Sie sind auf Seite 1von 32

1.

PENGENALAN

Banyak yang telah kita dengar tentang gejala sosial. Berbagai gejala sosial telah melanda masyarakat kita dan aktiviti yang terlibat begitu pelbagai sekali baik yang dilakukan oleh remaja mahupun orang dewasa. Namun, oleh kerana golongan remaja dan pelajar merupakan bakal pewaris negara, maka kegiatan merekalah yang hangat diperkatakan dan mendapat perhatian daripada segenap lapisan masyarakat. Media massa seringkali menyiarkan pelbagai berita dan cerita tentang kenakalan remaja yang masih bersekolah dan pelbagai masalah sosial yang melanda mereka ini. Melihat kepada masalah sosial dan perbuatan jenayah membabitkan pelajar dan remaja benar-benar membimbangkan kita. Pada peringkat pelajar dan remaja, seseorang individu mengalami perubahan yang amat pesat sekali, sama ada dari segi fizikal, emosi mahupun sosial. Pada zaman inilah para remaja mula terdedah kepada alam luas di luar rumah, malah persekitaran ini sudah merupakan rumah kedua kepada mereka. Remaja juga belajar banyak perkara yang tidak semuanya datang dari ibu bapa tetapi kebanyakannya daripada persekitaran sosial yang mana ia membesar. Mereka bukan sekadar nakal dengan menghisap rokok, bergaduh sesama sendiri atau berkelakuan tidak senonoh malah gejala seperti membuang bayi, ponteng sekolah , lari dari rumah , seks bebas serta serta lagi melepak tidak memeranjatkan kita.. Mereka kini sudah berani melakukan perbuatan jenayah berat seperti menganggotai kumpulan samseng seperti kumpulan gengsterisme , membunuh, samun tanpa senjata api mahupun dengan senjata api, merogol, pelacuran, judi, vandalisme penyalahgunaan dadah , minum minuman keras, terbabit video lucah dan sebagainya. Keadaan seperti ini bukan sahaja berlaku di sekolah bandar dan di pinggiran bandar, malah di sekolah luar bandar.

2.0

REMAJA DARI SUDUT PSIKOLOGI

Perubahan daripada alam remaja kepada alam dewasa merupakan satu masa yang amat penting, di mana perasaan ingin mencuba sesuatu yang baru lebih-lebih lagi dengan gejala sosial akan bermula. Memahami siapa remaja adalah penting bagi mengetahui mengapa mereka terlibat dengan gejala sosial ini. Ini kerana faktor personaliti individu itu sendiri serta faktor perkembangannya mempengaruhi tingkahlaku yang dilakukan olehnya. Menurut Kamus Dewan (Edisi Ketiga), remaja merupakan seorang yang mulai dewasa, sudah akil baligh, sudah cukup umur untuk berkahwin dan sedang melalui proses inginkan cinta. Dari segi perspektif Islam pula, remaja dianggap sebagai mereka yang sudah cukup umur atau diistilahkan sebagai baligh. Pada peringkat ini, golongan remaja mengalami peralihan antara zaman kanakkanak dengan zaman dewasa. Definisi remaja ini banyak diperkatakan oleh ahli psikologi dan ada di antaranya mendefinisikan remaja sebagai suatu tempoh perkembangan fizikal, satu konsep yang abstrak, satu fenomena sosiobudaya atau berdasarkan sikap remaja terhadap kehidupannya. Persoalan yang sering dikaitkan dengan pencarian identiti adalah merupakan persoalan utama bagi remaja. Persoalan seperti "Siapakah saya?", "Apakah bidang kerjaya yang sesuai dengan saya?", dan sebagainya yang membawa maksud identiti apa yang membuatkan seseorang itu berbeza dengan orang lain. Daripada definisi remaja yang telah diberikan, secara keseluruhannya menyatakan bahawa remaja merupakan satu tempoh peralihan dari zaman kanak-kanak ke alam dewasa yang berlangsung dalam usia sekitar 13 tahun hingga 20 tahun. Pada peringkat ini berlakunya perubahan yang pesat sama ada perubahan biologi, fizikal, mental dan emosi serta perubahan tanggungjawab dan peranan. Jadi, untuk mengimbangi perubahan-

perubahan ini, golongan remaja sering berhadapan dengan masalah dan konflik dalam mencari identiti diri. Oleh itu, berlakulah ketegangan dan tekanan emosi dalam diri remaja. Jika diteliti secara mendalam zaman remaja sebenarnya merupakan suatu proses dan bukannya satu jangkamasa. Kerana pada tahap ini berlakunya proses mencapai atau memperolehi sikap dan kepercayaan yang diperlukan demi penglibatan yang berkesan dalam masyarakat.

3.0

PERKEMBANGAN FIZIKAL REMAJA

Perkembangan fizikal remaja boleh dirujuk kepada perkembangan remaja dari aspek biologi. Ketika ini remaja-remaja lelaki dan perempuan secara sedar atau tidak akan mengalami perubahan dari segi bentuk tubuh dan emosi. Perubahan ini berlaku akibat tindakan hormon. Kadar pembesaran dan perubahan remaja lelaki dan perempuan juga adalah berbeza dan begitu juga dengan seorang individu dengan individu yang lain. Antara perkembangan fizikal yang dilalui oleh remaja seperti kematangan biologi, tingkahlaku heteroseksual dan akil baligh. Dari segi kematangan biologi, pada awal alam keremajaan, remaja selalunya sibuk menyesuaikan diri dengan pertumbuhan yang berlaku pada tubuhnya. Kesedaran ke atas kejantinaan diri semakin bertambah. Hal ini akan memberi kesan kepada imej tubuh serta konsep kendiri. Pada usia beginilah remaja akan lebih prihatin dengan keadaan tubuhnya. Mereka akan sering membezakan dirinya dengan rakan sebaya yang lain. Remaja yang cepat matang mempunyai beberapa kelebihan apabila dibandingkan dengan yang lambat matang. Mereka terlebih dahulu mengambil tempat dalam masyarakat remaja sementara mereka yang lambat matang perlu bersaing daripada sudut

