You are on page 1of 2

PENYATAAN PROFESIONAL INTERNSHIP

Internship merupakan satu wadah yang memberi peluang kepada guru pelatih untuk
menjalankan tugasan projek serta membina insan guru secara reflektif dalam situasi sebenar di
sekolah di bawah bimbingan seorang mentor yang merupakan guru di sekolah. Internship ini
memfokuskan kepada tugasan projek yang perlu dilaksanakan di sekolah di samping satu hari
waktu mengajar di prasekolah dalam seminggu. Tugasan projek adalah secara individu yang
mana setiap orang mestilah melaksanakan sebuah projek inovasi di sekolah yang terpilih.
Tugasan projek yang dilaksanakan perlulah dilakukan sedari awal bermula dari penyediaan
kertas kerja, diikuti dengan pelaksanaan seterusnya adalah menyediakan laporan tentang
projek yang dijalankan.

Program Internship pada kali ini telah menempatkan saya di Sekolah Kebangsaan
Putrajaya Presint 9(1), Jalan P9F, Presint 9, 62250, Putrajaya selama sebulan. Penempatan
sekolah ini telah ditetapkan oleh Unit Praktikum IPG Kampus Pendidikan Islam. Sekolah
Kebangsaan Putrajaya Presint 9(1) merupakan sekolah yang sama saya menjalankan
praktikum fasa kedua pada semester lepas. Banyak perkara yang perlu dilakukan dan
diselesaikan semasa menjalankan internship di sekolah. Memandangkan internship ini
dijalankan selama sebulan, maka kami telah disusun dengan beberapa perkara yang perlu
dilaksanakan sepanjang empat minggu berada di sini. Pada minggu pertama, kami diarahkan
untuk menyiapkan kertas kerja cadangan tugasan projek yang hendak dilaksanakan.

Seterusnya pada minggu kedua dan ketiga, kami perlu melaksanakan tugasan projek
seperti yang telah dirancang. Dan yang terakhir pada minggu keempat kami perlu menyiapkan
laporan berdasarkan projek yang telah dijalankan. Dalam masa yang sama juga saya perlu
menyiapkan beberapa tugasan lain seperti mengajar di kelas sebanyak satu hari penuh di
prasekolah, sentiasa bersedia untuk melakukan tugas yang diberikan oleh pihak sekolah,
menyertai segala aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah, menghadirkan diri pada setiap
perjumpaan guru-guru. Selain itu, saya juga perlu menyiapkan semua perkara yang telah
disenaraikan dalam senarai semak portfolio internship.

Sebagai bakal guru juga saya perlu menjalin hubungan yang baik bersama semua
warga sekolah termasuk jaga, tukang kebun dan juga pekerja kantin. Memandangkan Sekolah
Kebangsaan Putrajaya Presint 9(1) ini merupakan sekolah yang pernah saya jalani praktikum di
sini, maka hubungan dengan pihak sekolah sudah terbina dengan baik sebelum ini. Maka
adalah diharapkan agar hubungan baik yang telah dibina sebelum ini akan memudahkan kerja-
kerja kami untuk melaksanakan tugasan projek seperti yang diarahkan oleh IPG sebagai
persediaan terakhir sebelum keluar mengajar kelak. Walau bagaimanapun, saya percaya
bahawa persediaan mental dan fizikal perlu dilakukan memandangkan internship dan praktikum
merupakan dua perkara yang berbeza. Oleh itu, diharapkan agar saya dapat menempuhi
internship pada kali ini dengan jayanya.

Untuk internship pada kali ini, saya berharap agar dapat melakukan yang terbaik dalam setiap
perkara yang saya lakukan. Saya juga sentiasa bersedia untuk menerima tunjuk ajar, nasihat
dan teguran dari pihak sekolah sekiranya terdapat kesalahan di mana-mana kerana mereka
sememangnya mempunyai banyak pengalaman dan layak untuk menjadi pembimbing saya
dalam menjalankan tugasan projek yang diberikan. Semoga segala perkara yang saya lakukan
tidak sia-sia sebaliknya dapat mendatangkan manfaat kepada orang lain dan diri sendiri.