Sie sind auf Seite 1von 1

KOMUNIKASI DENGAN IBU BAPA DAN SOKONGAN BERSAMA

Kita sedar betapa pentingnya sokongan ibu bapa dalam menentukan kejayaan anak-anak
mereka, terutamanya anak-anak kecil yang memerlukan perhatian ibu bapa mereka. Mereka
memerlukan bantuan, pengawasan, penstrukturan dan sokongan selama beberapa tahun bagi
mengenali dunia sekeliling dan dapat berkembang secara holistic. Ibu bapa yang baik akan
cuba membantu anak-anak mereka di rumah dan menyokong usaha para guru di sekolah. Usaha
ini memerlukan beberapa perkara seperti komunikasi yang jelas mengenai harapan guru,
tugasan yang direkodkan setiap hari, berjumpa dengan guru dan guru juga harus peka serta
memberi respon dengan cepat.

Dengan adanya papan buletin yang padat dengan info, ibu bapa dapat membaca nota dan
maklumat pembelajaran anak di sekolah secara tetap dan sedikit sebanyak dapat membantu ibu
bapa memahami dan mengetahui perkembangan anak secara berterusan. Ibu bapa juga dapat
mengetahui apa yang dipelajari di kelas pada minggu itu dan bila projek jangka panjang patut
dihantar.

Tugas mendidik anak-anak tidak boleh disandarkan sepenuhnya kepada pihak sekolah. Ibu
bapa perlu belajar tentang masalah anak mereka dan cara bagaimana untuk membantu mereka
di rumah. Disamping itu juga, ibu bapa dapat menjadi penasihat anak dan orang yang
memaklumkan keperluan anak mereka kepada guru. Dengan menghadiri ceramah, bengkel dan
mengumpulkan sumber-sumber yang berguna, tugas ini akan dapat direalisasikan.

Kesemua guru menekankan pentingnya hubungan yang rapat dan penglibatan ibu bapa,
terutamanya bagi kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran. Sesetengah guru akan
menjemput ibu bapa datang ke sekolah dan melihat sendiri tingkah laku anaknya. Mereka akan
mengaturkan supaya ibu bapa dapat bekerja bersama anaknya dalam kumpulan kecil. Ada juga
guru yang berbincang dengan ibu bapa dan menghantar sesuatu ke rumah untuk diselesaikan
oleh ibu bapa bersama-sama dengan anak mereka.

Kebanyakan guru berjumpa dengan ibu bapa setiap hari, semasa menghantar dan mengambil
anak mereka. Ada juga yang membuat panggilan dengan kerap kerana input daripada ibu bapa
amat penting. Guru dapat menilai dengan lebih baik jika mengetahui serba sedikit tentang
situasi semasa di rumah murid.

Das könnte Ihnen auch gefallen