fizikal dan sosial bagi mendapat tempat yang istimewa dalam kelompok remaja. Dari segi tingkahlaku heteroseksual pula, remaja zaman dahulu mempunyai sikap yang berbeza ke atas pelbagai aspek seksual berbanding dengan remaja zaman sekarang, terutamanya remaja perempuan. Sebuah kajian ke atas kelompok pelajar sebuah kolej di Amerika Syarikat di antara tahun 1900 dengan tahun 1980 menunjukkan peratusan orang muda yang melakukan hubungan seks meningkat, dan kadar pelajar perempuan yang melakukan hubungan seks meningkat lebih cepat dibandingkan dengan pelajar lelaki. Beberapa buah kajian di Barat menunjukkan bahawa cinta adalah faktor utama ramai remaja perempuan melakukan hubungan seks. Keinginan berkahwin dengan pasangan mereka juga wujud dalam kalangan pelajar wanita tetapi kurang bagi pelajar lelaki. Faktor-faktor lain adalah seperti desakan teman lelaki, perasaan ingin tahu dan keinginan seks yang tidak berkaitan dengan cinta. Baligh pula merupakan perubahan biologi yang menandakan permulaan remaja. Ianya bermula apabila tahap hormon yang memasuki saluran darah meningkat ekoran respon kepada isyarat daripada bahagian otak iaitu hipotalamus. Apabila tahap pertumbuhan hormon bertambah dalam badan, lonjakan pertumbuhan kanak-kanak dengan tiba-tiba akan berlaku. Lonjakan ini merupakan tanda yang nyata tentang

permulaan akhil baligh. Perkara yang paling ketara semasa baligh adalah merupakan perkembangan permatangan seksual iaitu kebolehan pembiakan. Pada masa ini, kanak-kanak melalui peringkat kedua kelahiran, bentuk badan mula berubah dan keinginan muncul dari dalam, perubahan angin, kemarahan, perubahan fikiran, membuatkan mereka tidak dapat mengawal, mula berasa segan atau malu apabila

berhadapan dengan kehadiran orang yang berlainan jantina, dan mereka mula merasai perasaan seksual. Dengan kata lain mereka mula tertarik antara satu sama lain. Zon genital, khasnya didorong tenaga seksual yang hebat, dan remaja ini sekali lagi dilanda fantasi. Remaja ini mungkin rasa susah atau tidak selesa apabila berada di kalangan ibu bapanya.

4.0

TEORI PUNCA PELAJAR

SALAH LAKU DAN MASALAH SOSIAL

Terdapat beberapa penjelasan mengenai punca salah laku. Teori fungsionalisme menganggap salah laku sebagai tiada fungsi pada struktur sosial. Teori konflik mengatakan salah laku merupakan tindakan golongan tertindas terhadap pihak minoriti yang menindas. Teori subbudaya dan deprivasi pula berpendapat salah laku berpunca daripada budaya kumpulan yang berbeza dengan budaya masyarakat besar. Deprivasi selalu berpunca daripada kekurangan ekonomi dan kelemahan emosi. Remaja terutamanya daripada latar belakang kelas sosial rendah yang tidak berjaya dalam akademik mengalami kekecewaan dan tekanan status lalu bertindak melakukan salah laku. Teori interaksionisme melihat salah laku sebagai sesuatu yang subjektif dan merupakan suatu proses sosial. Pelajar sengaja memilih tingkah laku tertentu mengikut kemahuan mereka yang sesuai dengan cara mereka menginterpretasi sesuatu.

5.0

STATISTIK MASALAH SOSIAL REMAJA

Di Malaysia, remaja merangkumi lebih daripada separuh keseluruhan penduduk. Oleh kerana bilangannya yang ramai, maka masalah yang berkaitan dengan kelompok ini juga banyak. Data dan statistik banyak menunjukkan keruntuhan akhlak di kalangan remaja di negara ini adalah semakin serius. Mengikut Pihak Berkuasa Jenayah Bukit Aman (Berita Harian, 22 September 1993) antara tahun 1990 dan 1992 sahaja, seramai 37602 individu ditahan bagi kesalahan jenayah harta benda serta kekerasan. Daripada jumlah ini, seramai 3450 atau 9.17% adalah remaja dan dalam kalangan remaja yang diberkas pula, kesalahan yang dilakukan boleh dibahagikan kepada jenayah kekerasan dan harta benda. Perangkaan polis menunjukkan, antara kes jenayah yang selalu dilakukan oleh remaja adalah pecah rumah, rusuhan, pergaduhan sesama mereka, salah guna dadah, mencuri basikal atau motosikal (Utusan Malaysia, Januari 1992). Jenayah yang dilakukan oleh remaja bukan hanya berlaku di kawasan bandar raya atau bandar-bandar besar sahaja, malah di merata tempat di seluruh pelusok negara. Sebagai contoh, di Kedah sahaja, sebanyak 307 kes jenayah berlaku sepanjang tahun 1991. Daripada jumlah itu, 73 kes membabitkan pelajar sekolah. Mengikut pembahagian kaum, seramai 204 kes melibatkan kaum Melayu, 54 remaja Cina dan 47 adalah remaja kaum India. Berdasarkan statistik, kes melibatkan remaja jelas meningkat antara tahun 1990 dan 1992. Pada tahun 1990, sebanyak 657 kes dicatatkan, diikuti 830 kes pada tahun 1991 dan 1487 kes pada tahun 1992.

Satu lagi kesalahan yang melibatkan remaja adalah lari atau hilang dari rumah. Pada tahun 1990, terdapat 1578 kes, 1991 (1981 kes), 1992 (2221 kes) dan 1993 (1485 kes). Dari segi jenayah melibatkan bahan berbahaya seperti dadah psikoaktif, antara tahun 1990 dan 1992, daripada jumlah 22912 penagih dadah yang ditahan, 2856 orang (12.46%) adalah remaja. Statistik seterusnya adalah bersabit kesalahan akhlak yang amat serius dari kaca mata masyarakat Malaysia, iaitu perbuatan maksiat di kalangan remaja. Menurut Menteri Perpaduan Negara dan Pembanguan Masyarakat, Datuk Napsiah Omar (Berita Harian, 3 Februari 1992), bilangan remaja yang rosak ahklak masih tinggi. Pada tahun 1988, sebanyak 3978 kes dicatatkan, 4111 kes pada tahun 1989, 3763 kes pada tahun 1990 dan sebanyak 2658 kes sehingga bulan Oktober 1991. Satu lagi tabiat remaja yang menampakkan potensi untuk menjadi gejala yang sukar dibendung adalah kegemaran mereka membazir masa. Istilah yang popular digunakan kini adalah budaya lepak. Satu kajian di dua buah rumah pangsa di Kuala Lumpur mendapati sebanyak 90% remaja kaum Cina terus pulang ke rumah selepas sekolah, sebanyak 72% remaja kaum India berbuat demikian dan hanya 5.8% remaja kaum Melayu pulang ke rumah selepas sekolah (Utusan Malaysia, 11 Mac 1993). Kematian yang tinggi dilaporkan setiap tahun akibat kegiatan lumba haram. Bermula daripada tahun 2001 hingga 2004, jumlah tangkapan yang dijalankan oleh PDRM

adalah sebanyak 5,332 kes di seluruh Malaysia. Sepanjang tempoh tersebut, Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 1,041 kes. Dalam satu operasi pencegahan yang dijalankan didapati kebanyakan yang ditahan dalam lingkungan umur 16 hingga 28 tahun. * Sumber: Statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM), 2004

