Sie sind auf Seite 1von 2

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang bermahkotakan keadilan, penjaga masa yang peka

dengan detik waktunya, serta sidang audiens yang terbuka hatinya. Selamat sejahtera dan salam satu Malaysia. Berdirinya saya di sini adalah untuk membawa anda semua menyelami dan mendalami tadahan wacana idea yang berbunyi, 1 Malaysia Kunci Kesejahteraan Negara. Sidang intelektual yang saya hormati, Sebelum bibir mengatur bicara, sebelum kata menyusur fakta, izinkan saya mendefinisikan mauduk pidato saya pada hari ini. Menurut Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita, Dato Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, 1 Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nila-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Rantaian frasa kunci kesejahteraan Negara pula membawa maksud medium bagi mencapai ketenteraman, kestabilan dan keharmonian tanah air tercinta. Secara keseluruhannya, gagasan 1 Malaysia yang diilhamkan oleh pemimpin nombor satu kita boleh dijadikan sebagai batu loncatan untuk meraih kemajuan yang berterusan. Definisi sudah pun terungkai. Rasionalisme yang pertama pembuka tirai . Sidang hadirin yang berwawasan , Kata kunci saya yang pertama adalah di bawah lembayung kata perpaduan. Perpaduan merupakan asas kepada pembentukan Negara yang harmoni dan sejahtera. Gagasan 1 Malaysia dilihat sebagai komponen yang afdal dalam menjadikannya satu kenyataan dan bukan anganan. Persis kata mutiara, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Kenyataan ini secara jelas telah menjadi satu bukti bahawa perpaduan dapat dipupuk melalui gagasan murni acuan sendiri Negara ini ,yakni 1 Malaysia yang dibicarakan tadi. Sudah tentu para hadirin tertanya-tanya bagaimana hendak memupuk perpaduan melalui gagasan ini. Untuk menjawabnya amat mudah namun untuk mengamalkannya begitu payah. Mengapa? Naik basikal, tanyalah akal. Saya ambil contoh satu teras perpaduan, iaitu penerimaan. 1 Malaysia menekankan sikap penerimaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dimana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain. Mari kita ambil contoh yang mudah. Orang Melayu suka makan roti canai Orang India, orang India pula suka Yong Tau Fu orang Cina, dan orang Cina sentiasa suka nasi lemak orang Melayu. Ada kaitannya disitu ya hadirin. Jika kita menerima keunikan sesuatu kaum itu, kita bukan sahaja akan hidup harmoni tetapi terselit keuntungan yang tidak dijangka disitu. Proses perpaduan akan menjadi semakin mudah. Sidang hadirin yang dikasihi, Kata kunci saya yang kedua dalam konteks Nilai-nilai Murni. Ya hadirin, pujangga pernah berkata, jika hati semendung awan, biarlah ia disinari mentari, dan jika hati sekeruh air, biarlah ia mengalir jernih. Jika hati rakyat tidak disemai nilai-nilai murni, dan berterusan diselubungi kegelapan maka, kesejahteraan yang diidam-idamkan akan menjadi kenang-kenangan. Disinilah 1 Malaysia memainkan peranannya. Gagasan ini merupakan aset yang mampu menangani kemelut ini dari terus menjadi barah yang jika tidak dicegah akan menjadi semakin parah. Dalami slogan itu dengan mata hati anda, nescaya anda akan temui keajaibannya. Peganglah, hayatilah dan amalkanlah nilai-nilai murni seutuhnya, seeratnya kerana jika tidak, impian kita akan menjadi fantasi semata-mata dan bukannya realiti yang didamba. Nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, rendah hati, kesederhanaan dan berbudi bahasa perlu ada dalam diri setiap rakyat Malaysia. Amat mudah untuk dituturkan namun cuma segelintir yang berjaya mengamalkan secara total. Penerapan nilai-nilai murni yang diuar-uarkan dibawah gagasan 1 Malaysia mampu dicapai melalui banyak cara. Sebagai contoh, Klinik 1 Malaysia yang telah dibina dengan peruntukan sebanyak RM10 juta. Disamping dapat membantu golongan berpendapatan rendah, klinik ini juga mampu melahirkan masyarakat yang berhati mulia. Bukan beteraskan keuntungan semata-mata, tetapi membantu mereka yang memerlukan di kala terluka. Alangkah indahnya hidup jika generasi muda menghormati yang tua dan generasi tua menyayangi yang muda. Alangkah bahagianya hidup jika si kaya bersikap tawaduk dan si miskin bersyukur apa adanya. Alangkah harmoninya hidup jika sang pemimpin berperwatakan sederhana dan rakyat jelata mampu menegur di kala kesalahan datang menjelma. Alangkah bertuahnya, ya hadirin.

Seterusnya, kata kunci saya yang ketiga, kestabilan ekonomi dan politik. Mari kita ambil contoh keadaan di Somalia. Betapa susahnya rakyat Negara itu mendapatkan bekalan makanan yang secukupnya. Mengapa ini terjadi? Kali ini, tepuk dada tanyalah minda. Keadaan ekonomi yang buruk menyebabkan rakyat tidak mampu untuk membeli makanan. Anak-anak kecil penggerak Negara masa hadapan menjadi mangsa kezalimanan ekonomi Negara. Sesungguhnya, ekonomi memainkan peranan besar dalam membentuk Negara sejahtera. Begitu juga halnya dengan politik. Sebelum bercakap mengenai Negara sendiri, izinkan saya mengajak sidang audiens yang budiman menyelami apa yang terjadi di Negara jiran, Thailand. Keadaan politik yang kucar-kacir dan pergolakan di sana sini menyebabkan Negara tersebut susah untuk mencapai kesejahteraan. Adakah kita, rakyat Malaysia inginkan keadaan yang serupa? Sudah tentu tidak, bukan? Jadi, dengan adanya gagasan 1 Malaysia ini, memberi kita lebih kesedaran tentang peri pentingnya untuk menjaga kestabilan ekonomi dan politik. Bagaimana? Nilai-nilai aspirasi yang diterapkan dalam aspek kedua gagasan 1 Malaysia punya jawapannya. Contohnya, budaya ilmu. Hanya dengan ilmulah negara mampu melahirkan bijak pandai yang akan memajukan Negara. Hanya dengan ilmulah Negara mampu melahirkan pemimpin-pemimpin yang disegani di mata dunia. Namun, orang yang berilmu sekarang semakin banyak yang meyimpang. Justeru, jadilah orang berilmu yang mengamalkan secara sahih apa yang dipelajari bukannya dengan memberi rasuah di sana sini. Kulawangsa dewan yang berpendidikan, Kita sedia maklum bahawa gagasan ini terlalu banyak dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu. Dibicarakan atas pentas politik dan diwarnai oleh kepentingan politik. Justeru, amat sukar untuk mencapai matlamat yang diinginkan apabila pentasnya ialah pentas politik. Oleh itu, marilah kita bersama-sama membuka mata dan minda untuk mendukung 1 Malaysia ini. Buang yang keruh, ambil yang jernih kerana kesejahteraan sesuatu Negara bergantung pada banyak mana kebajikan rakyat itu di jaga, bukan pada banyak mana kesalahan pihak lain direka. Akhir kata, sekian, terima kasih.

Das könnte Ihnen auch gefallen