Sie sind auf Seite 1von 2

Latihan 2: Dimensi Masyarakat/Negara

Sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya
yang berlainan, perpaduan amat penting dalam mencapai matlamat pembangunan
negara.
Sarankan usaha-usaha meperkukuh perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di
negara kita.

Sejak 31 Ogos 1957, penduduk Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang
kaum hidup bagai aur dengan tebing. Walaupun menyedari hakikat bahawa rambut sama
hitam, hati lain-lain, namun masyarakat yang berbilang kaum ini hidup dengan aman dan
damai. Menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh perpaduan kaum bukannya mudah.
Pelbagai usaha dijalankan ke arah perpaduan termasuk penubuhan Jabatan Perpaduan Negara
dan Integrasi Nasional, Rukun Tetangga hinggalah kepada Pelan Integrasi Nasional, Sekolah
Wawasan, dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Persoalannya, apakah usaha-
usaha memperkukuh perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di negara ini?
Antara usaha untuk memperkukuhkan perpaduan kaum di negara ini ialah rakyat
Malaysia perlu menyertai aktiviti kemasyarakatan. Sebagai contohnya, masyarakat boleh
mengadakan aktiviti gotong-royong di taman-taman perumahan. Masyarakat yang berbilang
kaum akan keluar untuk bekerjasama membersihkan taman-taman perumahan seperti
membersihkan kawasan longkang, semak-samun dan sebagainya. Melalui aktiviti
kemasyarakatan ini, mereka dapat lebih mengenali antara satu sama lain melalui perbualan
dan berinteraksi kerana tak kenal maka tak cinta. Tegasnya, jika kita mengamalkan
prinsip berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, kita dapat menikmati suasana harmoni
dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, kita juga boleh mengamalkan amalan kunjung-mengunjung seperti rumah
terbuka rakan-rakan yang berlainan bangsa sempena hari-hari perayaan untuk memupuk
semangat perpaduan. Kebudayaan dan adat resam antara kaum dapat difahami dengan lebih
mendalam sekali gus dapat menjana tahap kefahaman, bertimbang rasa serta membina
masyarakat yang saling menghormati. Oleh itu, sikap buang yang keruh , ambil yang
jernih ternyata mampu menjalin hubungkan semangat perpaduan yang tersedia utuh.
Tambahan lagi sambutan hari keluarga dan jamuan tahunan yang diadakan oleh organisasi
atau pertubuhan kerajaan dapat mempererat hubungan antara pemimpin dengan penduduk
tempatan. Usaha ini secara tidak langsung, orang ramai yang berbilang kaum akan lebih
mempercayai dan meyakini kewibawaan pemimpin dan saling menghormati antara satu
sama lain. Cara ini pasti ini akan mengurangkan pertengkaran dan perselisihan faham antara
kaum.
Di samping itu, pendidikan juga dapat memupuk perpaduan kaum di Malaysia.
Dengan adanya sistem pendidikan yang terbuka kepada semua kaum dan penggunaan bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar, hal ini mampu membentuk elemen perpaduan sejak dari
kecil lagi malahan dapat memupuk semangat kerjasama melalui aktiviti kokurikulum dan
kokurikulum. Dengan cara ini, kita akan dapat melahirkan generasi Malaysia yang lebih
bersefahaman, bekerjasama dan bersatu padu serta tidak mempunyai masalah perhubungan
dan pergaulan antara kaum yang berlainan. Pergaulan mesra dan semangat bersatu padu
yang dijalin ini sejak di prasekolah lagi sudah mampu menjadi tiang kukuh untuk
membuktikan bahawa rakyat Malaysia patuh pada prinsip Rukun Negara. Hal ini sangat
penting untuk memupuk perpaduan kaum di Malaysia dalam sanubari anak-anak sejak di
bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semua kekangan untuk
mempererat perpaduan kaum akan dapat diselesaikan jika anak-anak telah mempelajari cara-
cara untuk berinteraksi dengan orang yang berlainan kaum sejak kecil.

Bagi mempererat perpaduan antara kaum di bumi bertuah ini, media massa pula
mempunyai peranan yang tersendiri. Semua saluran media di Malaysia, tidak kira media
cetak atau elektronik, membuat liputan yang begitu bertanggungjawab tentang isu-isu yang
membabitkan kaum. Pihak media jarang-jarang menyiarkan berita yang boleh menggugat
perpaduan nasional dan kestabilan politik negara. Pihak media harus sedar betapa besarnya
peranan dan pengaruh yang ada pada mereka. Justeru, mereka sungguh berhati-hati dalam
mengendalikan sesuatu isu sensitif yang menyentuh soal bangsa, agama dan bahasa. Banyak
pengajaran yang telah kita terima daripada peristiwa-peristiwa hitam yang pernah melanda
negara seperti Peristiwa 13 Mei 1969.
Seterusnya, perpaduan dapat dikukuhkan melalui penglibatan dalam kegiatan
sukan. Hal ini demikian kerana melalui bersukan, semua lapisan masyarakat dapat
melibatkan diri tanpa mengira perbezaan kaum. Berkongsi minat dalam sukan yang sama
akan melahirkan sikap tolong-menolong dan saling menghormati di samping memupuk
semangat kesukanan dan semangat berpasukan yang tinggi. Rakyat Malaysia tanpa mengira
kaum akan sama-sama memberikan sokongan padu kepada atlet-atlet yang bertanding atas
semangat Malaysia Boleh. Tegasnya, kegiatan sukan dapat menyatukan semua kaum dalam
sesebuah pasukan.
Secara tuntasnya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan bekerjasama
untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Hal ini penting supaya negara dapat
berkembang maju dengan lebih lancar bawah gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Oleh itu, kita yang sudah melalui
zaman prakemerdekaan yang perit dan pahit haruslah mengisi kemerdekaan dengan penuh
semangat perpaduan kaum. Semangat perpaduan harus disemai dan diingati sampai bila-bila
agarWawasan 2020 menjadi realiti, bukannya fantasi semata-mata.

Das könnte Ihnen auch gefallen