Statistik penagih dadah di Malaysia bagi tempoh 1988 hingga 2005 yang telah dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan, jumlah penagih dadah terkumpul bertambah dari 289,763 pada tahun 2005 kepada 292,696 orang sehingga Mac 2006. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1.32% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2005. Bilangan penagih ini telah menyumbang 1.1% daripada jumlah penduduk Malaysia. * Sumber : Buletin Dadah Bil 1/2006 Agensi Antidadah Kebangsaan (ADK), 2006

Jumlah penagih dadah mengikut jantina daripada jumlah 32,808 yang menagih dadah bagi tahun 2005, sebanyak 97.97% terdiri daripada lelaki berbanding perempuan iaitu 2.03%. * Sumber : Agensi Antidadah Kebangsaan (ADK), 2006

6.0
6.1

MASALAH SOSIAL PELAJAR


Seks Bebas Dan Jenayah Seksual

Seks bebas dan jenayah seksual di kalangan pelajar kini semakin menular dan membimbangkan kita terutamanya pelajar di kawasan bandar dan kota. Apa yang menyedihkan kita ialah penglibatan mereka mula dikesan seawal usia 13 tahun ketika mereka berada di tingkatan satu dan dua. Seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah mendedahkan bahawa beliau menemui kondom yang disimpan dalam beg oleh pelajar wanita di sebuah sekolah di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Kondom itu ditemui ketika pemeriksaan mengejut dilakukan di sekolah tersebut. Peningkatan pembabitan remaja perempuan dalam aktiviti maksiat juga adalah satu lagi petanda bahawa keruntuhan akhlak remaja di Malaysia bertambah serius. Seorang lagi guru di sebuah sekolah di Kuala Lumpur mendedahkan bahawa beliau pernah membuat tinjauan di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada waktu 9

malam dan merasa sungguh terkejut kerana mendapati pelajarnya, lelaki dan perempuan meneguk minuman keras tanpa segan silu di khalayak ramai. Beliau juga mendedahkan terdapat seorang pelajar wanita di sekolahnya terlibat dalam pengedaran pil ecstasy. Pelajat terbabit kerap ponteng sekolah dan apabila disiasat, pihak sekolah mendapati pelajar itu adalah ketua pengedar pil ecstasy di sekolah itu. Menurut Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim, jenayah seksual di kalangan pelajar terutamanya disekitar Kuala Lumpur semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Diantara jenayah seksual yang mereka lakukan seperti mencabul kehormatan, merogol dan juga pelacuran. Mangsa yang dicabul oleh mereka bukan sahaja pelajar wanita tetapi juga wanita-wanita dewasa. Selain jenayah seksual, beliau mendedahkan mengenai masalah seks rambang, hamil luar nikah dan pelacuran dikalangan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT). Menurutnya sehingga bulan Jun tahun ini, seramai 141 gadis bawah umur berjaya diselamatkan daripada kancah pelacuran dan kegiatan seks haram di seluruh negara dan sepanjang tahun lalu pula seramai 230 remaja bawah umur yang terlibat berjaya diselamatkan dan dihantar ke pusat pemulihan akhlak. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita seks oral dibawah meja di bilik darjah oleh empat orang murid tahun dua di sebuah sekolah rendah di Taiping. Hasil siasatan guru-guru, didapati bahawa seorang daripada murid itu mengulangi apa yang yang dilihatnya dalam sebuah filem lucah, bersama-sama ibu bapanya pada malam sebelumnya. Disebabkan oleh sebab sifat ingin tahu, dia meminta rakan-rakannya untuk mencubanya di bawah meja selepas guru mereka meninggalkan bilik darjah. Namun apa

10

yang sangat menyedihkan ialah sikap ibu bapa itu sendiri yang sanggup mendedahkan anaknya kearah gejala sosial dengan menonton video lucah bersama-samanya. Bagaimanakah ini boleh terjadi dalam masyarakat kita pada hari ini? Apakah faktor yang menyebabkan berlakunya semua ini? Adakah anak-anak yang perlu

dipersalahkan atau ibu bapa yang tidak berakhlak yang perlu dipersalahkan? Ibu bapa hendaklah menjadi pemangkin dan contoh teladan yang baik bagi anak-anak kerana pengaruh media massa pada zaman ledakan maklumat dan lambakan bahan-bahan lucah seperti majalah dan VCD lucah amat mudah mempengaruhi tingkah laku anak-anak dan para pelajar. Remaja dan pelajar merupakan golongan pewaris kepimpinan hari ini dan penerus wawasan negara. Kepesatan pembangunan ekonomi dan teknologi telah memberikan kesan kepada pembangunan sosial dan insaniah para pelajar. Minda mereka menjadi lebih terbuka dan bebas. Salah satu daripada gejala yang berlaku pada masa kini ialah masalah penyalahgunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan remaja. Aktiviti seperti "Lepak Siber", melayari halaman lucah dan hiburan keterlaluan, penyebaran fitnah dan sebagainya merupakan gejala negatif yang semakin menular di kalangan remaja. Justeru itu, satu bentuk langkah pembendungan dan penyelesaian terbuka yang sesuai dengan minat dan citarasa mereka ini perlu dilaksanakan agar mereka dapat mempertingkatkan potensi diri mereka dan memanfaatkannya ke arah yang lebih positif.

11

6.2

Samseng Dan Gangsterisme

Gejala samseng atau gengsterime di sekolah menengah di seluruh negara juga semakin membimbangkan. Mereka ternyata semakin berani mencabar undang-undang dan tidak takut melakukan kesalahan jenayah termasuk menggunakan senjata merbahaya. Berita Harian, 12 Julai 2001 lalu melaporkan dalam tempoh 10 tahun antara 1989 hingga 1998 kadar jenayah membabitkan remaja lelaki dan pelajar meningkat sebanyak 35 peratus dan 25 peratus bagi remaja perempuan. Kementerian Pendidikan dengan kerjasama polis telah mengenal pasti pelajar di 456 sekolah menengah di seluruh negara terdedah kepada kegiatan samseng. Angka ini bukan sedikit dan menunjukkan gejala ini berada pada tahap membimbangkan. Kalau kita menyorot kembali gejala ini, kita akan diperlihatkan kepada

pembabitan pelajar dalam kes jenayah berat seperti membunuh, merogol, menyamun, mengugut dan kes pukul. Terdapat juga pelajar yang terlibat dengan dadah, mabuk, memiliki senjata api menceroboh , judi dan membuli. Peristiwa terbaru ialah kejadian membakar sekolah dan rumah guru yang dilakukan oleh pelajar sekolah. Seawal belasan tahun pelajar sudah terjebak dengan jenayah strem seperti membunuh, merogol dan menyamun. Mereka yang sudah menjinakkan diri dengan kes seperti mencuri motosikal, pecah rumah dan memukul orang , tidak mustahil akan terbabit dengan jenayah berat seperti membunuh, sindiket senjata api , pengedaran dadah dan juga rompakan senjata api. Mengikut laporan Menteri Pendidikan semasa persidangan di Parlimen, statistik kesalahan membunuh, merompak, merogol dan dadah yang dilakukan oleh pelajarpelajar sekolah menengah di seluruh mengikut negeri-negeri dari tahun 1999 hingga

