliki oleh tokoh falsafah

akan membolehkannya menjadi seorang pemimpin yang berupaya memahami hakikat

sesuatu kejadian bagi memimpin serta mentadbir untuk membentuk sesebuah negara.

Kaedah yang digunakan sekiranya tokoh falsafah sebagai pemimpin negara adalah

berdasarkan renungan, pentaakulan, dan hujahan yang logikal dan rasional di samping

menggunakan akal sebagai pengukur kebenaran. Oleh itu, adalah sesuai jika seseorang

pemimpin negara itu adalah seorang tokoh falsafah.


Pemimpin sesebuah negara akan memikul tanggungjawab memimpin, merancang,

dan melaksanakan pembangunan sosial dan ekonomi negara dalam pelbagai situasi.

Sehubungan itu, sekiranya pemimpin negara merupakan seorang tokoh falsafah, maka dia

akan sentiasa merujuk kepada penggunaan akal dan sentiasa meletakkan akal fikiran

sentiasa berada di tempat yang teratas. Hal ini dapat diperjelaskan bahawa seseorang

tokoh falsafah itu akan sentiasa berfikir dengan akal mengikut kaedah, peraturan serta

batasan pemikiran kerana ia merupakan panduan dan pegangan bagi seseorang tokoh

falsafah. Tokoh falsafah juga sentiasa berpegang pada panduan berfikir iaitu berfikir

dahulu sebelum bertindak. Hal ini adalah sangat sesuai untuk diaplikasikan ketika

memimpin sesebuah negara. Oleh itu, adalah sesuai seseorang pemimpin negara itu ialah

seorang tokoh falsafah.

Salah satu ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pemimpin ialah bersikap adil

dalam semua tindakan sama ada kepada dirinya sendiri atau kepada orang lain.

Perpaduan dan keharmonian wujud sekiranya setiap tindakan dan keputusan yang dibuat

olehnya adalah betul dan wajar. Keadilan tidak akan wujud sekiranya tiada ilmu.

Sehubungan itu, tokoh falsafah melihat sesuatu ilmu sebagai satu kesatuan atau

menyeluruh dan dihuraikan secara holistik. Ilmu yang benar akan mendorong seseorang

untuk mengambil tindakan dan keputusan yang tepat dan wajar. Selain itu, seseorang

tokoh falsafah tidak akan terfokus kepada satu bidang ilmu sahaja tetapi melihat bidang

ilmu itu secara menyeluruh atau sebagai satu kesatuan dan dihuraikan secara holistik.
Tokoh falsafah menjelaskan bahawa ilmu falsafah dan ilmu logik tidak boleh

dipisahkan. Ilmu falsafah digunakan untuk mencari kebenaran manakala ilmu logik

dapat digunakan untuk menentukan bahawa sesuatu hakikat kejadian itu antara benar

dengan yang palsu. Kebenaran yang mutlak hanya dapat ditentukan oleh wahyu yang

bersumberkan kepada al-Quran dan hadis dan sesuai diaplikasikan semasa mentadbir

sesebuah negara.

KESIMPULAN

Berdasarkan kajian yang dijalankan terhadap falsafah yang dikeluarkan oleh al-Farabi,

dapat dirumuskan bahawa al-Farabi merupakan ahli fikir Islam yang masyhur dalam

pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Beliau juga mengemukakan beberapa teorinya dalam

bidang falsafah politik dengan menerapkan elemen-elemen daripada teori nilai, logik,

etika, dan falsafah agama. Karya-karya yang dihasilkannya merupakan suatu pemikiran

yang khusus berkenaan al-Farabi yang dapat digunakan untuk membezakan antara karya-

karya yang dihasilkannya dengan karya-karya tokoh-tokoh falsafah yang lain.

Dari sudut peribadi, falsafah-falsafah yang terdapat dalam kitab “Ara Ahl al-

Madianah al-Fadilah” menunjukkan tentang pemikiran al-Farabi yang mementingkan

perpaduan, kesejahteraan, keharmonian, dan persefahaman dalam membentuk sesebuah

negara. Pemimpin atau ketua negara haruslah seseorang manusia sempurna yang

meliputi sifat-sifat fizikal, mental serta moralnya. Fungsi ketua negara adalah amat berat

dan merupakan asas keamanan sesebuah negara bagi membentuk masyarakat yang

bersatu padu, bertaqwa, dan bermatlamatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.


BIBLIOGRAFI

Awang Sariyan. 2007. Falsafah dan Logika Melayu.


Selangor: Synergymate Sdn. Bhd.

Hashim Hj. Musa. 2001. Falsafah, Logik, Teori Nilai dan Etika Melayu.
Universiti Malaya: Akademi Pengajian Melayu.

Hashim Hj. Musa. 2004. Pemerkasaan Tamadun Melayu Malaysia Menghadapi


Globalisasi Barat. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Idris Zakaria. 1986. Teori Kenegaraan al-Farabi.


Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Das könnte Ihnen auch gefallen