Sie sind auf Seite 1von 9

BAB 1 PENGENALAN DAN LATAR BELAKANG

OBJEKTIF BAB Setelah mempelajari bab ini, anda seharusnya dapat: 1. Menjelaskan maksud kerja dan kerjaya serta berkeupayaan membezakan kedua-dua konsep tersebut. 2. Membincangkan keperluan manusia untuk bekerja dan pengaruh dalam kehidupan seseorang 3. Menghuraikan sejarah ringkas perspektif kerja dan kerjaya 4. Memahami bahawa kerjaya adalah satu pilihan yang boleh dirancang dan dibangunkan agar menepati keperluan dan kehendak individu. 1.1 PENGENALAN

Mengapakah kita bekerja? Mengapa sesetengah daripada kita begitu komited dan taksub kepada kerjaya masing-masing, dan mengapa pula sesetengah daripada kita hanya bekerja sebagai memenuhi tuntutan hidup, bekerja kerana terpaksa atau perlu bekerja dan seringkali mempamerkan sikap yang negatif terhadap kerja yang dilakukan? Apakah wujud perbezaan di antara individu yang bekerja dengan yang berkerjaya? Bolehkah kerjaya dirancang dan diuruskan agar ia berkembang mengikut keperluan dan kehendak kita? Persoalan-persoalan ini adalah antara perkara-perkara penting yang cuba dikupas di dalam kursus ini. Selain itu, kita juga akan menyentuh teoriteori pengurusan dan perkembangan kerjaya yang popular dan penting di samping faktor-faktor dalaman dan luaran yang mempengaruhi pekerja dan kerjaya. Selanjutnya, kursus ini juga akan cuba meninjau personaliti individu yang dikaitkan dengan pekerjaan dan bagaimana personaliti ini mempengaruhi pemilihan dalam pekerjaan. Sebagai persediaan ke alam pekerjaan, para pelajar juga akan didedahkan dengan beberapa maklumat berkenaan proses pencarian dan permohonan pekerjaan. Aspek kaunseling kerjaya yang mempengaruhi kepuasan kerja turut dibincangkan, di samping sedikit perbezaan tentang kerjaya dalam sektor awam dan swasta. Pada akhir kursus, beberapa isu yang penting dan
1

terkini berkenaan dengan aspek pengurusan kerjaya akan dibincangkan seperti isu wanita berkerjaya, gangguan seksual di tempat kerja, diversiti dan sebagainya lagi. Keperluan terhadap perancangan dan pengurusan kerjaya yang berkesan adalah penting kerana kita tidak dapat mengelakkan diri daripada bekerja. Kerja dan kerjaya merupakan elemen terpenting yang mempengaruhi kehidupan kerana kita menghabiskan sebahagian besar daripada kehidupan dengan bekerja. Pemilihan kerja yang tepat, perancangan yang teliti dan pengurusan yang sistematik akan menjamin kesejahteraan kerjaya individu. Satu siri kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat pada tahun 1989, 1992 dan 1995 oleh National Career Development Association (NCDA) menunjukkan bahawa hanya satu pertiga daripada pekerja kekal dalam pekerjaan mereka hasil daripada perancangan yang dilakukan (Isaacson dan Brown, 2000). Manakala baki dua pertiga lagi menceburi sesuatu bidang pekerjaan kerana peluang yang diberikan kepada mereka, akibat pengaruh orang lain dan kerana tiada pilihan lain. Kesannya hanya separuh daripada individu yang bekerja berpuas hati dengan kerja mereka. Kajian tersebut juga mendedahkan bahawa 28 peratus daripada responden yang dikaji mempunyai kecenderungan untuk menukar kerjaya mereka dalam tempoh tiga tahun. Fenomena ini akhirnya telah membawa kepada kesedaran tentang perancangan dan pengurusan kerjaya yang lebih komprehensif dan sistematik agar individu yang berkerjaya menikmati kepuasan daripada kerja yang dilakukan, seterusnya akan membawa kepada peningkatan produktiviti. 1.2 DEFINISI KERJA DAN KERJAYA

