Sie sind auf Seite 1von 3

ARTIKEL 1

KUMPULAN 2
ARUWIN RAJ A/L MOHAN BLEIA55A
JERRY LEONARDO BLEIA55

Ulasan Artikel: Sekali Air Bah, Sekali Pantai Berubah, Evolusi Kefahaman Mengenai
Perpaduan di Malaysia

1.0 Pengenalan
Artikel yang dipilih oleh kumpulan kami ialah Sekali Air Bah, Sekali Pantai Berubah:
Evolusi Kefahaman Mengenai Perpaduan di Malaysia yang ditulis oleh Shamsul Amri
Baharuddin pada tahun 2021 yang diterbitkan dalam Jurnal UKM, Akademika 91(3). Artikel
ini menelusuri perubahan konsep daripada fragmen kepada perpaduan dan proses yang dilalui
masyarakat. Pengkaji memberikan perincian kepada evolusi yang berlaku daripada pelbagai
sudut dan persoalan yang timbul dalam setiap konsep yang mengalami perubahan.
1.1 Isi kandungan artikel
Artikel ini membincangkan perubahan konsep daripada fragmen kepada kesatuan yang
berlaku semasa zaman kesultanan melayu melaka dan berubah kepada kesatuan selepas
British membawa masuk buruh asing untuk tujuan ekonomi. Kemasukan buruh asing
daripada India dan China bukan sahaja merubah corak sosio-ekonomi tempatan dan
seterusnya menjadi titik tolak kepada konsep yang seterusnya iaitu perpaduan. Bagi mencapai
kemerdekaan, rakyat tanah melayu perlu menerima migran cina serta India sebagai penduduk
tetap di tanah melayu dan hidup berbilang kaum. Hal ini telah mendatangkan konflik
berdarah di mana masyarakat Melayu tempatan telah bertegang urat dengan kaum cina.
Justeru, bagi menangani perselisihan antara kaum daripada terus memecah belahkan rakyat
pada ketika itu, pihak kerajaan perlu mengambil langkah drastik dengan menggubal dasar
yang mampu memupuk semangat perpaduan agar konsep kesatuan yang telah sebati dalam
diri masyarakat dapat dibuang. Namun begitu, sehingga ke hari ini, konsep perpaduan masih
lagi senantiasa diperbaharui selaras dengan pertukaran pucuk kepimpinan. Hal ini
menunjukkan bahawa walaupun telah diperkenalkan sejak peristiwa 13 Mei 1969, konsep
perpaduan tidak mampu dikatakan telah difahami oleh masyarakat secara total ataupun
menyeluruh. Sebagai tamsilan, semasa zaman pemerintahan Perdana Menteri Malaysia yang
ke enam, slogan 1 Malaysia dilaungkan bagi menggalakkan rakyat untuk memperkukuhkan
hubungan dan kerjasama antara masyarakat pelbagai kaum. Tidak dapat dinafikan bahawa
perpaduan merupakan kunci kepada kestabilan di negara ini dan masih perlu ditekankan oleh
pihak kerajaan. Masih dengan konsep yang hampir sama, Perdana Menteri Malaysia yang ke
lapan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, memperkenalkan “slogan Keluarga Malaysia” yang
juga menitikberatkan perpaduan dan perasaan cinta akan negara. Tuntasnya, perpaduan yang
utuh masih dalam proses untuk dicapai dan masih terdapat konflik konflik kecil antara rakyat
berbilang kaum di Malaysia dalam era globalisasi ini.
Perpaduan yang kita nikmati pada hari ini bukanlah perpaduan secara menyeluruh namun
suatu proses yang sedang diusahakan bersama atau “work in progress”. Konsep perpaduan
yang tidak utuh dan bermakna konsep kesatuan masih tersisa dalam masyarakat dan
terlahirlah konsep kesepaduan yang memberi gambaran kepada keruntuhan fahaman kesatuan
dan pergerakan kepada perpaduan dan keharmonian antara kaum. Tiada lagi konflik yang
mendatangkan mudarat secara fizikal seperti tragedi 13 Mei namun perpaduan nasional masih
belum dicapai kerana isu perkauman masih terjadi sehingga ke hari ini. Slogan dan visi-visi
berunsur semangat perpaduan yang dilaungkan oleh pemimpin tidak mempunyai suatu jangka
masa atau tarikh bila masanya visi ini akan tercapai kerana konsep perpaduan adalah proses
yang memakan masa dan masih diusahakan sehingga ke hari ini. Terdapat tiga penekanan
kepada persoalan mengapa konsep perpaduan masih belum dapat dicapai secara menyeluruh
dan dapat disimpulkan kepada masyarakat tidak memahami konsep perpaduan dengan lebih
mendalam dan memandangnya sebagai sesuatu yang mudah dicapai. Pada dasarnya,
perpaduan masih belum dicapai secara menyeluruh dan masih dalam usaha untuk diperbaiki.
Inisiatif jangka masa pendek bukanlah solusi yang ampuh untuk memberikan gambaran
dengan lebih terperinci kepada masyarakat mengenai konsep perpaduan yang sebenar.
Penekanan pengkaji terhadap perubahan isu sensitif dan konflik antara kaum yang berubah
selaras dengan peredaran zaman merupakan satu perkara yang sangat menarik untuk
dibincangkan dengan lebih mendalam. Konflik antara kaum Melayu dan Cina yang menjurus
kepada pertumpahan darah antara kemuncak kepada impak ketidakstabilan sosial yang
mengakibatkan kematian. Ramai ahli masyarakat yang terkorban kerana perselisihan antara
kaum. Pelbagai inisiatif telah diambil oleh pihak kerajaan dan perubahan mentaliti dalam
