You are on page 1of 2

SEJARAH PENUBUHAN PEMADAM KEBANGSAAN

Sejarah PEMADAM

PEMADAM iaitu Persatuan Mencegah Dadah Malaysia telah ditubuhkan pada 22 Mac 1976. Mengikut
perlembagaan YAB Perdana Menteri Malaysia adalah Penaung PEMADAM dan beliau yang akan melantik Yang
DiPertua PEMADAM Kebangsaan.
Yang DiPertua PEMADAM Kebangsaan:

YB Dato' Athi Nahapan - telah dilantik menjadi Yang Dipertua Pertama Mac 1976 - Mei 1976

YB Dato' Rais Yatim telah dilantik sebagai Yang DiPertua Kedua pada Jun 1976 - Mei 1987.

YB Tan Sri Dato' Seri Megat Junid bin Megat Ayob telah dilantik menjadi Yang DiPertua Ketiga pada 9 Jun
1987 - November 1999.

YB Dato' Haji Zainal Abidin bin Haji Zin telah dilantik sebagai Yang DiPertua PEMADAM Keempat pada 16
Disember 1999 - Oktober 2006.

YB Dato' Mohd. Johari bin Baharum, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri telah dilantik sebagai Yang
DiPertua PEMADAM Kelima pada 1 November 2007 sehingga kini.

PEMADAM ditadbirkan oleh satu badan yang dipanggil Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan; dan untuk
melicinkan lagi jentera pengurusan dan pelaksanaan program dan aktivitinya, biro-biro telah diwujudkan. Sebagai satu
badan yang bercorak kebangsaan, PEMADAM juga bergerak di peringkat negeri, daerah dan unit.

PEMADAM telah dikenali ramai dan bolehlah dikatakan PEMADAM telah menjadi "a household name". Sebagai
sebuah badan bukan kerajaan, PEMADAM telah bergerak cergas membantu kerajaan memerangi DADAH- Musuh
Utama Negara.

Di dalam negara, PEMADAM menjalin hubungan rapat dan kerjasama erat dengan beberapa kementerian dan jabatan,
di antaranya Kementerian Pelajaran, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Penerangan,
Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Polis DiRaja Malaysia. PEMADAM juga
memandang penting kepada peranan agama dan dengan itu sentiasa mendapatkan input-input yang konstraktif daripada
badan-badan ini.

Peranan dan tugas utama PEMADAM adalah pendidikan pencegahan dan penyebaran maklumat mesej anti dadah. Untuk
mencapai matlamat ini, PEMADAM memberi fokus kepada belia, pelajar, pekerja, pendidik dan ibubapa. Berbagai
kursus, seminar, bengkel diadakan supaya mesej anti dadah dapat tersebar meluas dan kemahiran mengendalikan kerja-
kerja pencegahan dadah dapat dipertingkatkan.

PEMADAM telah menganjurkan, menaja, mengelola atau terlibat sama di dalam projek dan program seperti kursus panel
penceramah, kursus anti dadah untuk ibubapa, seminar anti dadah untuk belia, skim lencana anti dadah untuk pelajar-
pelajar sekolah dan juga bengkel bengkel IT bagi pengendalian maklumat di zaman ledakan teknologi informasi ini.

Walaupun PEMADAM tidak terlibat dengan urusan rawatan dan pemulihan, namun PEMADAM sangat peka terhadap
nasib malang dan penderitaan orang-orang yang terdekat dengan penagih seperti ibu bapa, anak isteri dan saudara mara.
Oleh itu, PEMADAM menubuhkan PENAWAR, sebagai badan rujukan dan sokongan kepada ahli-ahli keluarga penagih
yang disebut sebagai golongan penderita sepi atau "silent sufferers ".

Di luar negara, di arena antarabangsa pula, PEMADAM juga begitu aktif sekali, khususnya di negara-negara jiran
ASEAN dan di rantau Asia . PEMADAM menjadi pertubuhan pengasas kepada penubuhan IFNGO (International
Federation of Non Government Organisations), satu badan ikatan antarabangsa menentang penggunaan dadah.
Sekretariat IFNGO terletak di Ibu Pejabat PEMADAM Kebangsaan. IFNGO juga telah melahirkan bengkel ASEAN-
NGO, juga satu forum anti dadah tetapi khusus untuk negara-negara ASEAN. Usaha baik IFNGO telah mendapat
pengiktirafan ECOSOC (Economic & Social Council) Bangsa-Bangsa Bersatu.PEMADAM juga turut aktif di dalam
aktiviti-aktiviti WFTC( World Federation of Therapeutic Communities) dan forum-forum anti dadah lain yang
dianjurkan samada oleh Colombo Plan atau lain-lain Agensi Anti Dadah Bangsa-Bangsa Bersatu.