Sebelum kita merancang dan mengurus kerjaya, kita mesti memahami terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan kerja. Adakah setiap orang yang bekerja dikatakan berkerjaya? Reardon, Lenz, Sampson dan Peterson (2000) cuba membezakan maksud kerja dan kerjaya. Mereka mendefiniskan kerja sebagai satu jawatan berbayar yang dipegang oleh seseorang dalam sesebuah organisasi. Kerja mungkin mengandungi satu atau sekumpulan orang yang menjawat jawatan berbayar yang sama. Kerja bersifat hasil tugas (task-outcome) dan berorientasikan organisasi. Berbanding dengan kerja, kerjaya merangkumi definisi yang unik dan mencakupi ruang lingkup yang lebih luas. Bryne dan Beavers (1991) mendefinisikan kerjaya sebagai kehidupan kerja profesionalisme yang meliputi pengembangan dan kemajuan. Super (1976) pula menyatakan bahawa kerjaya adalah tuntutan jawatan-jawatan yang disandang oleh seseorang sepanjang hidupnya sama ada sebelum bekerja (preoccupational
2

life), semasa bekerja (occupational life) dan setelah tamat bekerja (post occupational life) termasuklah peranan berkaitan kerja sebagai pelajar, pekerja, pesara, dan sebagainya. Ini bererti kerjaya adalah kepelbagaian peranan berkaitan pekerjaan yang dilalui oleh seseorang sepanjang hidupnya (Patton dan McMahon, 1999). Kerjaya bukanlah sesuatu yang berlaku hasil daripada sesuatu peristiwa atau pilihan tetapi, ia adalah satu proses yang berlaku sepanjang hidup dan melibatkan pertimbangan kos dan risiko. Ini kerana kerjaya bukan sahaja mempunyai makna serta tujuan malah ia adalah satu aktiviti yang menghasilkan sesuatu yang berharga dan ia berinteraksi dengan hidup kita (Isaacson dan Brown, 2000). Oleh itu, di dalam berkerjaya kita tidak boleh mengabaikan aspek pembangunan. Pembinaan dan pembangunan kerjaya yang lebih mantap akan membawa kepada peningkatan kualiti dan taraf hidup secara langsung. Brown dan Brooks (1990) menjelaskan bahawa pembangunan dan pengembangan kerjaya adalah proses sepanjang hayat yang melibatkan pemilihan berterusan daripada pelbagai jenis pekerjaan yang ada. Penjelasan ini selaras dengan definisi yang diberikan oleh Pryor (1985) yang mengaitkan pembangunan kerjaya dengan satu proses pembuatan keputusan secara berterusan tentang pilihan kerjaya (career choice) (Patton dan McMahon, 1999). Definisi yang lebih luas diberikan oleh Sears (1982) yang menerangkan bahawa pembangunan kerjaya adalah keseluruhan faktor-faktor psikologikal, sosiologikal, pendidikan, fizikal, ekonomi, dan peluang yang bergabung untuk membentuk kerjaya seseorang individu sepanjang hayatnya (Reardon, Lenz, Sampson dan Peterson, 2000). SOALAN DALAM TEKS 1.1

1. Nyatakan maksud kerja dan kerjaya. 2. Bagaimanakah kerja dikatakan berbeza dengan kerjaya? Semak jawapan anda di akhir bab ini.

1.3

KEPERLUAN TERHADAP PEKERJAAN

Kita telah mengetahui apa yang dimaksudkan dengan kerja dan bagaimana ia berbeza dengan kerjaya. Lanjutan daripada itu juga, kita
3

mengetahui bahawa kerjaya individu boleh dirancang dan dibangunkan agar menjurus kepada kehendak dan keperluan individu terbabit. Lazimnya, keperluan dan kehendak adalah berkaitan dengan alasanalasan mengapa seseorang itu bekerja. Isaacson dan Brown (2000) memberikan beberapa faktor yang mendorong seseorang itu bekerja. Antara faktor-faktor yang dikenal pasti antaranya ialah (i) Keperluan hidup; (ii) Interaksi dan hubungan dengan komuniti; (iii) Kehendak kepada status; dan (iv) Membentuk dan meningkatkan self-esteem. Sekarang, sama-sama kita bincangkan faktor-faktor diatas dengan lebih jelas lagi. 1. Keperluan Hidup

