Sie sind auf Seite 1von 12

Tabu dalam bahasa: Sebab kewujudannya Oleh: Aswiza Awang Bahasa merupakan sistem atau alat komunikasi yang

amat penting bagi manusia dalam perhubungan sehari-hari. Menurut Asmah Haji Omar, bahasa yang digunakan merupakan sistem lambang yang mengaitkan maksud atau fikiran manusia dengan sesuatu benda yang konkrit ataupun sesuatu yang abstrak, supaya demikian pengguna bahasa dapat memahami sesuatu benda yang diperkatakan itu. Bahasa merupakan suatu unsur yang dinamik, yakni sentiasa berubah-ubah mengikut situasi dan zaman atau perkembangan semasa. Oleh hal yang demikian, menurut S. Nathesan, bahasa sentiasa dianalisis dan didekati dengan menggunakan pelbagai pendekatan untuk mengkajinya. Antara pendekatan yang dapat digunakan untuk mengkaji bahasa ialah pendekatan makna. Bidang makna atau semantik merupakan sebahagian daripada ilmu linguistik yang tidak akan sempurna jika tidak ada kajian makna. Salah satu bidang makna yang dikaji ialah unsur tabu yang terdapat dalam bahasa. Masyarakat Melayu kaya dengan adat dan budaya Timur menjadi pegangan sejak dahulu. Adat, adab, dan budaya yang menjadi tradisi dalam masyarakat ini bukan sahaja menjadi ikutan, malah turut melingkungi masyarakat sebagai peraturan bersama dalam perhubungan sehari-hari. Kebersamaan dalam masyarakat inilah yang menyebabkan wujudnya peraturan-peraturan tertentu yang berunsur tabu yang menjadi suatu pegangan oleh seluruh anggota masyarakat agar adat, adab, dan budaya yang dijunjung itu terjaga. Tabu merupakan suatu strategi kesantunan yang melibatkan aspek kebahasaan supaya kesopanan, adat, dan adab yang dijunjung dalam masyarakat Melayu itu dapat dipatuhi bersama oleh setiap anggota masyarakat. Aspek kesantunan yang berunsur tabu ini merangkumi perkataan-perkataan tertentu dalam bahasa Melayu yang tidak boleh sewenang-wenangnya diucapkan dalam situasi tertentu. Sebahagian daripada kajian makna atau semantik yang dikaji ialah tabu dalam bahasa. Kata tabu seperti yang dinyatakan dalamKamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sesuatu yang dilarang, pantang larang atau yang dilarang atau ditegah daripada dipercakapkan. Mengikut Tesaurus Linguistik Bahasa Melayu, tabu ialah suatu keadaan untuk mengelakkan penggunaan kata yang tidak sopan atau dilarang. Apabila dikaitkan dengan bahasa, tabu ialah suatu keadaan yang menjadi sempadan atau sekatan kepada anggota masyarakat agar mereka tidak menggunakan bahasa atau perkataan tertentu dengan sewenangwenangnya. Walaupun bahasa merupakan sesuatu yang arbitrari, ada sesetengah perkara yang tidak boleh dibicarakan secara terbuka dan terang-terangan, terutamanya di khalayak. Menurut Teo Kok Seong, topik-topik yang sering dianggap tabu dalam masyarakat Melayu antaranya hal-hal yang berkaitan seks, fungsi badan tertentu, anggota badan tertentu, urusan hamil serta bersalin, dan najis. Selain itu, masyarakat Melayu juga sangat sensitif dengan hal-hal yang berkaitan dengan adat dan kepercayaan. MENGAPA TABU WUJUD? Tabu dalam bahasa wujud disebabkan oleh beberapa faktor. Faktor-faktor tersebut merangkumi faktor yang berkaitan dengan latar belakang masyarakat itu sendiri. Antaranya adalah seperti berikut:

(a)

Adat dan Kepercayaan

Masyarakat Melayu memiliki khazanah adat dan kebudayaan yang begitu tinggi. Adat dan budaya yang dipegang oleh masyarakat Melayu memainkan peranan penting dalam kehidupan sehari-hari. Hal-hal inilah yang menjadi panduan dalam dalam kehidupan mereka sejak dahulu. Asmah Haji Omar dalam Susur Galur

