Sie sind auf Seite 1von 4

PEMBUDAYAAN BAHASA

Dewasa ini, penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat kota di Malaysia
semakin berkurangan. Kebanyakan mereka bertutur dalam bahasa Melayu rojak yang
bercampur dengan bahasa Inggeris menyebabkan bahasa Melayu tidak dituturkan
dengan cara yang betul. Buku Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu diterbitkan
bertujuan untuk memantapkan keupayaan bahasa Melayu sebagai wahana komunikasi
dalam segala aspek kehidupan.

Usaha pemartabatan bahasa Melayu melalui penggayaan korpus ini haruslah bersifat
tuntas mencakupi ejaan, sebutan, perbendaharaan kata, tatabahasa dan laras bahasa
melalui aktiviti penyelidikan dan pengembangan dengan berlandaskan teori linguistik
semasa. Keupayaan sesuatu bahasa menjadi bahasa komunikasi apabila semua
masyarakatnya menuturkan dan menggunakan bahasa ibundanya dalam sebarang
situasi dan membuktikan mereka mencintai bahasanya. Jika sesuatu bangsa
menggunakan bahasa ibunda masing-masing, pastinya setiap bahasa mampu menjadi
bahasa komunikasi yang mantap dan berkesan. Ungkapan “bahasa jiwa bangsa”
melambangkan rapatnya hubungan antara bangsa Melayu dengan bahasanya. Bahasa
melambangkan kekuatan sesuatu bangsa.

Buku ini dibahagikan kepada empat bahagian. Pembudayaan Bahasa dan


Pembentukan Bangsa (pertama), Pembudayaan Bahasa Melayu Melalui Wahana
Tulisan dan Penerbitan (kedua), Pembudayaan Bahasa Melayu dalam Pendidikan
(ketiga), dan Pembudayaan Bahasa Melayu dalam Penulisan Kreatif (keempat). Buku
ini turut memuatkan makalah beberapa orang ahli bahasa tersohor negara. Antara
penulis yang terlibat termasuklah Awang Sariyan, Amat Juhari Moain, Arba’ie Sujud,
Samsina Abd. Rahman dan beberapa orang pengkaji bahasa dari Universiti Putra
Malaysia (UPM). Buku ini terhasil daripada Seminar Antarabangsa Linguistik dan
Pembudayaan Bahasa Melayu yang dianjurkan oleh Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti
Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM bersama-sama dengan Dewan Bahasa dan
Pustaka, serta Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (kini
Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan).

Awang Sariyan membincangkan pembudayaan bahasa dan pembentukan rupa bangsa.


Antara isu yang dibincangkan termasuklah isu pembudayaan bahasa Melayu dari sudut
taraf dan mutu bahasa Melayu yang mengalami kemerosotan kerana terdapat pelbagai
tantangan dan halangan, seperti penggunaan bahasa Melayu dalam bidang
pentadbiran, undang-undang, penyiaran dan pendidikan yang kian mengecil. Selain itu,
Awang Sariyan turut memaparkan pembudayaan bahasa Melayu dalam aspek
penggunaannya dalam pelbagai ranah yang mendasari pembentukan jati diri Melayu
yang perlu dibudayakan.

Paramasivam pula memaparkan bentuk alih kod dalam pertuturan berbahasa Melayu
dalam kalangan pelajar Tamil. Secara umumnya, terdapat dua golongan penutur
bahasa Tamil yang menunjukkan perbezaan dari aspek pertuturan. Yang pertama,
kumpulan penutur yang mempunyai latar belakang dan menerima pendidikan Tamil
secara formal. Kumpulan kedua pula merupakan penutur yang menerima pendidikan
secara tidak formal yang lebih terdedah kepada pengaruh bahasa pertuturan yang lain,
terutamanya bahasa Melayu sehingga berlaku percampuran bahasa yang lebih ketara
kerana berlaku pembudayaan bahasa Melayu dalam komunikasi harian mereka. Dalam
kajian yang dijalankan oleh Normaliza Abd. Rahim et al. membuktikan wujudnya
bahasa Melayu bercorak eksklusif dalam teks pelajar (kajian ke atas pelajar UPM) yang
tidak menunjukkan pemupukan jati diri Melayu.

