Sie sind auf Seite 1von 2

(SMK Padang Midin tercalon dalam lima utama Anugerah Kecemerlangan GPSBestari

kategori Kantin Paling 'A')

KUALA TERENGGANU – Kantin sekolah adalah tempat utama yang sentiasa menjadi tumpuan
para pelajar, guru, ibu bapa mahupun tetamu sekolah untuk menjamu selera.

Tidak hairanlah, kantin yang terdapat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin,
Kuala Terengganu, menyediakan makanan paling sedap dan menepati cita rasa, malah
mengutamakan kebersihan dan keceriaan.

Pengetua SMK Padang Midin, Zah Mohamad berkata, tagline kantin sekolahnya, ‘Enak, Ceria
dan Berinformasi’ itu mendapat pengiktirafan kantin sangat bersih atau ‘A’ oleh Kementerian
Kesihatan.

Kantin itu juga turut menjadi kantin contoh kerana mendapat gelaran Kantin Paling Bersih A, di
Terengganu.

“Kantin ini sentiasa mendapat penilaian terbaik Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Terengganu
dan kantin sekolah ini seiring dalam Memperkasakan Transformasi Pendidikan Terengganu
dengan mempelbagaikan informasi terkini dan berkesan di segenap penjuru kantin.

“Pelbagai sudut Kreatif dan Inovatif turut disediakan seperti sudut Bacalah Sayang yang
menyediakan sudut bacaan kepada pelajar.

“Begitu juga dengan Pentas Ekspresi yang dibina untuk pelajar mempamerkan bakat dalam
nyanyian, pidato, tarian dan sebagainya, manakala Sudut Kitar Semula juga disediakan dalam
usaha mendidik pelajar melestarikan alam sekitar,” katanya.

Pelajar sentiasa mengukir senyuman walaupun ketika perlu berasak-asak membeli makanan di
kantin.

Ditanya mengenai kejayaan sekolah itu menyertai kategori Kantin Paling A, Zah berkata, kantin
berkenaan sememangnya layak kerana sering mendapat pujian sekiranya tetamu luar datang ke
sekolahnya.

Menu lazat, utamakan kebersihan, keceriaan

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Multimedia Kantin, Rosilawani Yaacob berkata, kantin yang
juga dikenali sebagai Kafeteria Setia Selera
sering mengutamakan kebersihan, keselamatan, keceriaan, keenakan dan berinformasi.

“Kantin ini menyediakan pelbagai masakan kepada guru, murid dan tetamu yang datang ke SMK
Padang Midin.

“Makanan di sini juga berkhasiat, seimbang, bersih dan enak antaranya nasi dagang, nasi
kerabu, mee sup, nasi Arab dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, kantin itu turut dihias dengan penuh keceriaan, cantik dan menarik supaya pelajar
dan warga sekolah dapat makan dalam keadaan selesa.
Kantin yang mendapat tahap kebersihan A itu turut menyediakan sudut bacaan, papan
kenyataan dan bakul maklumat bagi meningkatkan pengetahuan warga sekolah khususnya para
pelajar.

Seorang guru, Che Ku Zawiah Che Ku Ibrahim berkata, banyak kemudahan yang terdapat di
kantin termasuk alat timbang berat badan dan info kesihatan, secara tidak langsung membantu
pelajar dan guru mengawal pemakanan yang diambil demi kesihatan.

Bercerita mengenai dekorasi kantin, Che Ku Zawiah berkata, kebanyakan tetamu yang datang
ke sekolah itu begitu teruja melihat keadaan kantin yang seolah-olah tempat makan eksklusif.

“Harga makanan di sini juga berpatutan, malah ada menyediakan minuman dan kuih-muih
percuma kepada pelajar pada awal pagi dan sebelah petang,” katanya.

Perkara itu turut diakui pelajar di sekolah berkenaan, Sabila Hukma Kamarudin, yang menyukai
makanan di kantin sekolahnya.

“Saya suka tomyam dan nasi lauk ikan keli, harganya juga murah, semua pelajar dapat beli
kerana harga mampu milik dan makanan sihat. Suasana ceria di kantin ini juga membuatkan
saya teruja dan tidak sabar untuk ke kantin,” katanya.

Dendangan lagu pada waktu rehat

Bagi Noor Najihah Noruddin pula, waktu rehat amat dinanti-nantikan kerana selain dapat
menikmati makanan yang sedap, pelajar turut dihiburkan dengan kumpulan band yang akan
mendendangkan lagu untuk semua yang berada di kantin.

“Sambil makan sambil dengar lagu secara ‘live’, memang seronok dan tak akan dapat di tempat
lain, mereka pun mainkan lagi-lagu terkini yang disukai ramai.

“Hari-hari teruja hendak ke kantin sekolah sejak adanya band ini,” katanya.

Nurul Majidah Zamani, 18, juga tidak ketinggalan menjadi pelajar tetap yang datang ke kantin
setiap hari kerana sukakan sudut bacaan yang disediakan.

Katanya, semasa rehat, pelajar dapat membaca bahan-bahan bacaan lain seperti surat khabar
sambil menikmati makanan tengah hari.

“Saya suka kantin di sekolah ini, tong sampah pun banyak disediakan, jadi kami hanya akan
buang sampah di dalam tong yang disediakan.

“Pelajar juga tidak tergamak mengotorkan kantin kerana melihat kepada keadaan yang ceria ini,
kami sayang untuk kotorkan,” katanya.

Das könnte Ihnen auch gefallen