Bahasa Melayu mengatakan bahawa orang-orang Melayu sebelum memeluk agama Hindu dan
kemudiannya Islam, percaya pada semangat, baik pada makhluk bernyawa mahupun tak bernyawa seperti pokok-pokok, kayu-kayu besar, batu, dan sebagainya. Masyarakat Melayu menganggap benda-benda itu mempunyai semangat atau jiwa yang boleh mempengaruhi mereka. Oleh itu, perlakuan terhadap bendabenda itu hendaklah secara sopan santun. Bagi masyarakat Melayu, perlakuan yang tidak sopan dan kasar, sama ada dalam bentuk perbuatan atau percakapan akan memberi kemudaratan kepada orang yang berkenaan. Oleh hal yang demikian, segala perkara yang berkaitan dengan perkara tersebut dianggap tabu oleh masyarakat Melayu. Oleh sebab ada larangan tertentu yang telah ditetapkan oleh masyarakat dalam berbahasa tentang perkara-perkara yang berkenaan, maka ungkapan-ungkapan yang dianggap tabu telah digantikan dengan istilah lain yang dianggap lebih sopan dan manis didengar. Untuk menjaga hati semangat yang ada pada benda-benda tersebut, masyarakat Melayu menggantikan perkataan tertentu yang dianggap tabu dengan perkataan lain yang lebih halus sifat atau lebih tersembunyi maksudnya. Sebagai contoh, kata datuk ataunenek digunakan apabila seseorang melalui tempat tertentu yang dipercayainya wujud penunggu atau hantu. Kata datuk ataunenek tersebut merujuk pada penunggu atau hantu yang dipercayainya tinggal di tempat tersebut. Penggantian kata tersebut untuk menunjukkan bahawa orang yang menyebutnya sangat menghormati penunggu itu dan berharap agar mereka tidak diganggu dan memberi kemudaratan kepadanya. Kata datuk dalam maksud dan keadaan biasa merujuk kepada bapa kepada ayah atau ibu seseorang. (Kamus Dewan Edisi Keempat), manakala kata nenek pula bermaksud orang tua kepada emak atau ayah. Umumnya, kata tersebut juga merupakan panggilan seseorang kepada bapa kepada ayah atau ibunya. Begitu juga dengan katanenek. Datuk dan nenek merupakan kedudukan ahli keluarga yang sangat dihormat. Kedudukan tersebut membuatkan seseorang yang bergelar datuk atau nenek sangat dihormati oleh cucu-cucunya sebagai orang yang lebih tua. Oleh sebab itulah kata datukatau nenek digunakan untuk merujuk hantu atau penunggu yang dipercayai itu kerana mereka perlu dihormati sama seperti datuk atau nenek seseorang. Dari segi adat, unsur tabu turut memainkan peranan penting dalam menjaga tradisi yang turunkan oleh warisan terdahulu, terutama dalam konteks perhubungan sosial. Sebagai contoh, apabila ada kematian anggota masyarakat, perkataan mati sama sekali tidak boleh digunakan bagi merujuk perihal kematian tersebut. Sebaliknya, masyarakat Melayu lebih selesa menyebut meninggal dunia, atau dalam konteks lain kembali ke rahmatullah. Begitu juga apabila merujuk pada orang yang meninggal dunia, kata mayat juga dianggap tidak sopan disebut, tetapi digantikan dengan jenazah. Jika dilihat dari sudut makna, kata mati bersinonim denganmeninggal

dunia,

begitu

juga

kata mayat yang

bersinonim

dengan jenazah. Bagaimanapun, hal ini berbeza jika dilihat dari sudut adat dan kesopanan dalam

masyarakat Melayu. Fenomena inilah yang dikatakan sebagai tabu kerana adanya larangan tersebut dalam masyarakat yang menjunjung adat tersebut. (b) Takut

Selain unsur ghaib, masyarakat Melayu juga percaya akan kekuatan semangat binatang liar. Binatang yang biasa menjadi ketakutan masyarakat Melayu adalah seperti harimau, gajah, buaya, babi hutan, ular, dan tikus. Binatang-binatang ini dianggap boleh memberi kemudaratan kepada manusia sekiranya bertembung di hutan. Kehidupan masyarakat Melayu dahulu sangat bergantung kepada hutan kerana hutan memberikan pelbagai sumber rezeki. Oleh hal yang demikian, mereka sering masuk ke hutan untuk mendapatkan pelbagai sumbernya seperti rotan, madu, umbut, damar, dan sebagainya. Oleh itu, seboleh mungkin mereka tidak mahu bertembung dengan binatang-binatang tersebut kerana mungkin akan mendatangkan bahaya dan kemudaratan. Masyarakat Melayu juga percaya bahawa sekiranya nama binatang seperti harimau, gajah atau babi hutan disebut dengan lafaz namanya yang sebenar, mereka akan bertembung dengan binatang tersebut, dan mungkin akan mengganggu atau membawa kemudaratan kepadanya. Selain itu, masyarakat Melayu juga percaya sekiranya binatang-binatang tersebut dicabar, dimarahi atau dikeji dengan kata-kata nista, orang tersebut akan ditimpa musibah yang teruk. Sebagai contoh, jika seseorang itu menyumpah atau berkata sesuatu yang tidak baik terhadap babi hutan atau tikus yang merosakkan tanamannya, nescaya tanamannya akan dimusnahkan sama sekali oleh segerombolan babi hutan atau tikus yang dinista itu. Begitu juga sekiranya seseorang itu mencabar kekuatan dan kewibawaan gajah dan harimau, mereka mungkin akan bertembung dengan haiwan tersebut. Untuk mengelakkan perkara tersebut daripada berlaku, nama binatang tersebut digantikan dengan sebutan lain seperti berikut:

Nama haiwan

Nama gantian

Harimau

Pak Belang

Gajah

orang besar

Ular

akar

Buaya

batang hanyut

Tikus

Cik Siti

Kata Pak Belang bagi menggantikan harimau digunakan merujuk belang yang terdapat pada badannya. Dengan demikian, kataharimau tidak lagi disebut, terutamanya semasa berada di dalam hutan kerana jika disebut, seolah-olah orang yang menyebutnya memanggil harimau tersebut. Begitu juga dengan kata orang besar yang menggantikan kata gajah. Istilah orang besar merujuk sifat gajah yang besar

badannya. Istilah tersebut juga memberi perlambangan bahawa orang yang menyebutnya menghormati gajah yang besar dan kuat yang boleh memusnahkan tananan dan nyawa manusia. Kata akar bagi menggantikan ular pula merujuk sifat ular yang menjalar seperti akar pokok. Begitulah kebijaksanaan orang Melayu dalam penciptaan istilah baharu bagi menggantikan nama haiwan yang ditakutinya. (c) Unsur seks/lucah/fungsi badan

Masyarakat Melayu ialah masyarakat timur yang masih tebal dengan adat dan budaya yang tinggi nilai moralnya. Tambahan pula, sejak kedatangan Islam sejak abad ke-13, ajaran yang diterapkan oleh Islam yang berkaitan dengan moral dan akhlak sangat menepati dengan sifat masyarakat Melayu yang lemah lembut dan sangat mementingkan soal maruah dan harga diri. Oleh hal yang demikian, soal yang berkaitan dengan tubuh badan, terutamanya yang berkaitan dengan golongan wanita serta hal rumahtangga dianggap tabu oleh masyarakat Melayu. Kata-kata yang berkaitan yang dianggap tabu tersebut digantikan dengan perkataan lain yang dianggap lebih sopan dan halus. Senarai perkataan tersebut adalah seperti berikut:

Kata tabu

Kata gantian

Pantat Butuh
kemaluan

Puki

Burit jubur/dubur Kopek


buah dada/payudara

punggung

Tetek Haid Bersetubuh Mengandung

datang bulan, datang kotor

hubungan kelamin

hamil/berbadan dua

Selain itu, hal-hal yang berkaitan dengan fungsi badan manusia, seperti berak, kencing, tahi, dan kentut juga dianggap tabu oleh masyarakat Melayu. Kata-kata tersebut dianggap kotor dan kasar.