12

tahun 2000 dan pertengahan tahun 2001 ialah 12 kes bunuh, 123 kes rogol dan 51 kes samun dan rompakan. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya gejala-gejala tersebut seperti faktor rumah tangga, sekolah, persekitaran, media massa dan diri pelajar itu sendiri. Ramai pelajar dan remaja mudah terpengaruh dengan media yang memberikan ganjaran keseronokan dan mula tersesat dengan meniru apa yang dilihat dan dibaca. Kewujudan media berteknologi tinggi mendedahkan remaja kepada pelbagai budaya luar yang kebanyakannya merosakkan pemikiran mereka. Selain itu rumah tangga yang porak peranda dan persekitaran yang tidak sihat juga menyumbang kearah kelakuan tidak baik di kalangan remaja. Sekiranya ini berlaku pelajar atau remaja akan mengambil jalan singkat dengan menjadikan perbuatan tidak sihat sebagai jalan keluar kepada

permasalahan mereka. 6.3 Ponteng Sekolah

Senario ponteng sekolah bukanlah merupakan masalah sosial yang baru dalam kalangan pelajar sekolah di negara kita. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan menunjukkan pelajar terbabit dengan gejala itu agak membimbangkan iaitu 32 092 orang pada tahun 1993, 154305 (1995) dan 80 937 pada 1997. Pelajar sekolah menengah, terutama di peringkat usia antara 14 hingga 15 tahun dikenal pasti sebagai kumpulan majoriti yang terbabit dengan gejala ponteng. Daripada keseluruhan pelajar yang dikenal pasti terbabit dengan masalah ponteng, kira-kira 97 peratus adalah dari kalangan pelajar lelaki dan baki 3 peratus adalah pelajar perempuan. Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Datuk Mahadzir Mohd Khir, masalah ponteng lebih ketara berlaku dalam kalangan pelajar peringkat menengah

13

iaitu tingkatan dua dan tiga terutama mereka yang bersekolah di kawasan bandar dan sekolah di pinggir bandar. Diantara faktor-faktor yang menyumbang ke arah berlakunya gejala ponteng di kalangan pelajar sekolah ialah tiadanya minat atau motivasi untuk ke sekolah, tiada kesedaran betapa pentingnya ilmu pengetahuan, pengaruh persekitaran seperti melepak di pusat hiburan, pusat membeli belah, melayari internet di kafe siber dan terikut-ikut atau terpengaruh dengan rakan sebaya. Sesungguhnya gejala ponteng sekolah adalah masalah serius yang perlu diberi perhatian.dengan mengambil pendekatan bersepadu dengan mengesan punca pelajar terbabit dengan gejala itu dan kaedah yang berkesan untuk menanganinya. 6.4 Black Metal

Saban hari bilangan remaja yang terjebak dengan gejala sosial kian meningkat. Yang lebih menyayatkan adalah gejala ini seolah-olah epidemik atau wabak yang menjangkiti remaja melayu babak demi babak, peringkat demi peringkat dan yang terakhir dan masih terasa bahangnya ialah masalah Black Metal dan kini Punk Metal. Semua ini sebenarnya adalah masalah lama yang diberi manifestasi baru kerana kelekaan sendiri. Masalah Black Metal misalnya merupakan masalah masyarakat yang telah membelakangkan adab dan budayanya sendiri sehingga wujud satu kekosongan yang kaku dan bisu. Kegiatan Black Metal adalah suatu kegiatan yang mempunyai unsur pemujaan dan penyembahan syaitan malah ada pengikut mereka yang sudah meminum darah kambing sebagai tanda setia kepada kumpulan mereka. Hasil daripada siasatan polis mendapati 10 pelajar dari sebuah sekolah menengah di Parit Buntar mula terbabit dengan kumpulan Black Metal sejak 1999. Ada diantara pelajar berkenaaan terbabit dalam upacara membakar ayat Al Quran dan mengikuti acara

14

yang diketuai `tok guru` yang berselubung hitam. Akibat dari ketandusan aqidah, pelajar Islam mula terpengaruh dengan agenda Yahudi dengan menafikan tauhid Uluhiyyah. Adalah menjadi perkara yang sangat menyedihkan dan mengecewakan apabila terdapat golongan pelajar Islam di negara ini yang terpengaruh dengan budaya yang kurang sihat ini. Ilmu dan pengajaran daripada simpulan bahasa dan perumpamaan melayu misalnya, tidak langsung mendapat tempat sebagai pegangan hidup kita. Membanteras gejala negatif ini merupakan tanggungjawab sosial semua pihak dari seluruh anggota masyarakat. Usaha ini memerlukan kerjasama yang padu dalam kalangan anggota masyarakat. Dengan komitmen, kesungguhan dan keikhlasan semua pihak, gejala ini akan dapat ditangani dengan sebaiknya, tanpa kita membebankan mana-mana pihak. 6.5 Penyalahgunaan Dadah

Dadah bukanlah satu perkara baru dalam konteks kehidupan pada hari ini. Di Malaysia sahaja bilangan penagih dadah semakin bertambah saban tahun. Apa yang lebih membimbangkan ialah golongan remaja terutamanya pelajar sekolah terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat ini. Menurut laporan Agensi Antidadah Kebangsaan pada tahun 2005 sahaja lebih 5% daripada 32 808 penagih dadah yang dikesan terdiri daripada mereka yang berusia 13-20 tahun. Manakala berdasarkan laporan Dadah Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2007, dianggarkan 200 juta atau 5 peratus daripada penduduk dunia (1 daripada 200 orang) mengambil dadah. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula melaporkan bagi setiap penagih yang dikesan ada empat lagi yang tidak dilaporkan. Jikalah ini benar, ini bermakna jumlah sebenar penagih dadah di Malaysia boleh menjadi sejuta orang berbanding hanya 250,000