Bahagian dua yang mengkaji pembudayaan bahasa Melayu melalui wahana tulisan dan
penerbitan memulakan kajian dengan sejarah budaya tulisan dalam bahasa Melayu
oleh Amat Juhari Moain. Beliau mengkaji sejarah budaya tulisan bahasa Melayu sejak
zaman protosejarah bangsa Melayu hingga kini, yang merangkumi tulisan dalam
tamadun Melayu, budaya tulisan melalui tulisan Jawi dan budaya tulisan dalam bahasa
Melayu menggunakan tulisan Rumi. Budaya tulisan dalam bahasa Melayu berkembang
dengan begitu pesat setelah menggunakan tulisan Rumi. Perkembangan ini disebabkan
oleh budaya dan tamadun Melayu yang menerima pengaruh moden dari barat dan
perkembangan sains dan teknologi moden yang kuat menerjah bangsa, budaya dan
tamadun Melayu. Perkembangan ini terhenti dan mengecil apabila berlakunya
perubahan peranan bahasa Melayu dalam pembelajaran bahasa Inggeris dalam mata
pelajaran Sains dan Matematik di sekolah di negara kita.

Banyak pengkaji berminat untuk menjalankan kajian pembudayaan bahasa Melayu


dalam bidang pendidikan. Dalam buku ini, ditampilkan kajian Arba’ie Sujud iftal. yang
mengkaji pembudayaan bahasa Melayu secara umum dari perspektif pengajaran dan
pembelajaran yang dibincangkan di bahagian tiga. Tujuan utama kajian ini adalah untuk
melihat bahawa pembudayaan bahasa amat perlu dilaksanakan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah supaya pelajar dapat
menguasai kecekapan berbahasa, malah turut melibatkan aspek luarannya.
Pembelajaran sesuatu bahasa itu tidak akan berkesan sekiranya aspek luarannya,
seperti budaya berbahasa tidak diberikan tumpuan. Selain itu, kesopanan berbahasa
juga diberikan tumpuan dalam kajian ini bagi mendedahkan pelajar tentang peri
pentingnya budaya dan kesopanan dalam berbahasa. Pelajar turut diminta supaya
sentiasa berhati-hati apabila menyatakan sesuatu agar tidak menggunakan bahasa
yang kasar dan biadab. Dalam konteks pendidikan, tujuan ini boleh dicapai melalui
penggunaan pendekatan, kaedah, teknik, aktiviti, bahan pengajaran serta sistem
penilaian yang sesuai.

Vijayaletchumy a/p Subramaniam pula mengkaji kepentingan aspek neurologi dalam


pembelajaran bahasa. Neurologi merupakan satu daripada cabang ilmu linguistik yang
mencakupi neurolinguistik. Perkara utama dalam kajian ini ialah kerjasama antara dua
ahli, iaitu ahli bahasa (linguistik) dan ahli neurologi. Neurologi ialah aspek kajian saintifik
tentang sistem saraf manusia dan kesannya terhadap pembelajaran bahasa. Terdapat
empat bahagian yang perlu dikaji, iaitu autonomi sistem saraf pusat, beberapa aspek
berkaitan bahasa dengan otak, fungsi yang dijalankan oleh setiap serebrum, dan satu
gangguan otak yang memberikan kesan kepada sesuatu bahasa serta terhadap
ekspresi dan kefahaman secara am. Jika berlaku masalah neurologi dalam otak
manusia, maka gangguan bahasa akan terjadi. Gangguan bahasa boleh ditandai atau
dikesan daripada tahap pemahaman, penghasilan (verbal) atau penggunaan bahasa
yang rendah oleh seseorang individu. Namun begitu, terdapat juga individu yang
mengalami masalah gangguan bahasa yang mempunyai daya tanggapan yang luar
biasa sehingga mempengaruhi pendengaran, pembacaan, penulisan, pertuturan, malah
matematik. Pelajar yang menghadapi masalah ini selalunya akan dicap sebagai malas
atau gagal memberikan tumpuan oleh guru yang kurang arif tentang aspek neurologi.