Oleh hal yang demikian, kata-kata tersebut digantikan dengan kata yang lebih sopan, iaitu buang air

besar/ke sungai besar, buang air kecil/ke sungai kecil, najis, dan buang angin. Pemilihan kata tersebut
disebabkan maknanya masih lagi berkonotasi dengan kata asalnya walaupun pada asasnya kata tersebut mempunyai makna yang lain. Kata buang

air

besar/ke

sungai

besar,

misalnya

merujuk

perbuatan berak secara tidak langsung dan tidak berterus-terang. Begitu juga dengan kata buang

angin yang sebenarnya berkonotasi dengan perbuatan membuang angin perut melalui saluran dubur.
Perbuatan tersebut walaupun lumrah bagi manusia, tetapi tidak sopan bagi masyarakat Melayu sekiranya disebut dengan perkataan kentut kerana dianggap sangat kasar dan tidak berbudi bahasa. Oleh sebab itu, kata tersebut digantikan supaya menjadi lebih sopan dan halus budi pekerti bagi orang yang menyebutnya. Ironinya, kewujudan tabu dalam bahasa membawa natijah yang cukup baik dalam perkembangan bahasa dan budaya Melayu. Secara tidak langsung, unsur kesantunan dalam berbahasa atau eufemisme turut berkembang dalam masyarakat. Menurut Teo Kok Seong,eufemisme ialah perkataan atau frasa yang lebih sopan dan halus sifatnya untuk menggantikan perkataan atau frasa yang sudah pun dianggap sebagai kasar dan keji. Eufemisme atau kesantunan merupakan suatu keadaan yang wujud apabila seseorang itu mencuba untuk tidak menjadikan bahasa atau perbuatan yang dituturkan atau dilakukannya dianggap tidak sopan atau melanggar konsep tabu yang telah ditetapkan oleh masyarakat. Oleh hal yang demikian, kata tahi, kencing, dan berak tersebut digantikan dengan kata lain yang dianggap lebih sopan, seperti najis, buang air kecil, dan buang air besar. Oleh sebab masyarakat Melayu menganggap kata-kata tersebut berupa kata yang dilarang penggunaannya secara langsung, maka wujudlah unsur eufemisme atau kesantunan dalam berbahasa. Eufemisme atau kesantunan merupakan suatu keadaan yang wujud apabila seseorang itu mencuba untuk tidak menjadikan bahasa atau perbuatan yang dituturkan atau dilakukannya dianggap tidak sopan atau melanggar konsep tabu yang telah ditetapkan oleh masyarakat. Keadaan ini wujud kerana selepas kedatangan Islam, bangsa Melayu begitu mementingkan adab sopan seperti yang diajarkan dalam Islam. Akhlak yang terpuji seperti yang diajarkan oleh Rasulullah (S.A.W) begitu mempengaruhi masyarakat Melayu Islam, bukan sahaja dalam perbuatan, justeru dalam pertuturan harian. Hal inilah yang membudaya dalam masyarakat Melayu sehingga wujudnya konsep kesantunan atau eufimisme bagi menutup hal-hal yang tabu tersebut. Hal ini demikian kerana, dalam masyarakat Melayu, seseorang yang menggunakan kata-kata yang dianggap tabu bukan sahaja dianggap tidak beradab tetapi juga boleh menyinggung perasaan orang yang berkenaan. Sebagai contoh, hal-hal yang berkaitan dengan wanita, seperti haid,

mengandung,

tetek atau kopek dianggap tabu oleh masyarakat Melayu. Kata-kata ini dianggap sebagai kata-kata yang
tidak manis atau mengandungi unsur lucah, lebih-lebih lagi apabila diucapkan oleh seseorang lelaki di hadapan seorang perempuan. Oleh hal yang demikian, kata-kata tersebut digantikan dengan kata-kata seperti yang telah dijelaskan sebelumnya. Hal yang demikian kerana, seseorang yang mengucapkan katakata yang dianggap tabu boleh dianggap sebagai orang yang tidak sopan atau tidak tahu adab dan budi bahasa. Bangsa Melayu sememangnya terkenal sebagai bangsa yang mementingkan budi bahasa yang tinggi. Oleh hal yang demikian, untuk mengelakkan seseorang itu dikatakan sebagai orang yang tidak

berbudi bahasa atau bermulut celupar, sesuatu perkataan yang dikatakan tabu akan dijelaskan dengan panjang lebar melalui kata-kata atau ayat yang berlapis atau berkias. Bentuk kiasan inilah yang merupakan sirkumlokusi yang digunakan sebagai pelarian supaya kata yang menjadi tabu tersebut tidak disebut secara terang-terangan. Suatu hal yang menarik dalam membicarakan soal kata-kata yang berunsur tabu ialah sesetengah kata tersebut tidak dianggap tabu dalam situasi tertentu. Walaupun pada asasnya semua kata yang dianggap tabu dilarang penggunaannya dalam percakapan, tetapi larangan tersebut adalah terbatas dalam situasi yang tertentu sahaja. Larangan atau sekatan penggunaan kata-kata yang dianggap tabu hanya meliputi aspek rujukan khusus bagi makna asal perkataan tersebut untuk yang sahaja, misalnya, makna dari kata tahi, asalnya, atau