15

yang dilaporkan. Kajian Yayasan Perlindungan Jenayah Malaysia pula mendapati, kebanyakan penagih dadah di negara ini mula mengenali dadah dalam lingkungan usia 13-15 tahun dan 71 peratus daripada penagih baru terdiri daripada golongan muda antara 19-39 tahun. Menurut Agensi Dadah Kebangsaan, dadah merupakan satu istilah khas kepada sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang dari segi jasmani (fizikal), rohani (mental dan emosi) serta tingkah-laku pengguna apabila digunakan. Akibat daripada kesan ini seseorang yang menggunakan dadah akan terus bergantung hidup kepada dadah tersebut dan menyebabkan ketagihan. Seseorang penagih sanggup menggadai maruah serta memperhambakan diri kepada sesiapa saja dalam apa jua keadaan asalkan bekalan dadahnya terjamin. Akibatnya ramai yang sanggup mengemis dan melacurkan diri. Walaupun dadah yang dikenali umum terdiri daripada heroin, morfin, dan ganja, pada hakikatnya ia merangkumi juga semua bahan yang boleh memberi kesan seperti yang dinyatakan di atas. Ini termasuk tembakau dan arak. Malah, sesetengah ubat-ubatan jika tidak digunakan mengikut peraturan dan sukatan yang betul boleh memberi kesan negatif yang sama seperti dadah. Contohnya morfin dan sebatian terbitan daripadanya yang banyak digunakan sebagai ubat penghilang kesakitan semasa merawat kecederaan yang serius. Dengan perkataan lain dadah membawa risiko yang amat tinggi sehingga boleh mengakibatkan maut. Semua jenis dadah yang telah disebutkan pada dasarnya menunjukkan kesan ketagihan dalam bentuk pergantungan fizikal, mental dan emosi yang sama.

16

7.0
7.1

FAKTOR-FAKTOR MASALAH SOSIAL REMAJA


KELEMAHAN INSTITUSI KELUARGA

Antara faktor utama berlakunya masalah sosial dalam kalangan remaja pada hari ini adalah kelemahan dan keruntuhan institusi keluarga terutamanya kekurangan kasih sayang, perhatian, asuhan dan didikan akhlak daripada ibu bapa kepada anakanak. Ibu bapa yang dibuai kebendaan dan mementingkan karier serta wang selalu mengabaikan tanggungjawab mereka keatas anak-anak di rumah. Anak-anak dibiarkan hanyut dalam dunia khayalan yang menjerumuskan mereka ke lembah kehinaan. Mereka mudah meyimpang daripada lunas yang murni dan berakhlak, kini mereka hidup bebas tanpa segan silu dan tidak menghiraukan masyarakat apabila melakukan pelbagai gejala sosial. Kebebasan tanpa pedoman, batasan dan didikan agama akan berakhir dengan kehancuran. Setiap remaja tiada pilihan melainkan menjadikan agama sebagai sumber penjana remaja cemerlang. Diri remaja perlu dikukuhkan dengan unsur kerohanian yang mantap sehingga berupaya melakukan jihad menentang segala cabaran masa depan yang lebih hebat. Remaja perlu mengetahui, memahami dan menghayati matlamat hidup di dunia. Mereka perlu sedar dari mana mereka datang, kenapa mereka dijadikan dan ke mana mereka akan dikembalikan. Hal ini menjadikan remaja bertanggungjawab kepada diri sendiri, agama, bangsa, dan negara. Mendekatkan diri dengan agama adalah peluang menjamin masa depan remaja yang lebih cerah dan cemerlang. Pegangan agama yang kukuh dan berkesan perlu bagi menimbulkan keinsafan dan kesedaran supaya remaja memanfaatkan masa

17

remaja dengan menimba ilmu dan kesedaran supaya remaja menghormati guru demi kebahgiaan dunia dan akhirat. Remaja juga perlu mempunyai daya tahan dari segi fizikal dan mental bagi merealisasikan cita-cita diri, agama, bangsa dan negara. Ciri-ciri jati diri, waja diri dan kawalan diri yang kukuh perlu dimiliki oleh remaja. Ia berfungsi mengawal perasaan, emosi dan nafsu yang dapat menjerumuskan ke lembah gejala sosial yang hina. 7.2 PENGARUH RAKAN SEBAYA

Faktor kedua ialah faktor rakan sebaya, persekitaran masyarakat, media massa dan kelemahan undang-undang memburukkan lagi keadaan. Hal ini juga menjadi pemangkin kepada meluasnya gejala sosial di kalangan remaja. Bagi remaja yang tercicir dalam persekolahan, kewujudan peluang-peluang pekerjaan di kawasan bandar ekoran pertumbuhan aktiviti perindustrian mengakibatkan penghijrahan meluas ke kawasan bandar. Penghijrahan remaja dari kampung bagi mencari pekerjaan di bandar-bandar mendatangkan pelbagai kesan langsung dan tidak langsung seperti masalah sosial, keluarga serta perubahan nilai dan sikap. Terdapat pelbagai unsur negatif yang disalurkan melalui media massa terutamanya media elektronik seperti filem ganas dan lucah yang tidak sesuai dengan agama, akhlak, budaya timur dan wawasan negara. Laporan televisyen dan akhbar menunjukkan gejala sosial remaja berlaku selepas menonton filem berunsur ganas.Mereka seolah-olah terpengaruh dengan

18

apa yang mereka lihat. Desakan keluarga dan kuasa sivik membantu menghalang remaja daripada terlibat dengan aliran muzik rock yang negatif dan kesan umum daripada rakaman video. Permainan video dan pengaruh televisyen cukup sinonim dengan pelbagai masalah sosial yang berlaku di kalangan remaja. 7.3 Pengaruh Sekolah

Faktor ketiga pula ialah pengaruh sekolah kerana remaja menghabiskan hampir seluruh masanya di sekolah. Organisasi dan struktur belajar di sekolah seperti pengagihan pelajar mengikut pencapaian, pihak berkuasa yang menekankan peperiksaan, bentuk, struktur ganjaran dan hukuman, sikap dan harapan guru, kesemuanya menggalakkan masalah disiplin dalam kalangan pelajar yang lemah daripada segi akademik. Jenis kepimpinan dan suasana sekolah mempengaruhi perkembangan personaliti remaja. Contohnya pengetua yang tegas melaksanakan disiplin pasti menegaskan kepada remaja, keadaan disiplin adalah penting bagi menjamin kejayaan pelaksanaan satu-satu tugasan Sebaliknya pengetua yang tidak tegas boleh mendatangkan kesan yang negatif pula. Ini boleh menyebabkan remaja menjadi pasif, menarik diri, takut mengambil risiko, kurang inovatif dan takut mendatangkan perubahan. Sifat-sifat kepimpinan juga terbantut perkembangannya. Disamping itu terdapat juga guru yang melabelkan pelajar sebagai cerdik dan bodoh, pelajar yang pada mulanya berminat dan bermotivasi pasti menunjukkan minat yang bertentangan setelah dilabelkan oleh guru sebagai pemalas atau bodoh. Ini boleh menjejaskan pencapaian pelajar dalam pelajaran. Hal ini seterusnya menyebabkan keinginan untuk ponteng dari kelas atau sekolah, kerana semangat untuk belajar 19

kian luntur dari diri remaja terbabit. Apabila gejala ponteng telah menyerap masuk ke dalam diri remaja, maka, pelbagai pengaruh negatif akan melanda remaja tersebut antaranya ialah penyalahgunaan dadah. 7.4 SIKAP INDIVIDU SENDIRI