Dengan bekerja individu akan memperolehi pendapatan atau hasil untuk menyara kehidupan sekurang-kurangnya sehingga memenuhi keperluan asas. Faktor ini adalah faktor utama yang mendorong individu menceburi sesuatu bidang pekerjaan walaupun kerja yang dilakukan bukan menjadi pilihan mereka. Faktor untuk memenuhi keperluan ini semakin mendesak sekarang kerana keperluan individu semakin bertambah dari sehari ke sehari selaras dengan perubahan zaman. Suatu waktu dahulu, keperluan asas hanya terhad kepada makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Manakala benda-benda lain seperti telefon dan kereta dianggap satu kehendak. Namun begitu, senario ini telah berubah sekarang. Keperluan asas tidak lagi terhad kepada tiga elemen tersebut, tetapi merangkumi aspek yang lebih luas seperti pendidikan dan kemudahan kesihatan, manakala barangan yang dahulunya satu kehendak seperti telefon dan kereta merupakan satu keperluan pada masa sekarang. 2. Interaksi dan Hubungan dengan Komuniti

Selain itu faktor interaksi dan hubungan dengan komuniti juga turut mendorong seseorang bekerja. Kita hidup di dalam kelompok sosial yang saling berhubungan dan berinteraksi di antara satu sama lain. Hubungan dan interaksi ini akan mewujudkan satu bentuk pergantungan di antara manusia yang saling memerlukan. Ini selaras dengan Teori Fungsional yang diterokai oleh tokoh-tokoh seperti Auguste Comte, Herbert Spencer, dan Emile Durkheim. Mereka mencetuskan idea yang menerangkan bahawa masyarakat terdiri daripada satu sistem yang merangkumi benda, bahan, dan manusia yang seterusnya membentuk keseluruhan masyarakat. Kesemua bahagian ini adalah saling berkait dan bantu membantu di antara satu sama lain (Sharifah Sofiah Atikah, 2000). Begitu juga dengan Teori Hirarki Keperluan yang diasaskan oleh
4

Abraham Maslow. Beliau meletakkan keperluan sosial, iaitu keperluan untuk berhubungan dengan manusia lain di tahap yang ketiga dalam piramid keperluannya. Apabila bekerja seseorang itu berpeluang untuk berhubungan dan berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat secara langsung ataupun tidak langsung. 3. Kehendak kepada Status

Faktor ketiga dikaitkan dengan kehendak kepada status, pencapaian dan pengiktirafan. Hodgetts (2002) menerangkan bahawa jawatan yang dipegang dan kerja yang dilakukan boleh mempengaruhi kedudukan dan status seseorang. Contohnya Presiden sesebuah organisasi mempunyai status yang lebih tinggi daripada Naib Presiden. Begitu juga dengan kerja yang dilakukan. Individu yang menceburi bidang yang jarang diceburi oleh orang lain atau melakukan kerja yang dikategorikan sebagai profesional seperti doktor, akauntan, dan peguam dikatakan mempunyai status yang lebih tinggi daripada individu yang menceburi bidang-bidang lazim seperti guru dan pegawai pentadbiran. 4. Membentuk dan Meningkatkan Self-Esteem

Selain itu, dengan bekerja juga seseorang itu dapat membentuk dan seterusnya meningkatkan self-esteem. Kerja dikatakan akan menghasilkan satu bentuk produk psikologi seperti semangat dan keyakinan diri yang akan membantu individu membangunkan dirinya. Ini kerana individu yang bekerja melibatkan diri mereka dengan aktiviti-aktiviti tertentu untuk menghasilkan sesuatu yang bernilai dan menjadi keperluan atau kegunaan individu lain. Isaacson dan Brown (2000) mengatakan bahawa wujudnya perhubungan di antara self-esteem dan pekerjaan yang diceburi. Menurut mereka, kepuasan yang terhasil daripada kerja yang dilakukan adalah penentu penting di dalam kepuasan hidup individu secara keseluruhan. SOALAN DALAM TEKS 1.2

1. Nyatakan tiga sebab atau faktor yang mendorong seseorang itu bekerja. 2. Apakah yang dikatakan dengan produk yang bersifat psikologi dan nyatakan contoh? Semak jawapan anda di akhir bab ini.
5