kencing, dan berak.Sekiranya


iaitu tahi merujuk pada

kata-kata atau

tersebut sisa

diucapkan

merujuk keluar

hampas

buangan

manusia

dubur,

perbuatan kencing dan berak yang dilakukan oleh manusia, kata-kata tersebut dianggap tabu. Walau bagaimanapun, kata-kata tersebut tidak lagi dianggap tabu sekiranya digunakan dalam bentuk nama sesuatu benda atau penyakit atau sifat sesuatu yang berbentuk kiasan. Contohnya, kata majmuk kiasan tahi lalat yang merujuk bintik hitam yang ada pada kulit manusia atau tahi itik, sejenis kuih tradisional di negeri Kelantan. Suatu kejanggalan dalam masyarakat sekiranya kata tersebut ditukar menjadi najis lalat atau najis itik bagi merujuk hal yang sama. Kata kencing malam atau kencing

manis yang merujuk sejenis penyakit yang dihidapi manusia juga tidak dianggap tabu, malah orang yang
menyebutnya juga tidak berasa segan dan bersalah. Orang yang mendengarnya juga tidak akan tersinggung dan menganggap orang yang mengucapkannya sebagai tidak sopan. Hal yang demikian kerana, orang yang mendengarnya memahami bahawa kata yang diucapkan itu merujuk nama penyakit, bukannya perbuatan kencing itu. Begitu juga dengan bentuk peribahasa Melayu yang berbentuk kiasan, seperti macam cicak berak kapur, dan guru kencing berdiri murid kencing berlari. Kata berak dan kencing yang disebut dalam peribahasa tersebut tidak dianggap tabu. Menurut Teo Kok Seong, hal ini berlaku kerana sesuatu perkataan atau ungkapan yang menjadi tabu itu dilarang penggunaannya pada topik dan ranah (bidang) tertentu sahaja. Ungkapan tabu juga tidak akan dianggap tabu sekiranya penggunaannya merujuk pada binatang. Hal ini demikian kerana, sesuatu yang dianggap tabu itu hanya berlaku sekiranya ia melibatkan hal-hal yang berkaitan dengan manusia sahaja, lebih-lebih lagi yang merujuk kaum wanita. Sebagaimana yang diungkapkan oleh Teo Kok Seong, tidak betul, tidak perlu, dan amat janggal dari segi sistem bahasa Melayu apabila kita melafazkan atau menulis ungkapan sesopan ini Kucing jiran sebelah selalu buang air

besar di halaman rumah saya. Hal ini bermaksud, walaupun seseorang itu ingin bersikap sopan,
penggunaanbuang air besar yang digunakan bagi merujuk perbuatan kucing tersebut adalah tidak tepat dalam konteks penggunaan bahasa Melayu. Tidak menjadi suatu kesalahan dan tidak pula dianggap tidak sopan seseorang itu sekiranya dia menggunakan ungkapankucing itu berak. Sesungguhnya pengetahuan anggota masyarakat dalam soal kesantunan berbahasa, terutama aspek tabu dalam masyarakat Melayu adalah sangat penting. Hal ini demikian kerana, pengetahuan inilah yang

menjadi ukuran sama ada seseorang itu berbudi pekerti, berbudi bahasa, beradat atau bersopan santun bukan sahaja dalam pertuturan tetapi juga dalam tingkah laku. Kenaifan seseorang anggota masyarakat dalam soal ini boleh mengakibatkannya dipandang rendah oleh masyarakat. Pengetahuan tentang hal ini juga menunjukkan bahawa seseorang itu peka dengan hal-hal yang berkaitan dengan peraturan dalam bermasyarakat dan berbahasa. Sesungguhnya, unsur tabu yang terdapat dalam masyarakat Melayu menyekat seseorang daripada berbahasa dengan sewenang-wenangnya, tetapi keadaan ini diterima dan dipersetujui oleh anggota masyarakat Melayu seluruhnya. Unsur ini juga diterima dengan baik oleh seluruh anggota masyarakat kerana melalui unsur tabu inilah, wujudnya suatu peraturan yang berkaitan dengan kesantunan dan keperibadian mulia seseorang. Bertepatan pula dengan masyarakat Melayu yang masih kuat berpegang dengan nilai-nilai Timur, unsur tabu tidak menjadi bebanan dalam kehidupan harian mereka, justeru menjadi suatu kepentingan dalam kehidupan sehari-hari.