Faktor keempat yang menjadi penyebab ialah ialah mereka tidak dapat mengawal nafsu diri, tidak mendengar nasihat orang tua,ingin mencuba dan ingin meniru. Nafsu yang paling jahat menghantui jiwa remaja ialah terdorong kepada kegiatan jahat dan hidup berfoya-foya yang hanya dikejar ialah keseronokan dan kemewahan tanpa memikirkan masa depan. Mereka melakukan perkara-perkara yamg melampaui batas dan boleh menggelapkan naluri mereka, sehinggakan terjebak dalam lembah maksiat semata-mata mengejar keseronokan dan kemewahan. Pengabaian bimbingan, asuhan dan pendidikan remaja mengakibatkan kelahiran pelbagai gejala sosial seperti samseng sekolah, budaya lepak, tidak minat belajar, vandalisme, berjudi, lari dari rumah, penyalahgunaan dadah dan pil khayal, bohjan, pengguguran dan pembuangan anak, budaya punk, skinhead, black metal, lumba haram dan sebagainya.

20

8.0
8.1

KESAN BERLAKUNYA MASALAH INI


KESAN KE ATAS INDIVIDU

Masalah sosial remaja kian meruncing dan semakin ramai yang terjebak. Hal ini mendatangkan kesan ke atas individu itu sendiri. Kesan yang amat ketara dapat dilihat ialah ke atas kehidupan remaja itu sendiri. Kehidupan remaja mereka dipersiakan begitu begitu sahaja. Kadang-kadang mereka tidak sedar apa yang mereka lakukan. Masa mereka dibuang begitu sahaja tanpa melakukan aktiviti yang berfaedah. Selain itu,seseorang individu itu akan mengalami kemunduran didalam pelajaran. Hal ini berlaku apabila mereka selalu ponteng kelas sekaligus akan menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan dunia luar. Tambahan pula dunia sekarang yang penuh mencabar memungkinkan lagi remaja mudah terjebak dengan gejala sosial. Kesannya juga ialah para remaja ini sangat mudah terpengaruh dengan pelbagai kegiatan negatif kerana remaja ini memiliki sifat-sifat negatif. Remaja mudah tepesong dengan pengangan hidup mereka, jadi apabila pengaruh luar mula mendekati mereka tanpa berfikir panjang mereka mudah mengikuti gejala tersebut. Pemikiran remaja sebenarnya dipenuhi dengan keburukan jadi tidak hairan jika mereka melakukan sesuatu tindakan itu diluar kawalan mereka. Pergaulan bebas dalam kalangan remaja juga akan menimbulkan pelbagai masalah khususnya remaja perempuan yang semakin hari semakin meningkatnya masalah dalam kalangan mereka. Apa yang kita perhatikan sekarang ramai perempuan yang mengandung anak luar nikah. Hal ini demikian disebabkan

21

berlakunya hubungan seks rambang. Apabila ini berlaku maka kes pembuangan anak pula terjadi dan remaja yang lari dari rumah pun akan semakin meningkat. 8.2 KESAN KE ATAS MASYARAKAT Masalah sosial remaja memang tidak asing lagi bagi masyarakat. Masyarakat kini memandang rendah kepada golongan remaja. Hal ini demikian disebabkan sikap remaja itu sendiri yang mencorakkan identiti mereka. Masalah sosial remaja ini juga banyak mendatangkan kesan kepada masyarakat. Antara kesannya ialah kehidupan masyarakat tidak lagi aman kerana banyak kes sosial remaja seperti merompak, mencuri, meragut dan sebagainya semakin berleluasa. Jadi, masyarakat akan sentiasa bimbang akan keselamatan mereka walau berada di rumah sendiri. Masyarakat sentiasa hidup dalam ketakutan, sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga. Hal ini menimbulkan ketidakselesaan kepada masyarakat kerana mereka seolaholah tiada hak untuk hidup secara aman dan tidur dengan lena. Selain itu, kegiatan vandalisme dalam kalangan remaja juga akan menyusahkan masyarakat kerana kegiatan ini melibatkan harta benda awam. Jadi, apabila mereka melakukan kegiatan ini sekaligus akan menyusahkan orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan tersebut. Sebagai contoh apabila kebakaran berlaku orang ramai tidak dapat menghubungi bomba kerana telefon awam tidak dapat digunakan kerana gara-gara sesetngah remaja yang suka merosakkan harta benda awam. Hal ini bukan sahaja menyusahkan orang ramai malah boleh mengorbankan nyawa seseorang.

22

Kegiatan seperti merempit juga sering menimbulkan masalah kapada masyarakat kerana mereka juga menggangu masyarakat. Sebagai contohnya ialah biasanya remaja akan melakukan lumba haram pada sebelah malam jadi kebanyakan masyarakat pada masa itu sudah tidur. Apabila hal ini berlaku, masa rehat masyarakat akan terganggu oleh bunyi bising yang ditimbulkan oleh remaja tersebut. 8.3 KESAN KE ATAS NEGARA Kesan masalah sosial remaja amat ketara kepada negara kerana remaja merupakan tonggak masa depan negara. Remaja juga yang akan mencorakkan identiti dan mentadbir negara kelak. Sekiranya bukan mereka siapa lagi yang akan mengurus negara. Adakah kita hendak menyerahkan negara kita kepada orang asing? Sekiranya masalah remaja tidak dapat dibendung maka semakin hari remaja akan berkurang dan negara juga akan semakin hilang tenaga muda sama ada dalam negara ataupun dalam bidang tenaga kerja. Negara juga akan dipandang serong oleh negara lain disebabkan kelemahan dalam pentadbiran. Hal ini demikian kerana remaja yang terlibat dengan masalah sosial semakin ramai jadi tidak hairanlah sekiranya masyarakat negara lain memandang rendah pada negara kita. Kesannya juga akan merugikan negara dari segi kos perbelanjaan iaitu mengeluarkan wang untuk membaiki harta awam yang rosak. Hal ini disebabkan kegiatan vandalisme yang dilakukan para remaja. Wang banyak dihabiskan untuk membaiki barang yang rosak tetapi sekiranya hal ini tidak berlaku wang tersebut boleh disalurkan kepada yang memerlukan seperti membantu mereka yang lebih memerlukan. 23

9.0
1.

