Sie sind auf Seite 1von 3

Sebuah Negara, Dua Imaginasi Sosiologikal: Antara Perpaduan atau

Kesepaduan
Ungkapan unity in diversity atau perpaduan dalam kepelbagaian sudah menjadi mantra
dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia. Daripada menteri hinggalah ke murid sekolah,
dalam media massa cetak, elektronik atau atas talian, ungkapan ini disisip dalam ucapan,
disebut-sebut dalam berita tv dan disulam bertubi dalam tulisan. Namun jarang sekali kita
ingin bertanya apakah makna ungkapan ini, apakah ianya benar, separuh benar, palsu atau
retorik semata-mata apabila digunakan untuk menyimpulkan wajah masyarakat Malaysia.
Tidak menghairankan kalau ahli politik, orang biasa atau suri rumah tangga tidak ambil
peduli akan hal ini kerana mereka berdepan dengan sekian banyak hal lain yang mereka
hanya separuh mengerti namun harus ditangani atas tuntutan semasa dan kepentingan
peribadi. Yang agak menarik, ungkapan ini jarang benar dikupas dengan serius, agaknya
mungkin kerana ia telah mencapai taraf mantra dan menjadi cliche.
Ungkapan atau slogan unity in diversity ini mengangkat sekali gus memuji kemampuan
kelompok manusia yang berbeza-beza hidup dalam sebuah masyarakat. Dari sudut psikologi
sosial ianya mengungkapan satu bentuk psyche manusia, iaitu rasa kesatuan yang merentas
pemisahan fizikal dan psikologikal, yang meliputi juga konteks metafizikal.
Dari persektif antropologi-sosiologi, khususnya dari susuk epistemologi, slogan unity in
diversity ini merupakan suatu rumusan yang menyimpul dan mengartikulasikan bagaimana
manusia mengurus dan menyusun, dari segi abstrak dan nyata, kebezaan sosial (organization
of social difference) yang sedia ada di kalangan mereka. Kebezaan ini boleh dicirikan oleh
unsur agama, etnik, wilayah dan sebagainya. Suasana kebezaan ini dikaitkan juga dengan
penciptaan identiti berdasarkan himpunan sempadan abstrak dan nyata yang telah digarapcipta sesama manusia.
Dari sudut ontologi pula, perlunya mengurus dan menyusun kebezaan ini adalah pada
umumnya, atas keinginan untuk mewujudkan keadaan aman dan stabil dalam sesebuah
masyarakat yang rencam keanggotaan kelompok sosialnya agar dapat meraihkan kesenangan
dan mungkin juga kemewahan kebendaan. Namun, tidak semua yang mahukan keamanan
dan kestabilan. Ada pihak yang menggunakan kebezaan sosial itu sebagai pelantar ideologi
untuk memperjuangkan kesukuan dan chauvanisme melalui keganasan. Malah mereka
bersedia mengorban ribuan nyawa demi menegakkan identiti dan kebezaan sosial. Untuk
mendalami kefahaman kita mengenai fenomena perpaduan dalam kepelbagaian menuntut
imaginasi sosiologikal yang bersifat global yang membayangkan sebuah idaman dan harapan.
Kita semua tahu bahawa dari segi empirikal, kerencaman kebezaan sosial ini bukan
hanya terdapat di Malaysia bahkan di seluruh dunia dengan darjahnya berbeza-beza.
Fenomena ini telah berlaku secara alamiah, khususnya melalui migrasi. Ada juga migrasi
yang berlaku dengan cara paksaan seperti penculikan ribuan manusia di Afrika Barat oleh
saudagar hamba abdi yang membawa mereka ke wilayah selatan Amerika Syarikat pada
1700-an untuk bekerja di ladang kapas. Dalam era globalisasi migrasi jarak jauh semakin
dimudahkan oleh sistem pengangkutan udara yang lebih luas jaringan dan agak murah.
Impaknya sangat besar dan luas, darjah kemajmukan dan kebezaan sosial melibatkan pula
kini kelompok sosial yang sementara persis komuniti pindah-randah pada zaman neolitik.

Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan kalau ungkapan perpaduan dalam