SOSIOLINGUISTIK DALAM PENGAJARAN BAHASA


DEWAN BAHASA (DISEMBER 2004) Dewan Bahasa dan Pustaka Yang tidak dapat dinafikan ialah bahawa pengajaran dan pemelajaran bahasa di sekolah banyak memberikan penekanan terhadap sistem bahasa seperti sistem ejaan, sebutan, peristilahan, kosa kata umum, morfologi, dan sintaksis. Yang paling banyak disentuh ialah aspek morfologi dan sintaksis. Keadaan ini menyebabkan pemelajaran bahasa kadangkala menjadi kaku dan membosankan, malah menimbulkan kerisauan kerana kononnya bahasa hanya terdiri daripada rumus dan hukum bahasa, dan kesalahan dalam menggunakan sistem bahasa yang betul semasa berada di dalam kelas akan hanya merumitkan keadaan lagi. Guru yang terlatih dari segi pedagogi dituntut menggunakan pelbagai kaedah dan teknik untuk menyampaikan maklumat dan fakta-fakta sistem bahasa dengan baik dan terkini, manakala pelajar seolah-olah dibebankan dengan rumus dan aturan yang memenatkan fikiran, apatah lagi jika diajarkan secara didaktik pula. Jika demikian keadaannya, bagaimanakah fungsi dan matlamat bahasa yang sebenarnya dapat direalisasikan? Bukankah salah satu kepentingan menguasai bahasa adalah untuk membolehkan penuturnya berinteraksi serta berkomunikasi dengan baik dan berkesan dalam masyarakat ? Telah diungkapkan dalam Matlamat Pendidikan Bahasa Melayu, iaitu bertujuan membimbing pelajar-pelajar menguasai kecekapan berbahasa untuk berkomunikasi dengan berkesan bagi melahirkan fikiran dan perasaan tentang ilmu pengetahuan, hal-hal persendirian dan kemasyarakatan dalam konteks rasmi, tak rasmi, dan kreatif melalui lisan dan penulisan. Menurut Awang Sariyan dalam Teras Pendidikan Bahasa Melayu : Asas Pegangan Guru, pengajaran bahasa tidak patut bernoktah dengan pendedahan sistem sematamata (2004 : 191). Sebaliknya, pengajaran tatabahasa hendaklah dihubungkan dengan aspekaspek fungsionalnya bagi membolehkan pelajar mengukuhkan keterampilan berbahasa termasuklah dari segi pragmatiknya. Fungsi bahasa sebagai alat komunikasi sosial merupakan item terpenting dalam membicarakan perkara ini. Mustahil dibuat pemisahan antara bahasa dengan masyarakat sekali gus menegaskan bahawa masyarakatlah yang membina dan mengembangkan bahasa dan bahasalah yang membentuk peradaban yang tinggi dalam masyarakat. Oleh hal yang demikian, guru disarankan agar menggabungjalinkan kemahiran dan teori linguistik yang bersesuaian dalam pengajaran untuk memastikan pelajar dapat menguasai bahasa yang baik melalui aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis.

Oleh sebab sesuatu bahasa itu menjadi milik masyarakat, pertimbangan sosial sewajarnya tidak dibatasi oleh aliran linguistik generatif yang memberikan penekanan terhadap kebebasan sintaksis (the autonomy of syntax), iaitu penelitian terhadap ayat sebagai satu unsur bahasa yang harus dilakukan secara linguistik semata-mata, yakni tanpa memberikan pertimbangan terhadap aspek-aspek lain, misalnya hubungan bahasa dengan masyarakat. Pengajaran dan pemelajaran bahasa di sekolah yang banyak menjurus kepada sistem bahasa menyebabkan tumpuan dalam penggunaan bahasa begitu terbatas dan akhirnya menghasilkan pelajar yang tidak berketerampilan menggunakan bahasa dalam interaksi sosialnya. Yang tidak dapat dinafikan ialah bahawa ilmu berkenaan sistem bahasa amat perlu dititikberatkan, namun keadaan ini seharusnya diimbangi oleh keupayaan menguasai bahasa dari pelbagai segi. S. Dik dalam Functional Grammar (1978 : 4-5) pernah membuat suatu gagasan yang menarik tentang skop bahasa yang terdiri daripada tujuan formalisme dan tujuan fungsionalisme yang menyaksikan bahasa, jika diteliti dari segi fungsionalnya ialah alat untuk interaksi sosial, berkomunikasi, wahana kebolehan dan kecekapan mengendalikan interaksi sosial, dapatan bahawa pemerolehan bahasa banyak dibantu oleh persekitaran sosial, dan penelitian tentang kecekapan komunikasi mementingkan bahasa dari sudut penggunaannya. Sebagai fenomena sosial, bahasa dilihat sebagai wadah penyalur fikiran dan perasaan yang tidak dapat dihuraikan hanya melalui penelitian terhadap aspek kegramatisan ayat. Berdasarkan hal ini, matlamat yang ingin dicapai dalam pengajaran dan pemelajaran bahasa merangkum aspek kemahiran dan kebolehan menguasai ilmu bahasa dan seterusnya menggunakan bahasa dengan berkesan dalam pelbagai situasi dan ranah. Dell Hymes dalam Foundations in Sociolinguistics : An Ethnograpic Approach (1974 : 206) menegaskan bahawa teori bahasa memerlukan penelitian terhadap pertuturan, pemerhatian terhadap persoalan fungsi, dan bahasa tidak terpisah daripada sistem-sistem sosial dan budaya lain yang beroperasi dalam sesuatu masyarakat. Sebenarnya, telah banyak yang diperkatakan oleh ahli-ahli bahasa tentang hubungan yang erat dan padu antara bahasa dengan masyarakat. Hubungan ini dalam kajian bahasa atau linguistik dikenal sebagai sosiolinguistik. Sosiolinguistik ialah bidang yang mengkaji aspek linguistik yang melihat aspek bahasa, struktur dan aplikasi bahasa yang ada hubungan dengan fungsi sosial, kebudayaan dan penggunaannya dalam sesuatu masyarakat yang tertentu. Menurut Arbak Othman dalam Permulaan Ilmu Linguistik (1983 : 155 156), sosiolinguistik melihat hubungan bahasa dengan masyarakat ataupun bahasa sebagai alat komunikasi manusia. Hudson (1980 : 1) dalam Sociolinguistics menyatakan bahawa sosiolinguistik ialah kajian bahasa yang berhubung kait dengan masyarakat yang mengaitkan variasi bahasa dengan faktor sosial atau bahasa sebagai refleksi penuturnya. Keadaan ini berupaya menjalinkan pertalian yang erat antara bunyi bahasa dengan masyarakat bahasa. Dalam pengajaran dan pemelajaran bahasa, pengetahuan tentang disiplin sosiolinguistik amat perlu untuk guru bagi melahirkan pelajar yang berupaya memanipulasi kemahiran yang dipelajari dan mewujudkan interaksi sosial yang berkesan. Guru perlu menyedari bahawa mengajarkan bahasa bukan sekadar mengajarkan bahasa yang kaku dan statik sifatnya dalam erti kata bebas daripada faktor-faktor sosial yang melingkarinya. Menurut J. B. Pride dalam Sociolinguistics Aspects of Language Learning and Teaching (1979 : ix), sosiolinguistik ialah nama yang sering diberikan terhadap kajian tentang siapa yang berkata (atau menulis) kepada siapa, bila, di mana, bagaimana, dan mengapa. Guru seharusnya memahami bahawa mengajarkan bahasa merupakan proses mendidik pelajar supaya mempunyai kecekapan berkomunikasi seperti yang diharapkan oleh masyarakatnya sebagai wadah meneruskan