Peranan Motivasi
Motivasi Sebagai Pengarah Tuju dan Penggerak Tindakan

Perkataan MOTIVASI adalah berasal daripada perkataan Bahasa Inggeris "MOTIVATION". Perkataan asalnya ialah "MOTIVE" yang juga telah dipinjam oleh Bahasa Melayu / Bahasa Malaysia kepada MOTIF, yakni bermaksud TUJUAN. Di dalam surat khabar, kerap pemberita menulis ayat "motif pembunuhan". Perkataan motif di sini boleh kita fahami sebagai sebab atau tujuan yang mendorong sesuatu pembunuhan itu dilakukan. Oleh itu kita boleh definisikan bahawa: Motivasi adalah sesuatu yang menggerak dan mengarahtuju seseorang dalam tindakan-tindakannya sama ada secara negatif atau positif. 2. Motivasi Sebagai Pendorong

Tujuan atau motif adalah sama fungsinya dengan matlamat, wawasan, aspirasi, hasrat atau cita-cita. Jadi, wawasan, cita-cita, impian, keinginan atau keperluan seseorang itu malah bagi sesebuah negara merupakan pendorong utama yang menggerakkan usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang dihajatkan. Lebih penting sesuatu yang ingin dicapai, dimiliki, diselesaikan atau ditujui, lebih serius dan lebih kuatlah usaha seseorang, sesebuah keluarga, organisasi, masyarakat atau negara untuk mencapai apa juga matlamat yang telah ditetapkan. Jadi, dengan matlamat atau hasrat yang lebih penting atau besar, lebih kuatlah pula dorongan atau motivasi seseorang itu untuk berusaha bagi mencapai matlamatnya. Oleh itu, bolehlah kita buat kesimpulan di sini bahawa: Motivasi adalah suatu bentuk dorongan minda dan hati yang menjadi

24

penggerak utama seseorang, sesebuah keluarga atau organisasi untuk mencapai apa yang diinginkan. 3. Motivasi Sebagai Darjah Kesungguhan

Tahap kepentingan sesuatu yang seseorang ingin capai, memberi kesan terhadap tahap kesungguhannya berusaha. Sungguhpun masa untuk mencapainya agak lama, tetapi jika apa yang dihasratkan itu amat penting, ia akan terus tetap mempunyai keinginan atau kesungguhan untuk berusaha sehinggalah matlamatnya tercapai. Oleh itu, bolehlah juga kita buat kesimpulan di sini bahawa: Motivasi adalah darjah atau tahap kesungguhan dan tempoh keterusan seseorang, berusaha untuk mencapai tujuan atau matlamat. 4. Motivasi Sebagai Stimulator

Seseorang lelaki dan wanita yang sedang saling amat cinta mencintai sehingga telah berjanji untuk hidup bersama, akan berusaha dengan penuh kesungguhan untuk menjadi suami isteri walaupun menghadapi pelbagai halangan untuk berbuat demikian. Itulah sebabnya, ramai pasangan yang kita dengar pergi bernikah ke luar negara apabila ada halangan yang tidak membolehkan mereka mendapat sijil perkahwinan di dalam negara atas sebab halangan undang-undang. Seperti kata pepatah Melayu Nak Seribu Daya, Tak Nak Seribu Dalih. Di sini dapatlah kita simpulkan bahawa: Motivasi adalah stimulasi atau semangat akibat rangsangan atau keghairahan terhadap sesuatu yang benar-benar diingini. 5. Motivasi Sebagai Pemangkin Keberanian .

Apabila kita betul-betul dan benar-benar inginkan sesuatu, ketakutan atau kemalasan menjadi perkara kedua - mencapai matlamat akan menjadi perkara utama; keberanian,

25

kerajinan dan ketekunan akan timbul. Oleh itu, bolehlah kita simpulkan atau definisikan di sini bahawa: Motivasi adalah suatu mangkin yang menimbul dan menyeramakkan keinginan, keberanian dan kesungguhan untuk mencapai sesuatu matlamat mencabar yang benar-benar diingini serta diyakini boleh dicapai / perolehi.

10.0 CARA MENGATASI


10.1 Peranan ibubapa

Telah kita ketahui antara punca utama dalam penglibatan remaja dalam gejala sosial ini adalah kurangnya perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa dan keluarga. Bagi mengatasi masalah ini dari terus berpanjangan, para ibu bapa seharusnya memberi perhatian, kasih sayang dan bimbingan kepada anak-anak mereka lebih-lebih lagi pada peringkat remaja. Ini bertepatan dengan teori motivasi Maslow (1954) yang menyatakan teori motivasi melalui hierarki keperluan.

Manusia perlu memenuhi keperluan peringkat asas atau keperluan hayat atau fisiologi terlebih dahulu sebelum timbul keperluan peringkat berikutnya iaitu keperluan keselamatan. Seterusnya keperluan kasih sayang dan pada peringkat

26

berikutnya keperluan peringkat kendiri. Peringkat yang terakhir adalah sempurna kendiri. Berdasarkan teori ini kasih sayang diletakkan pada peringkat ketiga di mana memberi gambaran bahawa penghargaan dan kasih sayang sangat penting kepada manusia lebih-lebih lagi diperingkat remaja. Ini termasuklah keinginan kasih sayang dari ibu bapa atau rakan sebaya dalam kumpulannya. Sekiranya ibu bapa kurang atau tidak memberi kasih sayang yang secukupnya maka anak-anak akan mencari kasih sayang tersebut dari orang lain seperti rakan sebaya. 10.2 Peranan Sekolah

Kaunseling di sekolah memainkan peranan penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Di samping itu kaunseling juga boleh dilaksanakan sebagai penunjuk arah kerjaya yang patut dituju oleh remaja. Selain itu para guru kaunselor di sekolah-sekolah juga boleh menganjurkan "peer kaunseling" di kalangan pelajar-pelajar. Ini adalah jalan yang baik untuk membantu hubungan yang sihat di kalangan remaja dan memupuk rasa tanggungjawab di antara satu sama lain. Remaja lebih mudah meluahkan masalah mereka di kalangan rakan sebaya dengan mereka. Oleh itu program ini bermanfaat jika dirancang dengan teliti dan mengambil mereka yang berpengalaman dan mempunyai asas-asas kaunseling remaja untuk menganjurkan dan memantapkan program tersebut. Lanjutan dari itu, golongan remaja perlu dibantu dan diberi perhatian kerana masa remaja adalah zaman "pergolakan " yang amat serius. Pertumbuhan jasmani yang berlaku pada ketika baligh banyak mempengaruhijiwa, perasaan dan

27

fikiran para remaja. Ini menyebabkan mereka menghadapi banyak masalah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah dan membentuk identiti diri. Bagi strategi umum, satu pendekatan yang wajar ialah melalui ceramah- ceramah sivik yang boleh dilakukan di peringkat sekolah. Walaupun demikian, ada1ah wajar jikalau program ceramah sivik ini melibatkan ibu bapa. Sebagai contoh, pada "Hari Ibu Bapa dan Guru" yang diadakan setiap tahun, ceramah-ceramah boleh memberikan keterangan yang jelas tentang peranan ibu bapa dalam usaha mengeratkan hubungan kekeluargaan. Disamping itu pengetahuan agama harus ditekankan di dalam ceramahceramah ini kerana lazimnya pengetahuan agama akan memberi satu garispanduan bagi individu untuk bertindak. Disamping pengetahuan agama, keterangan mengenai diri dan cara-cara bersosialisasi harus disampaikan para remaja dan juga ibu-bapa. Penglibatan ibu bapa ada1ah penting supaya anak, pendidik dan ibu bapa semua berada pada gelombang persefahaman yang sama dan dapat mengeratkan lagi hubungan. 10.3 Peranan Masyarakat

