Sie sind auf Seite 1von 7

JURNAL REFLEKTIF MINGGUAN

MINGGU ke-5 ( 29 Februari 2016– 3 Mac 2016)

Nama Pelajar : Wong Siaw Yih


Kursus & Ambilan : PISMP Sem 7 Pendidikan Pemulihan 2
Tempoh Praktikum : 24 Januari 2016 – 28 April 2016
Pengkhususan : Pendidikan Pemulihan Pendidikan Rendah
Nama Guru Pembimbing : Puan Tan Kai Ching
Nama Pensyarah Penyelia : Tuan Haji Abdul Rahim bin Haji Marzuki

1.0 Masalah Yang Difokuskan


Minggu ini merupakan minggu kelima saya menjalani praktikum di SJK(C)
Soon Cheng. Semasa mengendalikan sesi pengajaran dan pembelajaran
bagi pemulihan Matematik pada bersamaan hari Rabu, saya mendapati
bahawa salah seorang murid pemulihan kurang berminat dalam menjalani
aktiviti pada langkah interaksi pengajaran dan latihan bertulis yang bersifat
akademik. Dia menunjukkan sikap kurang sabar dan terdapat ciri-ciri merajuk
apabila diminta menyiapkan latihan bertulis. Jadi, masalah yang ingin saya
fokus pada minggu ini ialah masalah kurang minat dalam pembelajaran dalam
kalangan murid pemulihan.

2.0 Perkembangan
Walaupun murid tidak berminat terhadap pembelajaran, dia tetap berasa
seronok dan bermotivasi semasa menjalankan aktiviti pengukuhan, iaitu
aktiviti permainan yang bertujuan mengukuhkan penguasaan murid terhadap
sesuatu kemahiran yang dipelajari. Murid tersebut juga memberitahu bahawa
dia amat gemar bermain permainan tersebut, yakni memancing ikan dan
menembak. Dengan ini, boleh dikatakan bahawa murid tersebut lebih gemar
bermain daripada belajar. Minat terhadap pembelajaran amat penting supaya
murid dapat mengikuti pembelajaran dengan berkesan.

3.0 Analisis Masalah


Masalah kurang minat terhadap pembelajaran dalam kalangan murid
pemulihan dikaji dari aspek punca dan kesannya.
3.1 Punca
Kurang minat terhadap pembelajaran berpunca daripada sebab-sebab
tertentu. Jika punca masalah tidak dapat dikesan, maka sudah tentu sesi
pemulihan tidak dapat dijalankan dengan jayanya. Menurut Jais Sahok & Mat
Nor Husin (1990), punca kanak-kanak mundur dalam pembelajaran terbahagi
kepada masalah dalaman dan luaran. Masalah dalaman diri kanak-kanak
meliputi jasmani, emosi, kecerdasan, jantina, umur dan sebagainya manakala
masalah luaran merangkumi latar belakang sosial, ekonomi dan persekitaran
yang mempengaruhi kemajuan murid. Jais Sahok & Mat Nor Husin (1990)
merumuskan punca masalah terbahagi kepada tiga faktor seperti berikut:

Kecerdasan (daya ingatan yang lemah)


Faktor
psikologi
Kesihatan emosi (gangguan emosi)

Punca kesihatan fizikal


mundur dalam Faktor Biologi
pembelajaran
Fungsi neurologi

Pengalaman belajar
Faktor
Persekitaran
Amalan sekolah

Rajah 1: Punca murid pemulihan dalam pembelajaran


3.2 Kesan
Murid pemulihan mempunyai ciri-ciri tertentu yang memberi kesan secara
langsung atau tidak langsung terhadap pembelajaran mereka dari aspek
kesediaan kognitif, afektif dan psikomotor. Jamilah Ahmad (1999)
menyatakan ciri-ciri murid pemulihan dari aspek sikap adalah tidak
menunjukkan minat terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran, aspek
sosial ialah mempunyai konsep kendiri yang rendah dan aspek emosi ialah
tidak ketahuan dan cepat bosan. Ketiga-tiga aspek ini amat berkait rapat
dengan minat dalam pembelajaran.
Dengan erti kata, minat belajar amat penting dalam memastikan murid
dapat belajar dengan berkesan di samping membantu kelancaran dalam
pengendalian aktiviti pembelajaran. Murid yang kurang minat terhadap
pembelajaran boleh menyebabkan mereka berasa cepat bosan dan tidak
tertarik untuk mengikuti aktiviti. Dengan ini, sudah tentu murid sukar
mengingat dan lambat dalam menguasai kemahiran yang diajar.
Kurang minat dalam pembelajaran menyebabkan tertimbulnya
gangguan terhadap proses pengajaran pemulihan menerusi masalah disiplin
apabila murid berkenaan tidak menumpukan perhatian, tidak mengikuti
arahan dan menunjukkan sikap malas terhadap sebarang aktiviti
pembelajaran. Senario ini akan menjadi ikutan kepada murid-murid yang lain
dan seterusnya mengganggu kelancaran aktiviti pengajaran dan
pembelajaran.
Bukan itu sahaja, kurang minat dalam pembelajaran juga boleh
meninggalkan implikasi terhadap masa depan murid dalam konteks
pembelajaran sepanjang hidup. Murid tidak peka dan tidak menyedari
kepentingan menimba ilmu dan pengaruhnya terhadap kualiti kehidupan
secara fizikal dan rohani.