Anzarudin Ahmad dan Muhammad Saiful Haq Hussin pula mengkaji tentang
pembudayaan bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak atau murid prasekolah.
Proses pemerolehan dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak
merupakan perkara yang kompleks dan amat menakjubkan. Hal ini dapat dilihat
daripada dua paradigma, iaitu Mentalisme dan Behaviorisme. Dalam kajian ini, pengkaji
mengenal pasti perbezaan dan persamaan yang wujud dalam aspek bahasa, seperti
sintaksis, morfem, semantik, dan kosa kata yang digunakan oleh kanak-kanak
prasekolah yang datang daripada latar belakang keluarga yang berbeza semasa
mereka bercerita. Faktor persekitaran yang melatari kanak-kanak juga dikenal pasti
sebagai faktor yang mempengaruhi persamaan dan perbezaan antara mereka.

Siti Hamin Stapa dan Abdul Hameed Abdul Majid, sarjana Bahasa Melayu turut
mengkaji penggunaan bahasa kedua atau bahasa asing dalam pembelajaran Sains dan
Matematik di sekolah. Pengkaji ini melakukan kajian dari sudut penggunaan bahasa
pertama dalam pengajaran penulisan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar yang
lemah bahasa tersebut. Hasil kajian membuktikan bahawa tidak salah menggunakan
bahasa Melayu dalam pengajaran penulisan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar
yang lemah penguasaannya dalam bahasa Inggeris. Pelajar bukan hamba kepada
bahasa pertama mereka dalam mempelajari bahasa kedua tetapi gunakanlah bahasa
pertama dengan bijak pada situasi yang perlu berpandukan pertimbangan yang wajar.

Bahagian keempat buku ini mengumpulkan hasil kajian tentang keindahan berbahasa
melalui beberapa kajian penggunaan bahasa Melayu dalam penulisan kreatif. Washima
Che Dan dan Noritah Omar menunjukkan penerapan bahasa Melayu sebagai
pembentukan jati diri melalui kesusasteraan. Samsina Abd. Rahman mengkaji
pembudayaan bahasa Melayu melalui genre puisi, manakala Nik Rafidah Nik
Muhammad Affendi et al. membincangkan corak penyataan lisan dan bukan lisan
dalam novel Putera Gunung Tahan dari perspektif budaya Melayu.

Secara keseluruhannya, buku Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu ini memberikan
banyak maklumat yang boleh dimanfaatkan untuk pemerkasaan bahasa Melayu. Dalam
usaha memartabatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa, aspek pembudayaan
bahasa Melayu dalam kehidupan wajar diutamakan dalam kalangan masyarakat yang
merangkumi aspek pendidikan, penulisan karya kreatif, ataupun aktiviti sosial yang
dapat meningkatkan keyakinan khalayak kebangsaan dan antarabangsa.
Buku ini membantu menyerlahkan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu
dan komunikasi pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta dapat
menghapuskan sikap ragu-ragu sesetengah pengguna bahasa terhadap kemampuan
bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan komunikasi. Buku ini amat bermanfaat kepada
semua pencinta bahasa khususnya pelajar dan penyelidik di institusi pengajian tinggi.
Penerbitan buku ini dapat menanamkan sikap cinta dan bangga terhadap bahasa
kebangsaan sebagai jati diri negara. Siapa kata bahasa Melayu tidak mampu menjadi
bahasa ilmu dan komunikasi? Sejarah telah membuktikannya dan kita sebagai warga
dan penuturnya bertanggungjawab untuk mengembalikan martabat bahasa Melayu di
mata dunia.

Das könnte Ihnen auch gefallen