kalangan masyarakat sendiri telah membawa kita kepada konsep perpaduan pada hari ini.
Namun begitu, perselisihan masih berlaku. Perselisihan pada hari ini adalah tidak
berunsurkan keganasan atau fizikal tetapi melalui saluran digital seperti media sosial atau
saluran lain. Tragedi 13 Mei telah merubah corak pemikiran masyarakat untuk memilih
perundingan dan tidak menggunakan kekerasan dalam menangani konflik antara kaum.
Selain itu, konsep kesatupaduan yang membentuk perjanjian sosial antara kaum iaitu, untuk
‘bersetuju untuk bersetuju’ dan ‘bersetuju untuk tidak bersetuju juga merupakan titik tolak
kepada membina keharmonian antara kaum. Hal ini menunjukkan keterbukaan pemikiran
masyarakat pelbagai kaum untuk memahami dengan minda yang terbuka dan mencari
penyelesaian secara perundingan damai sekaligus memberi ruang kepada perpaduan sejagat.
Artikel ini juga menyentuh wajah yang ditampakkan dalam konsep “kepelbagaian” iaitu
wajah positif, negatif dan wajah idaman. Kepelbagaian etnik di Malaysia merupakan ciri ciri
unik yang mampu meletakkan Malaysia di peta dunia dan menjadi identiti negara bangsa.
Namun begitu, artikel ini tidak membincangkan dengan lebih terperinci mengenai kupasan
setiap wajah dan kesinambungannya dengan konsep kepelbagaian. Pengkaji lebih
menekankan sisi negatif bagi setiap wajah termasuk wajah positif. Pengkaji wajar memberi
penjelasan serta tamsilan bagi setiap wajah bagi mencipta hubungkait dengan penjelasan
mengenai kepelbagaian di Malaysia.
1.2 Pengajaran
Berdasarkan artikel Ulasan Artikel: Sekali Air Bah, Sekali Pantai Berubah, Evolusi
Kefahaman Mengenai Perpaduan di Malaysia, kami mendapat gambaran yang lebih jelas
mengenai etika dan peradaban di Malaysia dalam konteks perpaduan masyarakat pelbagai
kaum yang merupakan tiang seri kepada pembangunan negara.
Pertama, selaras dengan evolusi konsep, pihak kerajaan juga terus menerus
menggembleng tenaga memastikan impian untuk mencapai perpaduan menyeluruh dengan
menggubal dasar dasar baru serta slogan yang memupuk semangat perpaduan. Usaha ini
harus dipuji kerana pihak kerajaan masih memberi penekanan untuk sentiasa mengingatkan
rakyat betapa pentingnya untuk memelihara keharmonian yang sedia ada. Justeru, peradaban
di Malaysia bergantung rapat dengan evolusi dalam konsep perpaduan kaum di Malaysia.
Dasar dasar yang digubal oleh kerajaan membuahkan hasil kerana rakyat Malaysia pada hari
ini adalah rakyat yang bertoleransi dan saling menjauhi isu sensitif yang boleh memulakan
perselisihan antara kaum. Dapat kita lihat bahawa perpaduan adalah salah satu tunjang
kepada peradaban yang mapan.
Selain itu, kecanggihan teknologi telah membuka ruang untuk masyarakat melontarkan idea,
komen serta pendapat mengenai sesuatu isu dengan mudah dengan menggunakan identiti
sendiri atau identiti palsu. Namun begitu, rakyat masih lagi hidup aman damai kerana saling
menjaga sensitiviti kaum lain dan menjaga adab apabila memberi pandangan mengenai
budaya atau agama kaum lain. Masyarakat berbilang kaum pada hari ini juga telah
mengadaptasi hidup dalam negara majmuk dan sudah saling memahami antara satu sama
lain. Pembentukan toleransi ini mengambil masa yang panjang dan masih diusahakan. Etika
penggunaan media sosial haruslah dijaga oleh semua kaum agar tidak mencetuskan konflik
yang berpotensi menggugat keharmonian negara. Penjelasan pengkaji mengenai
pertelingkahan secara maya pada hari ini mampu menggugat perpaduan adalah satu
pandangan yang wajar diberi perhatian. Masyarakat perlu lebih peka terhadap etika
penggunaan media sosial. Sifat saling menghormati sensitiviti kaum lain perlu ada dalam diri
setiap rakyat Malaysia bagi mengelakkan pergeseran atau konflik antara kaum yang boleh
memudaratkan.
Seterusnya, pihak kerajaan masih memberi penekanan untuk sentiasa mengingatkan rakyat
betapa pentingnya untuk memelihara keharmonian yang sedia ada. Penyelesaian sesuatu isu
secara damai tanpa kekerasan adalah ciri-ciri masyarakat yang mempunyai pemikiran kelas
pertama. Perubahan daripada konsep kesatuan kepada perpaduan hanya boleh dapat dicapai
dengan kesepakatan ahli masyarakat berbilang kaum untuk saling menghormati sensitiviti
agama lain melalui pemahaman terhadap etnik lain.

Rumusan
Kesimpulannya, artikel ini berjaya mengupas tahap pemahaman ahli masyarakat mengenai
perubahan konsep yang berlaku untuk mencapai perpaduan pada hari ini. Persoalan yang
dikemukakan oleh pengkaji merupakan persoalan yang patut dibincangkan ke akar umbi.
Pengkaji menjawab persoalan beserta dengan sumber yang sahih dan dijelaskan dengan
contoh yang tepat. Artikel ini akan lebih lengkap dengan pencerahan mengenai konsep
dengan lebih terperinci dan mendalam.

Das könnte Ihnen auch gefallen