1.4

LATAR BELAKANG PERSPEKTIF KERJAYA

Sebelum kita meneroka dengan lebih jauh tentang teori-teori dan aspekaspek pembangunan kerjaya, lebih baik jika kita meninjau sepintas lalu tentang latar belakang dan sejarah ringkas perspektif kerjaya. Dari manakah datangnya idea tentang kerjaya? Apakah desakan dan faktorfaktor yang mendorong kepada pemikiran berkenaan pemilihan dan pembangunan kerjaya? Reardon, Lenz, Sampson dan Peterson (2000) menerangkan bahawa kemunculan konsep-konsep berkaitan kerjaya adalah agak baru dari segi sejarahnya. Sebelum abad ke 20, aspek pemilihan kerjaya bukan sahaja tidak penting malah tidak menjadi satu keperluan dan amalan kepada individu yang bekerja. Manusia bekerja untuk memenuhi tuntutan hidup dan tidak begitu cerewet tentang pemilihan kerja yang bersesuaian dengan kehendak dan minat mereka. Kebanyakan manusia pada masa tersebut mewarisi sesuatu pekerjaan daripada bapa dan nenek moyang mereka. Di negara kita misalnya, jawatan penghulu pada zaman dahulu diwarisi secara turun temurun. Begitu juga dengan lain-lain pekerjaan seperti nelayan, petani, dan peniaga. Jawatan yang disandang dan pekerjaan yang dilakukan lazimnya merupakan hasil peninggalan ibu bapa dan anak-anak tidak mempunyai pilihan untuk menceburi sesuatu bidang yang berlainan. Dengan kata lain, tidak wujud ungkapan seperti pemilihan kerjaya, sebaliknya kerjaya seseorang pada masa tersebut seolah-olah telah ditentukan dan secara automatik dilahirkan ke dalam bidang tersebut. Walau bagaimanapun, situasi ini berubah selaras dengan perubahan zaman khususnya melalui desakan luaran yang dibawa oleh Revolusi Industri. Revolusi Industri bukan sahaja telah mengubah corak ekonomi negara-negara besar dunia, tetapi juga turut membawa kesan-kesan lain yang mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang tidak pernah diketahui sebelum ini. Perkembangan sektor perindustrian telah diikuti dengan pembangunan infrastruktur-infrastuktur khususnya sistem pengangkutan seperti jalan raya dan jalan keretapi di samping perkembangan sistem perbankan, pembinaan, automobil, perkapalan, pembungkusan, dan sebagainya. Peluang-peluang pekerjaan yang baru dan banyak ini telah menarik ramai pekerja dari sektor perladangan dan kawasan luar bandar untuk menceburi alam pekerjaan yang selama ini tidak pernah wujud di kalangan generasi sebelumnya. Tambahan pula terdapat banyak pilihan untuk mereka dan peluang untuk meningkatkan taraf hidup adalah cerah. Kebebasan dan perubahan dalam sistem ekonomi negara-negara maju terutamanya, menyebabkan berlakunya penghijrahan penduduk dunia
6

untuk mengumpul kekayaan dan menikmati taraf hidup yang lebih baik. Pada awal abad ke 19, ribuan penduduk Eropah berhijrah ke Amerika untuk menikmati peluang-peluang ini. Mereka menceburi pelbagai bidang dan menjalankan pelbagai aktiviti, memulakan perniagaan serta membangunkan kemahiran-kemahiran baru. Bermula dari sini, didapati bahawa idea tentang pilihan kerjaya (career choice) mula timbul secara tidak langsung. Daripada sini juga munculnya keperluan untuk merancang dan mengurus kerjaya agar ia dapat dibangunkan dengan lebih efektif dan menepati kehendak individu. Sungguhpun begitu, terdapat juga kesan negatif daripada penghijrahan dan perkembangan tersebut. Beberapa masalah lain muncul seperti pengeksploitasian kanak-kanak dan imigran yang baru serta peningkatan dalam bilangan kanak-kanak yang berhenti sekolah untuk bekerja di kilang-kilang. Malahan di sesetengah bandar kadar keciciran pelajar sekolah mencapai 90 peratus (Reardon, Lenz, Sampson dan Peterson, 2000). Lanjutan daripada itu, beberapa undang-undang digubal oleh kerajaan untuk melindungi keselamatan dan kepentingan kanak-kanak termasuklah dalam aspek pendidikan. Para pekerja juga dibenarkan menyertai Kesatuan Sekerja dan beberapa aspek lain berkenaan persekitaran kerja yang selamat mula dimandatkan. Ekoran daripada perhatian terhadap kepentingan pekerja, sebuah Biro Pekerjaan (Vocations Bureau) telah ditubuhkan oleh Frank Parsons pada tahun 1908 di Boston, Amerika Syarikat. Penubuhan biro ini pada awalnya adalah untuk membantu golongan remaja dan pencari-pencari kerja memilih pekerjaan yang bersesuaian dengan mereka. Antaranya adalah memberikan garis panduan kepada pencari-pencari kerja, terutamanya golongan imigran dengan memadankan ciri-ciri peribadi mereka dengan pekerjaan yang bersesuaian. Ini dikatakan satu permulaan kepada proses kaunseling kerjaya yang ada sekarang. Frank Parsons di dalam programnya menjelaskan tiga langkah yang perlu diberi perhatian untuk membuat pemilihan pekerjaan yang bijak, iaitu (i) Membuat penilaian terhadap diri sendiri secara teliti dari segi minat, kemahiran, nilai, matlamat, latar belakang dan sumber-sumber yang ada; (ii) Kajian terhadap semua pilihan atau peluang yang ada untuk mendapatkan pendidikan, latihan-latihan atau kemahiran tambahan serta pekerjaan; dan (iii) Alasan atau sebab yang kukuh mengapa seseorang itu membuat sesuatu pilihan berdasarkan maklumatmaklumat dalam dua langkah di atas. (Reardon, Lenz, Sampson dan Peterson, 2000)
7