kepelbagaian telah menjadi slogan dan cogan kata kepada banyak organisasi sosial dan juga
negara serta diterjemah ke dalam pelbagai bahasa. Misalnya House of Blues, sebuah syarikat
muzik blues & jazz yang mempunyai 13 cawangan di seluruh Amerika Syarikat, menjadikan
unity in diversity sebagai cogan katanya semenjak 1995 apabila cawangan pertamanya di
Harvard Square dibuka. Dalam cop mohor Amerika Syarikat (Seal of the United States),
ternukil e pluribus unum, iaitu perpaduan dalam kepelbagaian dalam bahasa Latin. Pasukan
bola sepak Benfica di Portugal dan Pasukan Pertahanan Estonia telah pun menggunakan
cogan kata ini juga semenjak 1908 dan 1918. Bhinneka Tunggal Ika terpampang di cop
mohor negara Indonesia semenjak 1947, dan terkini pada 2005, In varietate concordia telah
diangkat sebagai cogan kata Kesatuan Eropah. Apa yang signifikan daripada semua ini ialah
wujudnya suatu kesedaran nyata yang mempengaruhi psyche manusia berzaman lamanya
bahawa mereka tidak ada pilihan tetapi mesti hidup bersama-sama, atau co-exist dengan
manusia dan kelompok sosial yang berbeza. Oleh yang demikian mereka mesti mencari jalan
dan mengatur pelbagai cara untuk membolehkan perbezaan ini tidak menjadi halangan untuk
mereka terus hidup aman damai dan produktif. Sekali sekala keamanaan ini disentak ganas
oleh kekerasan dan kezaliman individu, seperti Hitler dan Pol Pot.
Namun ungkapan perpaduan dalam kepelbagaian tetap terus diangkat dan dijulang. Ia
terus mengikat, mengingatkan dan memacu keinginan dan cita-cita kelompok sosial seluruh
dunia untuk terus bekerjasama biarpun kepentingan mereka berbeza-beza, biarpun senantiasa
diburu perasaan gundah gulana atas kemungkinan harapan yang diidamkan itu tersungkur
berkecai di kancah kegagalan. Apa pun cabaran yang datang, bencana yang melanda, manusia
umumnya terus menatang slogan perpaduan dalam kepelbagaian sebagai ikrar sakral
kolektif mereka tentang betapa cintanya mereka akan keamanan, kestabilan dan keharmonian.
Kalaulah perpaduan dalam konteks cogan kata perpaduan dalam kepelbagaian itu
masih belum wujud dan merupakan suatu cita-cita, idaman dan harapan yang terus-menerus
diperjuangkan, apakah sebenarnya yang wujud yang dinikmati oleh sekian ramai manusia
seluruh dunia semenjak kemajmukan menjadi ciri utama masyarakat seluruh dunia. Ini
memerlukan kita membuat suatu anjakan imaginasi sosiologikal daripada yang berpaksikan
perpaduan kepada yang berpaksikan kesepaduan.
Saya ingin menghujahkan bahawa imaginasi sosiologikal perpaduan yang manusia
idamkan dan belum wujud itu adalah berasaskan suatu matlamat akhir bersifat Utopia yang
tidak boleh dilaksanakan, iaitu unity is uniformity, atau perpaduan adalah keSAMAan/
atau keSATUan satu bangsa, satu agama, satu bahasa, satu negara, yang juga merupakan
kata-kata slogan. Justeru itu, unity is uniformity hanyalah suatu gambaran mengenai suatu
masyarakat yang sempurna yang tidak boleh menjadi kenyataan. Yang wujud dan terusmenerus dinikmati oleh sebilangan besar anggota masyarakat majmuk di dunia ialah
kesepaduan, iaitu suatu fenomena sosial yang dipacu oleh idaman mendalam terhadap
perpaduan yang seterusnya pula mempengaruhi para anggota masyarakat tersebut untuk
merangkai pelbagai ikhtiar dan kegiatan yang mereka anggap sebagai prasyarat mencapai
perpaduan tersebut. Himpunan usaha ini sering tanpa disedari telah membawakan keamanan,
keharmonian dan kestabilan dalam masyarakat, belum membawakan perpaduan idaman.
Himpunan usaha ini umumnya adalah bersifat fenemonologikal kerana berpaksikan
perilaku, bukan bersifat struktural yang berpaksikan institusi. Oleh yang demikian, dalam
konteks pembentukan kesepaduan sosial sebagai suatu fenomena praperpaduan, peranan
agensi bersifat everyday-defined jauh lebih penting dan berkesan daripada struktur atau
institusi yang bersifat authority-defined. Ini kerana setiap anggota masyarakat majmuk bebas
untuk bertindak dan berperilaku prokeamanan, prokeharmonian dan antikeganasan demi
survival diri, keluarga dan kelompok sosialnya.
Oleh yang demikian, jika timbul sebarang konflik, pergeseran dan pertelingkahan
disebabkan perbezaan sosial yang sedia ada dalam sesebuah masyarakat majmuk itu, para

anggotanya akan segera mencari jalan penyelesaian melalui perundingan dalam pelbagai cara
dan bentuk. Umumnya melalui perunding seperti ini terhasil persetujuan, kompromi dan tolak
ansur dalam banyak hal. Ini tidak bermakna semua cabaran, rasa tak puas hati dan potensi
konflik terselesai. Ia tetap ada, tetapi dalam keadaan terkawal kerana anggota masyarakat
amnya menolak keganasan sebagai jalan penyelesaian perbezaan sosial.
Justeru, kesepaduan sosial boleh wujud dan bercambah, apatah lagi kalau ada usaha
sedar berpunca daripada tindakan authority-defined dan top-down yang boleh melengkap dan
menjamin kelangsungannya dan meningkatkan daya ketahanan dalam sesebuah masyarakat
majmuk. Salah satu usaha tersebut adalah bersifat pemantauan berlanjutan melalui prosedur
tertentu, yang bertindak sebagai sistem amaran awal. Oleh yang demikian, sebarang
kemungkinan konflik terbuka berlaku dapat dikawal sebelum menjadi lebih besar dan
merebak, lalu merungkai kesepaduan sosial yang telah wujud dengan baiknya.
Dengan itu, adalah lebih tepat dan lagi modest, untuk kita mengungkapkan keadaan ini
sebagai kesepaduan dalam kepelbagaian (cohesion in diversity) dan bukan perpaduan dalam
kepelbagaian (unity in diversity). Namun kita boleh juga hujahkan bahawa kesepaduan
adalah tahap sebelum perpaduan atau prasyaratnya. Implikasinya ialah perpaduan adalah
work-in-progress kerana ia adalah suatu sasaran pencapaian yang masih belum tercapai. Ini
memerlukan semua pihak bekerja keras secara sedar untuk memastikan kesepaduan sosial
yang sedia ada dikekalkan dan dipertahan, biarpun perpaduan belum kelihatan. Jelas bahawa
perbezaan antara perpaduan dan kesepaduan bukanlah semata-mata semantik sifatnya,
malah lebih daripada itu kerana dari sudut kos melepas, usaha untuk mengekalkan
kesepaduan sosial melibatkan kegiatan yang mungkin memperjudikan keamanan dan
kestabilan sedia ada, termasuk kemungkinan terkorban nyawa manusia yang tak berdosa.

Das könnte Ihnen auch gefallen