4.0 Kajian Lampau Yang Berkaitan Dengan Masalah


Salah satu kajian yang berkaitan dengan minat dalam pembelajaran telah
dilaksanakan oleh Nurul Ain Hamsari & Azizi Yahaya yang bertajuk “Peranan
Motivasi Pembelajaran, Gaya Keibubapaan dan Sikap dengan Pencapaian
Akademik”. Dalam kajian ini, penyelidik mengkaji hubungan antara motivasi
pembelajaran, gaya keibubapaan dan sikap pelajar dengan pencapaian
akademik dalam kalangan murid sekolah. Konteks kajian ini meliputi
pengaruh status sosioekonomi khususnya pendapatan yang diperolehi ibu
bapa dalam tempoh sebulan dan lokasi tempat tinggal pelajar, gaya
keibubapaan, keprihatinan ibu bapa terhadap pendidikan anak. Teori Hierarki
Keperluan Maslow pula dipilih oleh penyelidik sebagai model kajian kerana
teori ini mengambil kira konsep penghargaan kendiri yang amat berkait rapat
dengan motivasi dan minat dalam pembelajaran.

5.0 Cadangan Penyelesaian Masalah


Salah satu cara untuk mengatasi maslaah kurang minat terhadap
pembelajaran dalam kalangan murid pemulihan ialah penerapan unsur main
atau seni dalam pendidikan (SDP) dalam aktiviti pembelajaran dan
pengajaran. Hal ini demikian kerana murid amat berminat dan aktiviti yang
tidak berunsur akademik, seperti permainan, melukis atau mewarna. Menurut
Ornstein dan Hunkins (2004) dalam Sharifah Nor Puteh & Aliza Ali (2011),
pembelajaran mesti berdasarkan keperluan dan minat kanak-kanak. Hal ini
kerana proses pembelajaran yang mengambil kira keperluan dan keinginan
kanak-kanak boleh mengekalkan minat murid terhadap pelajaran secara
berterusan di samping mengatasi masalah tingkah laku. Aktiviti permainan
dijalankan dengan penerapan unsur seni pergerakan lokomotor dan bukan
lokomotor bertujuan memenuhi keinginan asas kanak-kanak dan pada masa
yang sama dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang
memberangsangkan di mana masalah tingkah laku murid dapat dikawal dan
mengelakkan murid daripada kebosanan. Menurut Sharifah Nor Puteh & Aliza
Ali (2011), aktiviti bermain adalah sebahagian daripada dunia kanak-kanak.
Dengan ini, proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih
berkesan jika unsur permainan diterapkan dalam pengajaran bahasa kerana
teknik ini telah memenuhi keperluan untuk bermain dalam diri kanak-kanak.
Dengan ini, elemen SDP boleh diterapkan untuk mempelbagaikan aktiviti
pengukuhan. Justeru, murid pemulihan berpeluang belajar sesuatu
kemahiran dalam suasana yang menyeronokkan, bersahaja dan bermakna
melalui permainan.
Menurut Sapiah Hamid & Halimah A. Rahman (1992), terdapat dua bentuk
permainan yang boleh digunakan oleh guru, yakni dalam bentuk pertandingan
dan penghayatan kendiri:

a) Permainan berbentuk pertandingan boleh dijalankan secara individu,


berpasangan atau berkumpulan. Cara untuk menentukan kalah dan
menang adalah berdasarkan kiraan mata, tempoh masa yang
ditetapkan dan individu atau kumpulan yang paling cepat menyiapkan
permainan dengan jawapan yang lebih tepat daripadapihak lawan.
Contoh permainan adalah seperti sahiba, monopoli, dam ular, ludo,
meneka perkataan, membina perkataan dan siapa saya.
b) Permainan berbentuk penghayatan kendiri pula dijalankan untuk
memenuhi masa lapang, minat, keseronokan dan perkembangan
kendiri. Antara permainan yang boleh dijalankan adalah seperti
mencari perkataan tersembunyi, teka silang kata dan sebagainya.