kehidupan peribadinya, di samping menyumbang kepada penakatan budaya dan sosial masyarakat dan komuniti bahasanya. Dalam pengajaran dan pemelajaran bahasa secara formal, guru dapat mengukuhkan pemahaman dan pengetahuan pelajar berkenaan dengan beberapa aspek penelitian sosiolinguistik melalui aktiviti lisan, bacaan, dan tulisan. Misalnya, sewaktu mengadakan aktiviti lisan, guru dapat memberikan pendedahan yang meluas kepada pelajar tentang sistem panggilan dalam bahasa Melayu. Penggunaan kata ganti nama diri (personal pronouns) yang tepat amat penting untuk pelajar bagi mempersiapkan mereka dengan pengaruh sosiobudaya yang pada masa kini kurang mementingkan aspek kesantunan berbahasa. Dalam ayat Cikgu, awak belum balik ? atau Aku tidak datang ke kelas tambahan, cikgu, tentulah memberikan persepsi yang kurang baik kepada pendengarnya kerana tidak mematuhi norma berbahasa, walaupun mungkin betul dari segi nahunya. Menurut Nik Safiah Karim, dalam bahasa Melayu, penggunaan kata ganti nama diri berkait rapat dengan bahasa sapaan. Bahasa sapaan didefinisikan sebagai kata yang digunakan untuk merujuk kepada orang tertentu untuk menunjukkan kedudukan sosialnya. Kata ganti nama diri orang ialah jenis ganti nama yang merujuk kepada diri orang tertentu. Pengetahuan dan penguasaan yang baik tentang sistem kata ganti nama bahasa Melayu bukan sahaja melambangkan seseorang itu berbudi bahasa dan berhemah, tetapi menguasai pengendalian pelbagai kategori sosial dalam struktur masyarakat Melayu, yang ikut dimanifestasikan melalui pelbagai bentuk bahasa. Penggunaan bentuk ganti nama diri aku sesuai digunakan dalam suasana tidak rasmi sahaja dan daripada orang yang rendah kedudukannya kepada orang yang lebih tua dan dihormati. Jika digunakan dalam suasana rasmi, akan timbullah hal yang luar biasa, misalnya dalam suatu majlis rasmi, seorang pengucap menuturkan ayat Aku ingin menyampaikan penghargaan kepada sekalian tetamu yang hadir, maka pengucap tersebut dianggap tidak tahu bahasa. Seseorang guru pasti akan tersentak jika pelajarnya membahasakan dirinya sebagai aku. Aku ialah kata ganti nama diri yang dapat menimbulkan kemesraan, khususnya individu yang akrab, seperti teman sebaya atau teman sekumpulan. Dalam konteks seperti itu, penggunaan saya akan menyebabkan wujudnya jurang perhubungan. Bukti bahawa kata aku dapat menunjukkan kemesraan ialah apabila berhubungan dengan Tuhan melalui kalimah doa. Orang Melayu ( Islam ) menggunakan aku apabila membahasakan dirinya dengan Tuhan dan membahasakan Tuhan sebagai Engkau. Misalnya, Ya Allah, kepada Engkaulah aku memohon pertolongan. Penggunaan saya merupakan amalan pemakaian biasa yang digunakan apabila kita berinteraksi dengan orang yang lebih tua, lebih dihormati, dalam konteks formal, dan sebagai penanda hormat dengan orang yang belum akrab dengan kita, walaupun sebaya atau lebih muda daripada kita. Di samping itu, salah satu strategi kesantunan berbahasa ialah penggunaan saya sebagai tindak balas untuk memperlihatkan penyertaan seseorang dalam sesebuah percakapan atau interaksi. Bentuk seperti mm, hm, dan seumpamanya untuk menyatakan maksud penyertaan itu, dikira sebagai kurang sopan. Perkara inilah yang sewajarnya dijelaskan kepada pelajar agar kesedaran tentang penggunaan bahasa yang baik dapat dimanifestasikan melalui perlakuan dan amalan. Selain itu, untuk maksud kesantunan bahasa, kata ganti nama orang kedua hendaklah digunakan dengan mengambil kira beberapa faktor secara serius; umur, generasi, status, konteks (sama ada rasmi atau tidak rasmi), dan jarak sosial. Bentuk panggilan untuk ganti nama orang kedua boleh terdiri daripada panggilan kekeluargaan, panggilan profesional, gelaran profesional atau kerjaya, panggilan anugerah, dan nama peribadi. Masyarakat Melayu menganggap bahawa kata ganti nama awak, kamu, dan engkau sebagai bentuk kasar kalau digunakan dalam percakapan atau interaksi dengan pihak-pihak yang lebih tua,

