Sie sind auf Seite 1von 3

UCAPAN PERASMIAN

YBHG DATO DR ABD LATIF MOHMOD


SEMPENA
MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN AKADEMIK
SMK KEPONG 2014
DEWAN BESTARI, SMK KEPONG
SABTU - 19 APRIL 2014
8.15 PAGI
Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis.
Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.
Yang Berusaha Dr. Sarojini Devi A/P Algaretnam
Pengetua SMK Kepong,
Puan Chow Yuet Kuan
Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
Encik Mohd Shoed bin Mansor
Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMK Kepong
Puan Maiadah Haji Idris
Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam
Pengerusi PIBG serta ahli-ahli jawatankuasa,
Para ibu bapa, guru-guru,
Seterusnya pelajar-pelajar yang dikasihi sekalian.
Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T
kerana dengan limpah kurniaNya, dapat kita bersama-sama hadir bagi
menjayakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik, Sekolah Menengah
Kepong tahun 2014.
Ucapan terima kasih saya kepada SMK Kepong kerana telah sudi menjemput
saya untuk sama-sama hadir pada hari ini bagi meraikan pelajar-pelajar yang
mendapat kecemerlangan dan pengiktirafan dalam bidang akademik. Saya
percaya sambutan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik pada hari ini
adalah selari dengan matlamat memberi dorongan dan memotivasikan para
1

pelajar agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam semua


bidang.
Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada barisan guru yang
bertungkus lumus merealisasikan majlis ini. Tidak dilupa ucapan terima kasih
atas kehadiran para ibu bapa pada hari ini. Sesungguhnya kehadiran tuan/puan
sekalian mencerminkan komitmen dan hubungan silaturrahim yang baik antara
ibu bapa dan pihak sekolah.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah
kepada pelajar-pelajar yang akan menerima hadiah atas pencapaian cemerlang
mereka dalam peperiksaan SPM dan STPM. Diharap pencapaian cemerlang
tersebut tidak berakhir di sini sahaja. Teruskanlah kecemerlangan itu sampai
bila-bila. Segala kejayaan ini tidak seharusnya melekakan kita. Rebutlah
peluang yang ada di sekeliling kita, baik dalam bidang akademik mahupun
bidang kemahiran. Kepada pelajar ini, teruskan perjuangan anda, tuntutlah
ilmu setinggi yang mungkin untuk meraih keputusan lebih cemerlang. Tahniah!
Sesungguhnya, dalam usaha merealisasikan cita-cita ke arah wawasan negara,
kita dihadapkan dengan pelbagai cabaran dalam menerajui generasi masa kini
serta cabaran dalam dunia pendidikan yang semakin rencam. Namun kita
seharusnya tidak goyah dengan cabaran dan rintangan ini. Ibu bapa perlu
menitikberatkan soal pembelajaran secara berterusan bukan sahaja di sekolah
tetapi juga di rumah. Ibu bapa perlu memastikan usaha yang dimulakan oleh
guru-guru di sekolah akan diteruskan apabila pelajar-pelajar balik ke rumah.
Justeru, kita sebagai ibu bapa perlu mengorbankan masa dan tenaga, malah
wang ringgit agar dapat membentuk modal insan yang mampu meneruskan
perjuangan murni demi bangsa, agama dan negara.
Hadirin yang saya muliakan,
Untuk melahirkan golongan pelajar yang cemerlang, semua pihak semestinya
berganding bahu dan mengatur langkah untuk merealisasikan impian. Hasil
gabungan dan kerjasama mantap yang terjalin, kecemerlangan akademik
mampu digapai. Kita perlu menjadikan hubungan antara warga sekolah dan ibu
bapa sebagai hubungan yang berasaskan rasa tanggungjawab, saling
memerlukan dan sentiasa menyokong antara satu sama lain, bak kata pepatah
seperti aur dengan tebing.
2

Saya juga menyedari bahawa ramai anak penjawat awam FRIM yang menimba
ilmu di sekolah ini. Pihak FRIM ingin mengambil kesempatan ini untuk
mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah SMK Kepong kerana usaha
guru-gurunya yang bertungkus lumus dalam mencorakkan kegemilangan
sekolah, termasuklah melakarkan kejayaan anak-anak kami. Untuk itu, pihak
FRIM akan cuba sedaya upaya dalam memberikan bantuan kepada pihak
sekolah demi kemajuan pelajar dan pembangunan sekolah.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
Pemimpin dan barisan guru di sekolah ini boleh bertukar ganti, boleh datang
dan pergi, namun organisasi sekolah mesti dipertahankan walau siapa pun
yang menerajuinya. Ingatlah, kecemerlangan yang ingin kita capai tidak boleh
diperjudikan. Semua pihak termasuk para guru, ibu bapa dan pelajar patut
memberi sokongan padu kepada pengetua dan pentadbir sekolah jika semua
mimpi indah tentang kecemerlangan ingin direalisasikan.
Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan tahniah
kepada semua warga sekolah terutamanya pelajar-pelajar yang telah
menempa kejayaan dalam bidang akademik. Semoga kejayaan anda akan
menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain yang masih berada di bangku
sekolah.
Dengan lafaz Bismillahhirrahmannirahim, saya dengan sukacitanya
merasmikan, Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik SMK Kepong, tahun
2014.
Sekian. Wabillahitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi
wabarakatuh dan salam sejahtera.

Das könnte Ihnen auch gefallen