Nurul Ain Hamsari & Azizi Yahaya (2012) mengatakan bahawa guru
perlu sentiasa memberi peneguhan serta-merta kepada murid apabila mereka
memperlihatkan tingkah laku positif. Peneguhan ini boleh diberi dalam
pelbagai bentuk seperti pujian, senyuman atau pun hadiah. Secara tidak
langsung, ia dapat mempertingkatkan lagi aras motivasi dan semangat serta
prestasi murid pemulihan dalam mempelajari sesuatu kemahiran. Perlu diberi
perhatian bahawa peneguhan yang diberi hendaklah sesuai dengan
kehendak murid. Hal ini demikian kerana bukan semua murid mengharapkan
ganjaran dalam bentuk yang sama selaras dengan teori perbezaan individu.
Kaedah nasihat, berbual-bual dan berdamping dengan murid juga
merupakan langkah yang sesuai bagi membolehkan guru meningkatkan minat
dan motivasi murid pemulihan dalam pembelajaran. Kaedah ini merupakan
langkah penting dalam mewujudkan hubungan guru-murid yang erat.

6.0 Tempoh Masa Yang Ditetapkan Untuk Menyelesaikan Masalah Yang


Dihadapi
Sepanjang praktikum (minggu keenam hingga minggu ke-12).

7.0 Tindakan Susulan


Antara tindakan yang diambil adalah seperti berikut:
Bil. Tindakan Waktu
1. Penerapan unsur permainan dan unsur SDP Langkah interaksi
dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran pengajaran, latihan
bertulis dan aktiviti
pengukuhan
2. Memberi peneguhan serta merta dan Sepanjang proses P&P
menunjukkan sebab murid diberi ganjaran
3. Berbual-bual dan berdamping dengan murid Waktu rehat dan waktu
untuk menerangkan kepentingan latihan selepas sesi
bertulis dan sebab di sebalik tindakan guru persekolahan
semasa di dalam kelas

8.0 Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, minat dalam pembelajaran perlu dipupuk
sebagai langkah penting dalam pelaksanaan program pemulihan. Hal ini
kerana konsep pemulihan ialah mengarahkan keadaan dan kesediaan belajar
pada keadaan asal murid (Jais Sahok & Mat Nor Husin, 1990). Minat dan
motivasi dalam pembelajaran merupakan salah satu aspek dalam kesediaan
afektif yang membantu murid bersedia untuk belajar dari segi emosi. Untuk itu,
permainan dapat memberikan peluang yang baik kepada murid untuk
meningkatkan minat dan motivasi murid dalam pembelajaran. Oleh itu, guru
haruslah memanfaatkan proses main untuk memupuk minat belajar secara
beransur-ansur.

9.0 Rujukan
Jais Sahok & Mat Nor Husin. (1990). Pendidikan pemulihan. Selangor Darul
Ehsan: Masa Enterprise.

Jamilah Ahmad. (1999). Panduan pengajaran pemulihan Bahasa Melayu:


KBSR & KBSM. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Nurul Ain Hamsari & Azizi Yahaya. (2012). Peranan motivasi pembelajaran,
gaya keibubapaan dan sikap dengan pencapaian akademik. Journal of
Educational Psychology & Counseling, 5, 30-57. Diakses pada 2 Mac
2016 dari http://eprints.utm.my/23001/1/JEPC-5-2012-004.pdf

Sharifah Nor Puteh & Aliza Ali. (2011). Pendekatan bermain dalam pengajaran
bahasa dan literasi bagi pendidikan prasekolah. Jurnal Pendidikan Bahasa
Melayu, Vol 1, Bil 2, 1-15. Dimuat turun pada 2 Mac 2016 dari
http://www.ukm.my/jpbm/pdf/1-16_Artikel%201_Sharifa_Nor_dan_Aliza.pdf
Pandangan/ Komen Guru Pembimbing

…………………………………………………………………………………………
…………………………………………………………………………………………
Tarikh: ……………………………………
Tandatangan: ……………………………….
Nama: PUAN TAN KAI CHING
Guru Pembimbing,
Program Pendidikan Pemulihan
SJK (C) SOON CHENG.

Pandangan/ Komen Pensyarah Pembimbing

…………………………………………………………………………………………
…………………………………………………………………………………………
Tarikh: ……………………………………
Tandatangan: ……………………………….
Nama: TUAN HAJI ABDUL RAHIM BIN HAJI MARZUKI
Pensyarah Pembimbing,
Jabatan Pendidikan Khas,
IPG KAMPUS DARULAMAN.

Das könnte Ihnen auch gefallen