Masalah jenayah pelajar bukanlah masalah pelajar, ibu bapa dan guru tetapi merupakan masalah masyarakat. Dengan itu pemimpin-pemimpin tempatan seperti penggawa, penghulu, pemimpin politik, pemimpin belia dan orang-orang yang berpengaruh perlu dihubungi untuk membantu dan bekerjasama bagi

menyelesaikan kes-kes disiplin. Penglibatan semua pihak daripada anggota masyarakat umum kepada ketua masyarakat amatlah perlu kerana masalah akhlak remaja atau pelajar merupakan masalah masyarakat. Kawalan sosial perlu 28

diwujudkan dalam kalangan penduduk dan sikap "tidak apa atau tidak ambil tahu " perlu diubah demi kepentingan masyarakat. Satu lagi aspek pencegahan yang harus diberikan perhatian ialah penglibatan remaja dalam pusat kegiatan belia di mana semua aktiviti telah dirancang dengan telitidan teratur. Dengan itu program atau aktiviti yang diadakan di pusat-pusat latihan belia remaja akan membekalkan kemahiran-kemahiran tertentu agar para remaja dapat menggunakan kemahiran demi kepentingan diri mereka. Disamping kemahiran, pusat- pusat ini juga boleh memberikan ceramahceramah, kelas-kelas bimbingan agama serta rekreasi-rekreasi sukan yang diperlukan untuk perkembangan sahsiah remaja. Seterusnya pertukaran belia antara negeri dan juga antara negara yang diadakan dapat menambahkan pengetahuan dan pengalaman para remaja. Terdapat 86 Jawatankuasa Kebajikan Juvana di seluruh negara dengan keahlian 1,009 orang. Melalui jawatankuasa-jawatankuasa ini semua kegiatan untuk membantu remaja dapat dirancang dengan sempurna dan ditingkatkan dari semasa ke semasa. Buat masa kini juga, sudah pun wujud satu jawatankuasa yang dibentuk antara Polis Di Raja Malaysia dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk memerhatikan perkembangan aktiviti-aktiviti pelajar dari masa ke semasa dan mengambil langkah-langkah yang patut sebelum pelajar-pelajar erjehak dalam apa-apa aktiviti yang menyalahi undang-undang. Namun keherkesanan jentera ini holeh dipertingkatkan lagi dengan memhuat kajian dari masa ke sama tentang aktiviti, program, serta pelaksanaannya dalam menangani masalah keruntuhan akhlak remaja.

29

11.0

PENUTUP
Melihat kepada permasalahan dan gejala sosial yang melanda para pelajar dan remaja kita pada hari ini amatlah mencemaskan. Tindakan untuk mengawalnya sudah sampai ke tahap yang dianggap terdesak. Pertaruhannya adalah masa depan negara dan generasi Malaysia. Walaupun sudah banyak kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak mengenai sikap dan tingkahlaku pelajar dan remaja tetapi kajiannya lebih bersifat tujuan akademik dan tertumpu kepada punca masalah dan biasanya bersifat umum sahaja. Di sebabkan terlalu banyak punca yang diramalkan , tindakan untuk membendung masalah tidak lagi berfokus. Ibu bapa, guru-guru, dan masyarakat perlulah berganding bahu dan bekerjasama dalam memikul tanggungjawab mendidik anak-anak dan para pelajar. Kerajaan juga

perlu melancarkan satu kempen yang menyeluruh untuk menyedarkan remaja dan pelajar supaya menghindarkan diri dalam apa jua bentuk gejala buruk yang boleh merosakkan diri dan nama baik keluarga mereka. Oleh itu segala masalah sosial yang dihadapi oleh para remaja harus dibendung dan di atasi supaya ia tidak terus mewujudkan ancaman besar terhadap aset yang tidak ternilai Masyarakat sekeliling turut perlu berkerjasama dalam usaha menangani masalah ini dengan melaporkan kes-kes ponteng sekolah di luar sekolah jika dapat dikesan. Sikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing perlu dikikis di kalangan masyarakat. Pihak kerajaan juga boleh menganjurkan ceramah dan kempen yang berkaitan dengan keburukan kegiatan ponteng sekolah di setiap sekolah. Ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam mewujudkan kesedaran dalam diri pelajar-pelajar mengenai keburukan gejala

30

ponteng sekolah kerana belakang parang diasah, lagikan tajam.

Kesimpulan,

semua pihak perlu bekerjasama dalam menangani masalah ini sebelum nasi menjadi bubur. Demi mewujudkan generasi yang lebih berguna pada masa hadapan juga, langkah drastik daripada semua pihak patut dilaksanakan. Tindakan daripada satu pihak sahaja tidak akan membuahkan hasil. Jadi, sama-sama kita berganding bahu untuk menangani masalah ini.

31

12.0 RUJUKAN
1. 2. 3. 4. 5. 6. 7. 8. 9. 10. 11. 12. Berita Harian, 22 September 1993 Berita Harian, 3 Februari 1992 Berita Harian, 12 Julai 2001 Blogspot (2009). Diperoleh pada 22 Julai 2009 daripada http://asnahhamid.blogspot.com/ Gejala Sosial (2009). Diperoleh pada Ogos 21, 2009 daripada http://www.youth.org.my/ippbm/dokumen/fb/11-Gejala_Sosial.pdf Lakaran Kata (2009). Diperoleh pada 0gos 20, 2009 daripada http://mazlan66.wordpress.com/2009/05/25/gejala-sosial-di-kalanganremaja-pada-hari-ini/ Scribd (2009). Diperoleh pada Julai 14, 2009 daripada http://www.scribd.com/doc/2359055/BAGAIMANA-MENGAPAGEJALA-SOSIAL-TERJADIScribd (2009). Diperoleh pada Julai 20, 2009 daripada http://www.scribd.com/doc/7501317/Pengertian-Masalah-Sosial-Remaja Scribd (2009). Diperoleh pada Julai 20, 2009 daripada http://www.scribd.com/doc/16989317/Masalah-sosial-di-kalangan-pelajar Utusan Malaysia, Januari 1992 Utusan Malaysia, 11 Mac 1993 Wikia Education (2009). Diperoleh pada 25 Julai 2009 daripada http://psychology.wikia.com/wiki/Abraham_Maslow

32

Das könnte Ihnen auch gefallen