berstatus, berkuasa, dan dihormati. Bentuk tersebut digunakan oleh mereka yang yang sudah pun intim dan mesra antara satu sama lain, atau oleh mereka yang lebih tua atau lebih berstatus kepada mereka yang lebih muda atau kurang berstatus. Keadaan ini berbeza dengan bahasa Inggeris kerana boleh menggunakan bentuk you kepada sesiapa sahaja. Oleh sebab orang Melayu menyedari bahawa masalah kekasaran kesemua kata ganti nama orang kedua , maka bentuk anda diperkenalkan pada 1960-an. Bentuk anda dianggap sebagai bentuk halus, yakni tidak kasar dalam wacana sopan. Selain bentuk sapaan, para guru dapat mengajar pelajarnya tentang pantang larang dalam bahasa. Terdapat banyak perkara yang tidak boleh dibicarakan dengan sewenang-wenangnya, terutamanya di khalayak ramai. Antaranya ialah berkenaan dengan seks, fungsi badan tertentu, anggota badan tertentu, urusan hamil serta bersalin, dan najis. Perkataan dan ungkapan yang ada hubungan dengan topik ini tidak boleh diucapkan dengan sesuka hati, dan tidak boleh ditulis, terutamanya dalam wacana sopan. Malah, sesetengah kamus juga tidak menyenaraikan perkataan dan ungkapan ini. Perkara yang menjadi pantang larang untuk dibicarakan secara terbuka disebut tabu bahasa. Kamus Dewan (1994 : 1338) mendefinisikan tabu sebagai sesuatu yang dilarang, pantang larang, pemali; yang terlarang, yang diharamkan atau ditegah daripada dipercakapkan. Perkataan tabu berasal daripada bahasa Polinesia, iaitu tapu yang bermaksud sesuatu yang dilarang untuk digunakan dan sesuatu yang kudus. Oleh sebab itu, untuk dibicarakan atau dipercakapkan di khalayak, ada dua cara yang boleh digunakan, iaitu penggunaan eufemisme dan penggunaan sirkumlokusi. Eufemisme (euphemism) merupakan perkataan atau frasa yang lebih sopan dan halus sifatnya untuk menggantikan perkataan atau frasa asalnya yang sudah pun dianggap sebagai kasar dan keji, malah dilarang penggunaannya. Dalam bahasa Melayu, banyak gejala tabu bahasa dan eufemisme ini. Antaranya ialah kencing, berak, kentut, mati, jamban, babi, tahi, datang haid, beranak, pelacur, dan sebagainya. Eufemisme dapat mengatasi masalah ini dengan menggantikannya dengan buang air kecil, buang air besar, buang angin, meninggal dunia, bilik air, khinzir, uzur, bersalin, dan pekerja seks atau tunasusila. Yang menarik tentang gejala ini ialah fenomena ini tidak pula dianggap kasar atau tidak sopan semasa menyebut atau menulis ungkapan seperti kencing berdarah, kencing nanah, kencing malam, ujian air kencing, berak darah, berak air, berak besar, gila babi, siput babi, membabi buta, tahi minyak, dan tahi lalat. Peribahasa Melayu turut menggunakan ungkapan siapa hendak mengaku berak di tengah jalan dan kalau guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari. Kepentingan memberikan huraian dan penerangan yang berpada kepada pelajar akan menjadikan mereka lebih bersopan, mengerti dan akhirnya matlamat dan falsafah pendidikan bahasa akan tercapai sekiranya dijadikan amalan yang dipupuk setiap masa. Sirkumlokusi pula merujuk kepada penerangan yang panjang lebar, dan kadangkalanya bersifat berbelit-belit dan kaedah ini sesuai digunakan dalam keadaan-keadaan yang tertentu sahaja. Di samping itu, laras bahasa perlu diterangkan kepada pelajar kerana laras bahasa merupakan fenomena yang penting dan mendidik pelajar untuk menghayati situasi yang berlainan yang wujud di sekitar mereka. Menurut Nik Safiah dalam Laras Bahasa (1989), laras bahasa ialah satu gaya bahasa atau cara penggunaan sesuatu bahasa. Pengetahuan tentang laras bahasa akan memberikan panduan dan pilihan yang tepat untuk pelajar menentukan laras yang sepatutnya mengikut situasi yang cocok agar pelajar berupaya dan berkemampuan menggunakan bahasa secara teratur yang menggambarkan kepekaan mereka terhadap situasi sosial yang berlainan. Malahan, kecekapan berbahasa juga merujuk kepada penggunaan berbagai-bagai variasi bahasa yang bersesuaian dengan masyarakat di sekitarnya. Kegagalan pelajar menggunakan laras bahasa yang betul memberikan gambaran bahawa mereka telah mengetepikan salah satu aspek penting untuk mendampingi sifat dan fungsi bahasa. Guru