Idea Parsons tentang tiga langkah tersebut menjadi asas kepada pemikiran berkenaan pemilihan kerjaya sehingga hari ini selaras dengan definisi kerjaya yang merangkumi satu proses pemilihan dan pembangunan yang berterusan dan berlaku sepanjang hidup. SOALAN DALAM TEKS 1.3

1. Apakah yang telah mengubah cara seseorang menceburi bidang pekerjaan menjelang abad ke 20? 2. Nyatakan garis panduan penting yang diberikan oleh Frank Parsons kepada individu-individu yang ingin bekerja. Semak jawapan anda di akhir bab ini. 1.5 KESIMPULAN

Secara ringkasnya kita boleh simpulkan bahawa kerjaya melibatkan satu proses perancangan yang berterusan terhadap kerja dan tugas-tugas yang dilakukan sepanjang hidup kita. Oleh kerana kerjaya boleh mempengaruhi sebahagian besar corak kehidupan seseorang maka kita perlu merancang dan menguruskan kerjaya dengan sistematik sejak dari awal sebelum menceburi sesuatu bidang kerja sehinggalah setelah bekerja. Ini bererti perancangan kerjaya bermula dari tahap persediaan yang melibatkan proses pendidikan dan pembinaan kualiti diri sehinggalah peringkat pemilihan pekerjaan yang bersesuaian dengan karakteristik individu dan selanjutnya peringkat pembangunan atau perkembangan kerjaya yang diceburi. Tahap-tahap ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam bab-bab yang seterusnya.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. 2.

Bolehkan kerjaya dirancang dan diuruskan agar menepati kehendak dan keperluan kita? Bagaimana? Bagaimanakah kerjaya dikatakan dapat meningkatkan status seseorang?
8

3.

Terangkan fenomena pilihan kerjaya sebelum abad ke 20. Adakah perubahan yang berlaku menjelang abad ke 20 memberikan peluang yang lebih luas kepada individu untuk mengembangkan kerjayanya? Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS SDT 1.1 1. Kerja adalah satu jawatan berbayar yang disandang oleh seseorang dan ia memerlukan ciri-ciri yang spesifik dan berorientasikan tugas (task- outcome). Kerja lazimnya tidak melibatkan aspek-aspek pemilihan dan pembangunan yang berterusan manakala kerjaya merangkumi ruang lingkup yang lebih luas kerana ia berlaku secara berterusan dan melibatkan keseluruhan hidup individu. Ini bererti individu boleh memilih, merancang dan menguruskan kerjayanya mengikut kehendak dan keperluan diri sendiri. SDT 1.2 1. a) b) c) Untuk memenuhi tuntutan atau keperluan hidup Untuk bersosial atau berinteraksi dengan masyarakat Untuk mendapatkan status dan pengiktirafan

2.

2.

Ia adalah perasaan dalaman individu yang tidak dapat dilihat tetapi dapat mempengaruhi kepuasan dan emosi seperti keyakinan diri, self-esteem dan self-acceptance. SDT 1.3

1. 2.

Berlakunya Revolusi Industri menjelang abad ke-18. Pemilihan pekerjaan haruslah bersesuaian dan sepadan dengan minat dan ciri-ciri individu.

Das könnte Ihnen auch gefallen