sewajarnya menerapkan disiplin ini untuk melahirkan warga pelajar yang bukan sahaja berkemahiran menggunakan bahasa dalam komunikasi, malah dapat membantu pelajar semasa menghadapi peperiksaan. Pelajar perlu mengetahui laras bahasa yang sesuai dan tepat sewaktu menulis yang dapat dikesan melalui penggunaan perkataan tertentu, frasa tertentu, dan ayat tertentu dalam keadaan-keadaan yang tertentu pula. Malahan, dalam bidang penterjemahan, guru dapat mendidik pelajar untuk membuat terjemahan yang baik dan berkesan tanpa menjejaskan maksud daripada bahasa sumber. Keadaan ini akan memperkaya perbendaharaan kata pelajar, selain memastikan terjemahan yang dilakukan persis dengan sumber asalnya. Oleh sebab negara kita sekarang berada dalam dunia yang semakin mengecil kerana taraf perhubungan antara negara yang memuaskan, bahasa Melayu harus mempunyai satu sifat yang disebut keupayaan menterjemahkan buah fikiran untuk disalurkan kepada bahasa-bahasa tersebut. Sebagai contoh, perkataan kabinet dalam bidang pertukangan bererti sejenis almari, tetapi dalam bidang sains politik kata tersebut bermakna jemaah menteri. Kata sudden death jika diterjemahkan secara langsung pasti tidak bertepatan maksudnya jika diucapkan dalam situasi permainan golf. Menyedari hakikat ini, laras bahasa seharusnya turut mendapat tempat yang lebih dominan dalam pengajaran dan pemelajaran bahasa di sekolah-sekolah. Sebagai misalan, oleh sebab bidang sastera telah diperkenalkan kepada pelajar melalui Komponen Sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada peringkat menengah, laras bahasa dalam sastera sering gagal didepani dengan baik oleh pelajar. Pengaruh laras bahasa sastera telah membuka ruang kepada disiplin stilistik atau ilmu gaya menganalisis karya sastera dengan dari sudut bahasa sesuai dengan sifatnya dalam hubungan yang lebih luas. Para pelajar akan didedahkan dengan menilai kemampuan karyawan memanipulasikan segala keupayaan mereka mengeksploitasikan kemungkinan bahasa. Kekuatan sesebuah karya terletak pada kekuatan bahasanya, dan sudah semestinya bergantung pada kebijaksanaan pengarangnya mengungkapkan wacana melalui fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, dan pragmatik. Pengetahuan yang baik dalam laras bahasa akan membantu pelajar menghayati karya yang dipelajari dan hal inilah yang memungkinkan pencapaian yang lebih memberangsangkan dalam peperiksaan. Pelajar harus didedahkan dengan beberapa banyak laras yang ada supaya mereka dapat menggunakan bahasa dengan baik dan berkesan. Pelajar hendaklah juga dibantu oleh guru dalam penggunaan laras yang pelbagai untuk kesesuaian konteks dan situasi dalam mengungkapkan fikiran tentang ilmu yang ada. Kepentingan mengajarkan laras bahasa dapat ditemukan dalam Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia yang mengesyorkan satu peraturan hendaklah dibuat untuk memastikan kursus latihan guru dalam perkhidmatan hendaklah mengandungi unsur laras bahasa bagi bidang ilmu yang diajarkannya. Hakikat yang amat perlu disedari ialah penerapan disiplin sosiolingusitik terlalu luas skop dan penelitiannya. Menurut Nik Safiah Karim dalam Beberapa Persoalan Linguistik Bahasa Melayu (1990 : 5), ahli bahasa menyedari bahawa bahasa berfungsi dalam masyarakat, dan bahasa berubah dan berkembang selaras dengan perubahan dan perkembangan yang berlaku kepada masyarakat penuturnya. Bahasa bukan satu cara pertuturan yang digunakan dalam keadaan statik, oleh semua orang bagi semua situasi, dan dalam bentuk yang sama. Sebaliknya, bahasa berbeza-beza bergantung pada faktor persekitarannya. Dengan berlandaskan pandangan tersebut, ternyata disiplin sosiolinguistik dapat membantu guru merencanakan dan melaksanakan aktiviti pengajaran dan pemelajaran bahasa yang lebih hidup, menarik, dan membantu mencapai objektif pendidikan bahasa. Dalam buku Explorations in the Functions of Language (1973), Halliday menyatakan tujuh

fungsi bahasa yang wajar dikuasai, iaitu instrumental, penentu, interaksi, peribadi, heuristik, imaginatif, dan perlambangan. Fungsi instrumental berkaitan dengan tujuan bahasa digunakan untuk mencapai kesejahteraan hidup manusia, fungsi penentu berkaitan dengan tindakan atau gerak-geri penutur, sama ada menghukum, mendenda, merayu, dan sebagainya, fungsi interaksi berkenaan dengan hubungan antara sesama manusia lain, fungsi peribadi berkaitan dengan penggunaan bahasa yang mencerminkan keperibadian penuturnya, dan fungsi heuristik berkaitan dengan peranan bahasa sebagai saluran penyataan pandangan, pengetahuan, dan sikap. Selain itu, fungsi imaginatif berkaitan dengan aplikasi bahasa untuk melahirkan pandangan dan cetusan dengan cara yang estetik, indah, dan berseni, manakala fungsi perlambangan berkaitan dengan penggunaan bahasa secara lebih tersirat dan implisit. Dengan menelusur fungsi bahasa yang digariskan oleh Halliday ini, para guru pasti akan menyedari bahawa penerapan disiplin sosiolinguistik amat wajar diterapkan kepada pelajar supaya fungsi bahasa dapat dikecap oleh pelajar dengan lebih efisien. Apabila membicarakan soal ini, hasil kajian Basil Bernstein, ahli sosiologi dari Universiti London pada era 60-an dan 70-an dapat dijadikan pegangan dan fahaman bahawa umumnya manusia mempunyai dua kod bahasa yang digunakan, iaitu bahasa terbina (elaborated code) dan bahasa terbatas (restricted code). Bahasa terbina merupakan jenis bahasa yang kurang dikuasai tetapi penting dalam sistem pendidikan, sebaliknya bahasa terbatas digunakan dalam lingkungan yang tidak formal oleh golongan dalam lingkungan sosial yang sama. Dialek merupakan contoh bahasa terbatas dan tidak mungkin dapat dihilangkan dalam sistem pendidikan bahasa yang formal kerana kajian mendapati unsur atau pengaruh dialek dapat memperkaya kosa kata pelajar. Dalam pengajaran, guru diharapkan dapat membimbing pelajar untuk memahami unsur dialek, khususnya dalam karya kreatif agar pelajar beroleh kemampuan dan rangsangan untuk menggunakannya dalam situasi yang berbeza. Oleh sebab itu, disiplin sosiolinguistik yang menjadi antara cabang kajian linguistik yang terpenting mutakhir ini sepatutnya mendapat tempat yang lebih baik dalam pengajaran dan pemelajaran bahasa. Yang tidak dapat disangkal lagi bahawa pengetahuan dan penerapan disiplin ini adalah penting bagi guru melaksanakan dasar dan objektif yang telah ditetapkan dalam sistem pendidikan ke arah melahirkan pelajar yang berkemahiran, berkebolehan, fleksibel, dan dapat memenuhi aspirasi masyarakat yang berkehendakkan pelajar yang mampu menguasai bahasa dengan baik, bukan sekadar untuk lulus dalam peperiksaan, malah dapat membina peradaban yang cemerlang melalui penggunaan bahasa yang betul dan kena pada tempatnya.
Posted by Azhar Sallehat 11:00 PM

Das könnte Ihnen auch gefallen